Wednesday, 4 May 2016

Syria kembali berdarah, ratusan terkorban


MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
4 MEI 2016
Syria kembali berdarah, ratusan terkorban


Syria kembali berdarah, ratusan terkorban Serangan di Aleppo baru-baru ini.
SYRIA - Sejak Mac 2011, pergolakkan antara rakyat dan regim Bashar al-Assad di bumi Syria tidak pernah reda. Hingga kini dilaporkan ratusan ribu telah terkorban dan jutaan tercedera yang melibatkan semua peringkat umur dewasa mahupun kanak-kanak.

Sementara itu, dilaporkan lebih setengah daripada 12 juta rakyatnya telah menjadi pelarian dalam Syria mahupun di negara- negara jiran seperti Turki, Jordan, Lubnan malah hingga ke benua Eropah.

PERANG YANG MAKIN KOMPLEKS

Kini, konflik yang menjangkau enam tahun itu, menjadi makin parah dan kompleks, penglibatan campur tangan kuasa-kuasa besar seperti Rusia dan Iran yang berpihak kepada Bashar menyebabkan keadaan menjadi lebih rumit.

Lebih parah lagi, apabila kumpulan pejuang seperti kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) atau juga dikenali Negara Islam Iraq dan Syria (IS), Jabhan Nusrah, PYD (Kurdi), menjadi duri dalam daging sehingga melambatkan kemenangan perjuangan rakyat Syria.

Dalam pada itu, sejak November 2015, ratusan serangan udara dan darat daripada pihak regim tentera Syria dengan bantuan kuasa-kuasa besar telah mensasarkan bandar Aleppo, Idlib dan pinggiran kota Damaskus.

Sasaran serangan yang kononnya dikatakan untuk melumpuhkan dan menghapuskan pejuang penentang dan  IS, sebenarnya ia hanya ditujukan kepada tempat-tempat orang awam yang tidak berdosa.

Dilaporkan tidak kurang daripada 1,500 orang awam terkorban sejak beberapa bulan yang lalu. Dan sejak 23 April lalu, serangan meningkat dan berterusan serta mensasarkan bandar Aleppo, bandar yang terbesar yang masih didiami hampir 250,000 rakyat Syria.

RAKYAT MENJADI MANGSA

Memetik sumber-sumber berita rasmi antarabangsa seperti Observer dan Al-Jazeera serangan udara sejak seminggu lalu oleh tentera regim dan Rusia mensasarkan masjid, sekolah, tempat-tempat pertahanan awam, pejabat-pejabat NGO, perkhidmatan ambulans dan malah beberapa hospital awam.

Menurut Presiden Perbandaran Aleppo, Brita Hasan, dilaporkan setiap hari berlaku serangan kejam yang mengakibatkan ratusan rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsa.

"Serangan minggu lalu telah mengakibatkan  tidak kurang 347 orang terkorban termasuk 76 darinya kanak-kanak dan 38 wanita," katanya petik laporan Al-Jazeera.

Jelasnya lagi, pihak tentera regim juga melakukan serangan dengan bom barel, serangan udara dan misil di banyak kawasan termasuklah di Hritan, Kaft Dael, Bab al-Haded dan kejiranan Kastelo, jalan menuju Aleppo.

"Selama beberapa minggu yang lalu pihak regim dibantu oleh Rusia melakukan 907 serangan roket, 207 bom barrel, 36 cluster bom, 6 bom phosphorous dan 63 peluru berpandu jarak dekat.

"Serangan-serangan  tersebut mensasarkan 517 kawasan kediaman, 25 pasar rakyat, 6 pusat perubatan dan 39 kawasan orang awam," ujarnya.

Sementara itu,serangan bom udara keatas beberapa pusat rawatan termasuk Hospital al- Quds di Aleppo pada 29 April lalu, telah mengorbankan Dr Muhammad Maaz, satu-satunya pakar kanak-kanak yang masih ada dan juga membunuh lebih 30 orang staf serta pesakit di Hospital yang dikendalikan oleh NGO Antarabangsa Doctors Without Border (MSF).

Oleh itu,sebagai umat Islam dimana jua berada, fakta kerakusan regim Bashar dan sekutu-sekutunya yang telah meratah kehormatan saudara-saudara  kita di Aleppo dengan pengeboman kejam wajib di kecam oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

Untuk itu, melalui Biro Misi Kemanusiaan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Malaysia yang prihatin dalam isu kekejaman di Syria sejak 2012 dengan penyaluran pelbagai bantuan di kem-kem pelarian di Turki, Jordan mahupun didalam Syria sekali lagi merayu dan mengajak masyarakat Malaysia terus prihatin dan menyertai bantuan kecemasan ini.

Sumbangan berbentuk kewangan dan penyebaran maklumat tentang kempen ini kepada rakan-rakan  yang lain amat dihargai dan diperlukan.Perkembangan terkini di Aleppo dan Syria boleh diikuti melalui Facebook 'Misi Kemanusiaan Haluan'.

"Pihak kami mengalu-alukan mana-mana badan kerajaan, swasta, surau, masjid dan  institusi pendidikan untuk menjemput pihak kami bagi berkongsi pengalaman dan memberi penerangan tentang isu kemanusiaan Syria," jelas Ketua Biro Kemanusiaan Haluan, Dr Baharuddin Suri.

No comments:

Post a Comment