Tuesday, 12 January 2016

44 trak bantu penduduk kebuluran di Madaya

ISNIN, 11 JANUARI 2016 @ 11:51 PM


KONVOI bantuan kemanusiaan dalam perjalanan ke bandar di Madaya. - Foto EPA


DAMSYIK: Satu konvoi bantuan kemanusiaan memasuki bandar yang dikepung pemberontak Syria di Madaya, di mana lebih 24 orang maut akibat kebuluran, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Syria. Seorang pegawai organisasi itu memberitahu AFP, dua trak membawa makanan dan dua lagi dipenuhi selimut, memasuki Madaya jam 5 petang (1500 GMT) waktu tempatan. Bekalan terbabit dihantar ke Madaya, bandar dikawal pemberontak berhampiran ibu kota ini yang dikepung tentera kerajaan selama enam bulan, sebagai sebahagian satu perjanjian di mana dua lagi bandar dikawal rejim di barat laut negara itu turut menerima bantuan. Bantuan itu berikutan kebimbangan antarabangsa dan kecaman berhubung keadaan melarat di Madaya di mana kira-kira 42,000 penduduk tinggal dalam kepungan kerajaan. Pendedahan itu selepas badan kebajikan Doctors Without Borders (MSF) berkata kira-kira 28 orang maut akibat kebuluran di Madaya sejak 1 Disember lalu. Penduduk menggambarkan keadaan terdesak, mengatakan mereka terpaksa makan rumpai dan membayar harga melampau untuk sedikit makanan yang boleh diseludup menerusi sekatan. Empat puluh empat trak bantuan dikendalikan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, Bulan Sabit Merah Syria dan Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meninggalkan bandar ini ke Madaya pada tengah hari. Dua puluh dua trak membawa bantuan berasingan untuk bandar dipegang kerajaan di Fuaa dan Kafraya, yang berada dalam kepungan pemberontak di wilayah Idlib. Fuaa dan Kafraya terletak lebih 300 kilometer dari bandar ini, sementara Madaya terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu kota Syria itu. Trak terbabit membawa makanan, air, susu bayi, selimut dan ubatan untuk penyakit akut dan kronik selain bekalan pembedahan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/113374

No comments:

Post a Comment