Thursday 21 January 2016

Konvoi baharu hantar bantuan ke Syria




BEBERaPA buah trak SARC memasuki bandar Madaya yang dikawal pemberontak pada 14 Januari lalu.


DAMSYIK – Satu konvoi bantuan membuat penghantaran baharu de­ngan membawa bahan api, makanan dan ubat ke empat buah bandar yang dikepung di Syria, kata beberapa pegawai bantuan kemanusiaan semalam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) berkata dalam satu kenyataan, bantuan secara serentak itu tiba di bandar-bandar berkenaan kelmarin.
Mereka berkata, bantuan bahan api tiba di bandar Fuaa dan Kafraya yang dikawal oleh pemberontak, manakala Madaya dikepung tentera kerajaan Sy­ria.
Malah, bantuan makanan dan perubatan itu turut disalurkan ke bandar Zabadani yang dikuasai pemberontak tetapi tidak tersenarai untuk menerima bantuan pada bulan ini.
Menurut kenyataan tersebut, sebuah delegasi disertai beberapa pegawai bantuan tidak dapat memasuki bandar Fuaa dan Kafraya bagi menjalankan penilaian mengenai bantuan kemanusiaan yang diperlukan di kawasan berkenaan.
“Pasukan ini terpaksa menangguhkan misi mereka di bandar Fuaa dan Kafraya selepas menerima laporan daripada kumpulan bersenjata yang menyatakan, mereka memerlukan banyak masa untuk menyelesaikan isu pengurusan keselamatan di kawasan mereka kawal,” kata kenya­taan itu.
Kempat-empat bandar itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai pada tahun lalu untuk menamatkan peperangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan.
Konvoi kedua yang membawa makanan dan ubat-ubatan telah memasuki bandar Madaya, Fuaa dan Kafraya pada 14 Januari lalu tetapi PBB, ICRC dan SARC diminta untuk terus menyalurkan bantuan kepada keempat-empat bandar yang terkepung itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3xpifUo9Z 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment