DAMSYIK 3 Mei – Pengeboman di utara bandar Aleppo tidak menunjukkan sebarang tanda akan tamat ketika pelbagai usaha dilakukan bagi melindungi kira-kira 400,000 penduduk Syria yang dipercayai masih berada di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria menyatakan, kumpulan penentang mengebom kawasan perumahan al-Serryan dan al-Zahraa yang dikuasai tentera kerajaan hari ini, mengakibatkan empat kematian manakala 50 lagi penduduk cedera ketika tiada serangan udara dilancarkan di wilayah yang pernah dihuni dua juta penduduk tersebut.
Dalam kejadian berasingan, kumpulan penentang Syria mengebom sebuah hospital di daerah Muhafaza di Aleppo yang dikuasai kerajaan, membunuh tiga orang yang mengakibatkan 17 yang lain cedera.
Portal Al Jazeera melaporkan, tentera Syria semalam melanjutkan gencatan senjata sebelah pihak di sekitar Damsyik dan kawasan berhampiran yang dikuasai penentang bagi tempoh 48 jam.
Pengumuman gencatan senjata itu dibuat ketika konvoi kemanusiaan menghantar bantuan kepada 12,000 keluarga yang terperangkap di kawasan yang dikepung kerajaan di tengah Syria.
Pertempuran di Aleppo mengancam usaha rundingan damai pertama di Geneva antara wakil Presiden Syria, Bashar al-Assad dan kumpulan penentang yang dijangka disambung pada satu tarikh tidak dinyatakan selepas gagal pada bulan lalu.
Dalam perkembangan berkaitan di Geneva, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry berkata, beberapa cadangan bagi mengembalikan gencatan senjata sementara di Syria sedang dibincangkan.
“Kami semakin hampir untuk mencapai titik persefahaman, namun masih ada kerja perlu dibuat,’’ kata Kerry sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir.
Sementara itu, utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Staffan de Mistura mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov di Moscow hari ini bagi menyelamatkan gencatan senjata tajaan Rusia dan AS tersebut yang dipersetujui Februari lalu. – AGENSI/AFP
No comments:
Post a Comment