28 OKTOBER 2016
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 22 kanak-kanak dan enam guru terbunuh dalam serangan udara menyasarkan sebuah sekolah di wilayah dikuasai kumpulan pemberontak di Idlib, barat laut Syria, menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef), kelmarin.
"Ia adalah satu tragedi. Jika serangan itu disengajakan, ia adalah satu jenayah perang," kata Pengarahnya, Anthony Lake.
Kawasan sekolah itu sering menjadi sasaran bedilan dan ia disifatkan sebagai serangan paling berdarah ke atas sekolah sejak Syria terjerumus ke dalam kancah perang saudara pada 2011.
Sementara itu, Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memaklumkan beberapa pesawat perang sama ada milik Rusia atau Syria melancarkan enam serangan pada jam 11.30 pagi (waktu tempatan) di perkampungan Hass termasuk sebuah kompleks sekolah dan meragut nyawa sekurang-kurangnya 35 orang awam termasuk 11 murid.
Sebelum ini. tentera rejim Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya, Rusia pernah dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia melancarkan serangan rambang ke atas infrastruktur awam, lapor AFP.
No comments:
Post a Comment