Tuesday, 26 January 2016

11 anggota penentang terbunuh di Syria


BEIRUT 25 Jan. - Sekurang-kurangnya 11 anggota kumpulan penentang di Syria dan lima penduduk awam terbunuh dalam serangan peluru berpandu ke atas sebuah bangunan di barat laut Syria, ketika kumpulan-kumpulan penentang mengadakan pertemuan di situ.
“Sebanyak 11 anggota penentang daripada Barisan Al-Nusra (sekutu al-Qaeda) dan kumpulan penentang lain terbunuh semalam, bersama-sama lima penduduk awam, apabila sebuah peluru berpandu mengenai sebuah balai polis yang digunakan sebagai mahkamah di Salqin,” di wilayah Idlib, kata pemerhati hak asasi bagi Syria.
Kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Britain itu berkata, masih tidak jelas sama ada peluru berpandu itu dilancarkan oleh Rusia atau tentera Syria.
Kumpulan pemantau itu berkata, jumlah korban mungkin meningkat kerana ramai yang mengalami cedera parah dalam serangan itu.
Serangan peluru berpandu itu berlaku ketika kumpulan penentang Al-Nusra dan kumpulan militan konservatif Islam, Ahrar al-Sham mengadakan rundingan. Sebelum itu, berlaku pertempuran antara kedua-dua kumpulan terbabit di bandar itu pada hari yang sama.
Kedua-dua kumpulan itu menyertai pakatan Pasukan Tentera Penyerang, pakatan penentang yang menawan wilayah Idlib pada tahun lepas.
Awal Januari lalu, Rusia mengempur wilayah Idlib di kawasan sempadan Turki mengakibatkan sekurang-kurangnya 81 orang terbunuh, termasuk 23 anggota Al-Nusra dan 52 penduduk awam serta banduan.
Menurut pasukan pemerhati, lebih 1,000 penduduk awam terbunuh dalam serangan udara Rusia sejak Moscow menyertai kempen ketenteraan di Syria pada 30 September lalu.
Serangan udara Rusia itu turut membunuh hampir 900 anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dan lebih 1,100 anggota penentang kerajaan Syria daripada beberapa kumpulan penentang, termasuk Al-Nusra. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/11-anggota-penentang-terbunuh-di-syria-1.183323#sthash.SY4nvPHX.dpuf

Monday, 25 January 2016

63 terbunuh

Beirut: Seramai 63 orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan udara disyaki dilancarkan pesawat pejuang Russia di sebuah perkampungan yang dikuasai kumpulan Negara Islam (IS) di timur Syria.
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, sembilan kanak-kanak dan dua wanita antara yang maut dalam kejadian di Khasham.
Kampung itu terletak di wilayah kaya minyak, Deir Ezzor, tempat IS berusaha mara sejak beberapa hari lalu walaupun berdepan serangan udara Russia dan tentera Syria.
Serangan sejak seminggu lalu oleh IS di ibu negeri wilayah itu mengakibatkan lebih 500 maut dan mencetuskan kebimbangan pembunuhan beramai-ramai 200,000 penduduk yang masih berada di situ.
Sementara itu, sumber tentera Syria berkata, hampir 100 ‘pakar Amerika’ dan militia Kurdis Syria hampir selesai menyiapkan lapangan terbang Rmeilan di wilayah Hasakeh.
“Pangkalan udara itu akan digunakan untuk helikopter dan pesawat kargo. Landasannya sepanjang 2,700 meter dan sedia digunakan untuk pesawat yang membawa peralatan serta kelengkapan perang lain,” kata sumber itu.
“Pasukan khas tentera Amerika Syarikat dan penasihat menggunakan lapangan terbang Rmeilan sebagai pangkalan dengan helikopter berlepas dari situ ke medan tempur,” kata sumber itu.
Pentagon bagaimanapun menafikannya dengan berkata, AS ‘belum menguasai mana-mana lapangan terbang di Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:05 AM


GAMBAR menunjukkan kanak-kanak Syria yang melarikan diri bersama keluarga dari al-Bab berteduh ketika menunggu di Akda untuk melintas masuk ke Turki.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109885#sthash.0wmuPtoM.dpuf

