ANKARA: Turki merancang menawarkan permit kerja kepada pelarian dari Syria bagi mengelakkan mereka merentasi Kesatuan Eropah (EU) secara haram, kata Menteri Hal Ehwal EU di Turki, Volkan Bozkir pada Isnin.
Kenyataan itu dibuat di saat EU berusaha untuk mengurangkan aliran pergerakan migran.
Bozkir yang berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Frans Timmermans, yang pada minggu lalu memberitahu bahawa EU tidak begitu berpuas hati dengan usaha Turki mencegah pergerakan migran dari Lautan Aegean ke Greece.
"Kita sedang berusaha untuk mengurangkan tekanan bagi penghijrahan secara haram dengan memberikan permit kerja kepada pelarian Syria di Turki," kata Bozkir kepada para pemberita di Ankara.
Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus berkata, "draf" peraturan itu telah diterima pakai oleh majlis menteri-menteri dan akan diterbitkan dalam beberapa hari lagi.
Difahamkan, majikan boleh menggaji pelarian Syria meliputi 10 peratus daripada jumlah pekerja mereka.
Boskir berkata, pihak berkuasa Turki telah menahan lebih 150,000 pendatang haram pada 2-15, dan kira-kira 500 orang setiap hari.
Turki menjadi tuan rumah terbesar bagi kebanyakan pelarian ketika dunia hari ini dilanda pergerakan pelarian paling banyak pernah direkodkan. - Reuters
No comments:
Post a Comment