63 orang awam terbunuh



DUA pesawat pengebom Rusia kelihatan di pangkalan udara Hemeimeem di Syria pada Rabu lalu. - Agensi


BEIRUT – Serangan terbaharu yang dipercayai dilakukan oleh pesawat tentera Rusia menyebabkan 63 orang awam terbunuh di timur Syria kelmarin.
Serangan tersebut berlaku ketika tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan membina pengkalan udara bagi meningkatkan serangan terhadap kumpulan militan Islamic State (IS).
Sementara itu, beberapa diplomat kanan sedang bersiap sedia untuk menyelesaikan persoalan utama siapa yang akan mewakili pihak pembangkang Syria dalam rundingan penting minggu hadapan bagi menghentikan perang yang berlangsung lebih lima tahun.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, daripada sejumlah besar yang terbunuh di sebuah kampung di bandar Khasham yang dikuasai IS, sembilan daripada mereka ialah kanak-kanak manakala dua lagi wanita.
Kampung tersebut terletak di dalam wilayah Deir Ezzor yang kaya dengan minyak. IS dilaporkan berusaha untuk mara dalam beberapa hari kebelakangan ini walaupun berlaku beberapa siri serangan udara oleh kerajaan Syria dan Rusia.
Serangan yang berlangsung selama seminggu di ibu kota wilayah itu mengakibatkan kira-kira 500 orang maut dan mencetuskan kebimbangan pembunuhan beramai-ramai dalam kalangan 200,000 orang lain yang masih tinggal di situ.
Sementara itu, sumber ketenteraan Syria berkata, kira-kira 100 pakar AS dan kumpulan militan Kurdish Syria hampir menyiapkan lapangan terbang Rmeilan di wilayah Hasakeh.
“Pangkalan udara itu akan digunakan untuk helikopter dan pesawat kargo. Landasannya kini mencapai 2,700 meter panjang dan bersedia untuk digunakan oleh pesawat yang akan membawa peralatan dan bekalan peluru,” kata sumber terbabit. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3yDMSga62 
Hakcipta terpelihara 

Tentera Syria tawan bandar di Latakia

25 Januari 2016 12:25 AM

Gambar bertarikh 15 Januari lalu merakamkan sekumpulan tentera

Gambar bertarikh 15 Januari lalu merakamkan sekumpulan tentera Syria berehat selepas menguasai bandar Salma di wilayah Latakia. AFP
BEIRUT 24 Jan. – Tentera Syria hari ini menakluk sebuah bandar di wilayah Latakia yang sebelum ini menjadi kubu kuat Presiden Syria, Bashar al-Assad, lapor stesen te­levisyen tempatan.
Memetik sumber pihak tentera, stesen tersebut melaporkan, tentera tersebut berjaya menakluk bandar Rabia.
Bandar tersebut sebelum ini dikawal oleh pihak pembangkang sejak 2012 termasuk beberapa kumpulan pemberontak antaranya, sekutu al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra.
Menurut Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, bandar Rabia jatuh ke tangan tentera Syria yang telah membuat pemantauan dan mengepung bandar tersebut.
Katanya, dalam tempoh 48 jam lalu, tentera mengepung tempat itu dari tiga penjuru di selatan, barat, dan utara dengan menawan 20 buah kampung.
“Pegawai kanan tentera Rusia mengawasi pertempuran untuk mendapatkan Rabia dan serangan udara oleh tentera Rusia memainkan peranan penting dalam usaha menawan bandar tersebut.
“Dengan penaklukan Rabia, tentera kerajaan semakin hampir kepada laluan bekalan pemberontak melalui sempadan Turki di utara,” katanya kepada wartawan AFP.
Penaklukan Rabia dibuat selepas tentera kerajaan merampas bandar strategik Salma 12 Januari lalu berikutan operasi selama beberapa bulan untuk merebutnya daripada pemberontak sejak tahun 2012. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tentera-syria-tawan-bandar-di-latakia-1.183098#sthash.RU9hKPiP.dpuf

Sunday, 24 January 2016

Lebih 40 pelarian mati lemas

24 JANUARI 2016


Pelarian yang terselamat tiba di pelabuhan Piraeus di Greece.


 ATHENS - GREECE. Sekurang-kurangnya 45 pelarian dilaporkan mati lepas selepas tiga bot dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan dari Turki ke Greece, kelmarin.
Pengawal pantai Greece berkata, antara mangsa yang mati termasuk 20 kanak-kanak. Beberapa jam sebelum itu, pihak berkuasa Greece berjaya menyelamatkan 74 pelarian selepas bot dinaiki mereka mengalami masalah di luar pulau Farmakonisi dan Kalolimnos.
"Kebanyakan pelarian mengalami trauma. Malah, dalam beberapa kes hanya si bapa sahaja yang terselamat manakala ahli keluarga yang lain mati lemas," kata pegawai UNHCR, Marco Procaccini dipetik laporan AFP.

Jepun hanya terima 27 pelarian tahun lalu

SABTU, 23 JANUARI 2016 @ 1:07 PM




JEPUN masih bimbang mengenai kehadiran pelarian dalam masyarakat mereka dan mengehadkan jumlah yang diluluskan. - Foto AFP


 TOKYO: Jepun hanya menerima 27 pelarian tahun lalu dan menolak hampir semua permohonan pada ketika kumpulan hak asasi menggesa kerajaan untuk membenarkan kemasukan lebih ramai orang, kata pegawai. Negara itu masih bimbang mengenai kehadiran pelarian dalam masyarakat mereka dan mengehadkan jumlah yang diluluskan. Daripada 1,000 orang yang mohon status pelarian, lima adalah warga Syria, tetapi hanya tiga diterima - angka yang terlalu kecil berbanding kehadiran penduduk Syria ke Eropah selepas meninggalkan negara Asia Barat yang bergolak akibat peperangan tahun lalu. Kementerian Kehakiman berkata, ia menerima 7,586 permohonan daripada pelarian pada 2015, bermakna lebih 99 peratus permohonan ditolak. Selain itu, permohonan lain termasuk enam dari Afghanistan, tiga Habsyah dan tiga dari Sri Lanka. Kementerian berkenaan berkata, jumlah pelarian yang diterima tahun lalu meningkat daripada 11 pada 2014 dan enam pada 2013. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/117266

67 korban serangan udara di Syria

seorang penduduk Syria mengangkat seorang kanak-kanak yang terselamat

24 Januari 2016 12:10 AM

seorang penduduk Syria mengangkat seorang kanak-kanak yang terselamat dalam serangan udara oleh pesawat tentera udara Rusia di bandar ouma, timur Ghouta dekat Damsyik pada 10 Januari lalu. REUTERS
DAMSYIK 23 Jan. Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh termasuk 13 kanak-kanak dalam serangan udara di timur Syria ke atas kawasan yang dikuasai kumpulan militan IS, semalam.
Menurut laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, serangan itu dilakukan oleh sebuah pesawat pengebom yang tidak dikenali ke atas beberapa kawasan di wilayah Deir al-Zour.
Kira-kira 30 orang maut dalam serangan di kawasan Tabiyet Jazeera, manakala 10 orang lagi terkorban di daerah al-Bouleil yang terletak di pinggir wilayah Deir al-Zour, menurut laporan itu.
Kedua-dua kawasan itu yang dikuasai militan IS, menjadi sasaran tentera Syria dan Rusia sejak 16 Januari lalu dan angka kematian dalam serangan tersebut dilaporkan meningkat sebanyak 91 orang, 25 daripada mereka merupakan kanak-kanak.
Sementara itu, di bandar al-Raqqa yang merupakan kubu kuat militan IS, seramai 27 orang disahkan maut dalam serangan udara oleh pesawat yang tidak dikenali.
Syria menjadi medan pengeboman udara oleh tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat sejak tahun lalu, selain Rusia turut menjalankan operasi sama bagi menghapuskan ancaman militan IS di negara ini dan Iraq.
Namun, kedua-dua operasi terbabit tidak diselaraskan de­ngan baik sehingga menyebabkan pasukan pemantau sukar me­ngenal pasti pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan udara yang mengorbankan ramai nyawa orang awam.  DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/67-korban-serangan-udara-di-syria-1.182594#sthash.UqS8QT06.dpuf

Saturday, 23 January 2016

45 lagi mati lemas

Athens: Sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk kanak-kanak mati lemas di Laut Aegean semalam apabila dua bot membawa pendatang karam di luar pantai dua pulau berlainan di Greece.
Pasukan pengawal pantai Greece dan beberapa bot lain berjaya menyelamatkan lebih 70 orang.
Dalam kejadian pertama di timur Laut Aegean, sebuah bot kayu membawa 49 pendatang karam di Farmakonissi, sebuah pulau kecil.
Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dan menemui lapan mayat yang terapung di laut - enam daripadanya kanak-kanak dan dua lagi wanita.
Beberapa jam kemudian, sebuah lagi bot kayu membawa pendatang yang tidak diketahui jumlahnya, karam di luar pantai Kalolimnos yang terletak di selatan Farmakonissi.
Pengawal pantai menyelamatkan 22 lelaki dan empat wanita serta menemui 34 mayat, 16 daripadanya wanita, tujuh lelaki dan 11 kanak-kanak.
Seorang mangsa yang terselamat memberitahu wartawan, enjin bot berkenaan rosak kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan), lima jam selepas berlepas dari Izmir di Turki.
Bercakap di pulau Kalymnos, dia berkata, kira-kira 80 orang berada di dalam bot itu selepas membayar AS$2,500 (RM10,680) seorang dan setengah harga itu untuk kanak-kanak untuk dibawa ke Greece.
Agensi berita Turki, Anadolu berkata, pasukan pengawal pantai negara itu menyelamatkan enam orang di kawasan tempat dua kemalangan itu berlaku dan menemui tiga mayat.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa menganggarkan kira-kira 31,000 pendatang tiba di Greece melalui jalan laut setakat tahun ini dengan harapan dapat memulakan kehidupan baru di Jerman, Sweden atau negara EU lain.
Pertubuhan itu juga melaporkan, 77 orang mati ketika dalam pelayaran menyeberang Mediterranean antara 1 dan 17 Januari lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:04 AM


SEKUMPULAN pendatang turun dari bot getah yang mereka naiki setibanya di pantai Pulau Chios, Greece, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109439#sthash.x4qKNCuM.dpuf

21 maut bot karam di Greece

21 maut bot karam di Greece

22 JANUARI 2016

 ATHENS - GREECE. Sekurang-kurangnya 21 maut dalam dua kejadian berasingan melibatkan bot karam yang membawa migran dan pendatang di dua kepulauan di sini.
Berpuluh dilaporkan selamat serta operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan untuk mencari mangsa yang masih terselamat.
Dalam insiden tersebut, bot kayu yang membawa 48 orang karam di kepulauan Farmakonisso, timur Aegean.
40 mangsa berjaya berenang ke daratan manakala pihak berkuasa menyelamatakan seorang kanak-kanak perempuan dan menemui tujuh mayat dalam laut.
Beberapa jam selepas kejadian, sebuah lagi bot kayu turut karam ke kepulauan Kalolimnos, selatan Farmakonissi.
Walaubagaimanapun jumlah mangsa yang menaiki bot berkenaan tidak dapat diketahui.
Memetik AP, pengawal pantai menyelamatkan 26 orang dan menjumpai 14 mayat sementara kapal pengawal pantai, helikopter dan bot persendirian dikerah untuk mencari mangsa yang terselamat.
Pihak berkuasa berkata, jumlah mangsa yang  berada dalam bot adalah dianggarkan di antara 40 hingga 70, namun tidak mengetahui secara jelas jumlah mangsa yang masih hilang.
Greece menjadi pintu utama kemasukan pendatang yang melarikan diri dari perang dan kemiskinan untuk masuk ke negara Eropah.
Lebih 800,000 migran memasuki Grece pada tahun lepas menggunakan bot melalui pulau-pulau di Greece dari pantai Turki dan beratus - ratus dilaporkan meninggal dunia
.

Friday, 22 January 2016

2,000 pelarian lintasi Macedonia ke Jerman, Austria

KHAMIS, 21 JANUARI 2016 @ 11:40 PM
POLIS memeriksa kertas pendaftaran pelarian sebelum menyeberangi sempadan Greek-Macedonia. - Foto AP
IDOMENI: Selepas bermalam di sempadan Greek-Macedonia dalam suhu bawah takat beku, kira-kira 2,000 pelarian terutama dari Syria hari ini meneruskan perjalanan berliku mereka ke utara Eropah yang disekat sementara akibat penutupan sempadan di Skopje.
"Saya gembira masalah itu diselesaikan. Saya mahu pergi ke Jerman untuk menyambung pengajian," kata Imad, 19 tahun.
Imad dan kira-kira 1,200 pelarian konflik lain dari Syria, Iraq dan Afghanistan, menghabiskan waktu malam dalam khemah panas dikendalikan kumpulan bantuan.
Walaupun sempit dan menyesakkan dengan bau badan, khemah itu lebih selesa untuk tidur berbanding bas parkir, yang terpaksa diduduki kira-kira 600 pelarian lain akibat kekurangan tempat.
Macedonia minggu ini memutuskan untuk menutup sempadannya dengan Greece dan hanya membukanya semula hari ini untuk pelarian yang berhasrat meneruskan perjalanan ke Jerman atau Austria.
"Lintasan sempadan untuk pendatang berhampiran Gevgelija (bandar sempadan Macedonia) dibuka awal pagi ini, namun hanya pendatang yang mana kertas pendaftaran bahasa Greek menunjukkan destinasi akhir mereka sebagai Jerman atau Austria saja boleh melaluinya," kata seorang pegawai polis kanan di Skopje kepada AFP.
Polis Greek juga membantu dengan menambah perkataan "Jerman" atau "Austria" pada kertas pendaftaran pelarian. Menjelang tengah hari, kira-kira 400 pendatang sudah menyeberangi sempadan.
"Ia adalah prosedur sementara bagi mengurangkan tekanan ke atas kem, yang hanya boleh menempatkan 1,500 pendatang pada satu-satu masa," kata sumber polis Greek.
Kumpulan bantuan memberi amaran, sumber mereka sudah dilanjutkan ke peringkat maksimum, meningkatkan kebimbangan nasib keluarga dengan kanak-kanak kecil.
Kayu dibakar dalam tong di luar khemah dan bangku sudah diletakkan supaya pelarian tidak perlu duduk di atas tanah beku.
Ketua misi Doctors Without Borders (MSF) ke sempadan Greek, Antonis Rigas, berkata jika aliran itu berterusan, tiada peluang untuk menyediakan tempat.
"Ia menjadi amat sejuk pada waktu malam. Pada awal pagi, suhu adalah negatif tujuh darjah Celcius," katanya. - AFP

Thursday, 21 January 2016

Britain tambah 30 juta pound untuk pelarian Syria

KHAMIS, 21 JANUARI 2016 @ 12:29 PM
SETIAUSAHA Pembangunan Antarabangsa, Justine Greening
LONDON: Britain akan membelanjakan tambahan 30 juta pound (RM186 juta) untuk tempat tinggal, pakaian panas, makanan dan bekalan perubatan bagi 27,000 kanak-kanak dan bayi yang melarikan diri daripada peperangan di Syria.
Bantuan itu diumumkan Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Justine Greening ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos bersama David Cameron.
Bantuan khas untuk mangsa perang saudara Syria paling terjejas diberikan berikutan musim sejuk yang melanda Eropah.
Ia adalah untuk kanak-kanak yang melarikan diri ke kawasan Balkan, Greece dan Itali dan UK akan menyediakan jaket, topi, tudung, kasut serta makanan yang membantu memanaskan badan sepanjang musim sejuk ini.
Ketika mengumumkan pembiayaan itu Greening berkata, ketika krisis kemanusiaan di Syria berterusan, pihaknya akan memastikan pelarian yang kehilangan segala-galanya dan sangat memerlukan sokongan, dibantu. - Agensi

Lima lagi mati kebulur

Geneva: Lima orang mati kebuluran di Madaya, bandar di Syria, tempat sekeping biskut dijual pada harga AS$15 (RM66) dan susu bayi AS$313 (RM1,377) sekilo, walaupun dua konvoi bantuan kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah tiba di bandar yang terkepung itu.
Pekerja bantuan tempatan sebelum ini melaporkan 32 kematian berlaku kerana kebuluran di situ bulan lalu.
Minggu lalu, dua konvoi membawa bantuan dikerah untuk membantu 42,000 orang yang terperangkap di bandar berkenaan.
Menurut laporan, puluhan penduduk memerlukan penjagaan perubatan khusus serta-merta di luar Madaya untuk terus hidup.
Bagaimanapun, Persatuan Bulan Sabit Merah Syria dan PBB hanya berjaya memindahkan 10 orang setakat ini.
“Sejak 11 Januari, walaupun dengan bantuan disediakan, lima orang dilapor mati akibat kebuluran di Madaya,” kata laporan kemanusiaan PBB, lewat kelmarin.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata Khamis lalu, pihak yang berperang, khususnya kerajaan Presiden Bashar al-Assad melakukan kekejaman, termasuk menggunakan taktik menyekat makanan sebagai senjata perang sepanjang pertelingkahan bersenjata selama hampir lima tahun di negara itu.
PBB berkata, terdapat kira-kira 450,000 orang terperangkap di sekitar 15 kawasan yang terkepung di seluruh Syria, termasuk yang dikuasai Negara Islam dan kumpulan penentang lain.
PBB mengemukakan tujuh permohonan untuk membawa konvoi bantuan ke bandar itu tahun lalu, tetapi hanya satu dibenarkan pada Oktober dan dua lagi pada 11 Januari dan 14 Januari lalu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 9:20 AM


KANAK-KANAK Syria yang tinggal di kem pelarian di Salkeen, Idlib di utara Syria, antara kawasan yang terkepung akibat peperangan di negara itu sejak hampir lima tahun lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108441#sthash.d3LSSswp.dpuf

Konvoi baharu hantar bantuan ke Syria




BEBERaPA buah trak SARC memasuki bandar Madaya yang dikawal pemberontak pada 14 Januari lalu.


DAMSYIK – Satu konvoi bantuan membuat penghantaran baharu de­ngan membawa bahan api, makanan dan ubat ke empat buah bandar yang dikepung di Syria, kata beberapa pegawai bantuan kemanusiaan semalam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) berkata dalam satu kenyataan, bantuan secara serentak itu tiba di bandar-bandar berkenaan kelmarin.
Mereka berkata, bantuan bahan api tiba di bandar Fuaa dan Kafraya yang dikawal oleh pemberontak, manakala Madaya dikepung tentera kerajaan Sy­ria.
Malah, bantuan makanan dan perubatan itu turut disalurkan ke bandar Zabadani yang dikuasai pemberontak tetapi tidak tersenarai untuk menerima bantuan pada bulan ini.
Menurut kenyataan tersebut, sebuah delegasi disertai beberapa pegawai bantuan tidak dapat memasuki bandar Fuaa dan Kafraya bagi menjalankan penilaian mengenai bantuan kemanusiaan yang diperlukan di kawasan berkenaan.
“Pasukan ini terpaksa menangguhkan misi mereka di bandar Fuaa dan Kafraya selepas menerima laporan daripada kumpulan bersenjata yang menyatakan, mereka memerlukan banyak masa untuk menyelesaikan isu pengurusan keselamatan di kawasan mereka kawal,” kata kenya­taan itu.
Kempat-empat bandar itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai pada tahun lalu untuk menamatkan peperangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan.
Konvoi kedua yang membawa makanan dan ubat-ubatan telah memasuki bandar Madaya, Fuaa dan Kafraya pada 14 Januari lalu tetapi PBB, ICRC dan SARC diminta untuk terus menyalurkan bantuan kepada keempat-empat bandar yang terkepung itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3xpifUo9Z 
Hakcipta terpelihara 

Jepun salur dana AS$350 bantu pelarian


AFP - SEORANG lelaki membawa anak kecilnya di kampung Miratovac semasa melintasi sempadan Macedonia-Serbia kelmarin.


TOKYO – Parlimen Jepun semalam meluluskan peruntukan sebanyak AS$350 juta (RM1.54 bilion) untuk bantuan kemanusiaan dan beberapa sokongan lain bagi menyalurkan kepada pela­rian yang melarikan diri daripada peperangan di Syria dan Iraq.
Peruntukan terbaharu itu dibuat sebagai tambahan kepada AS$810 juta (RM3.56 bilion) untuk membantu pelarian di dalam dan luar negara Syria dan Iraq yang diumumkan pada tahun lalu.
Peruntukan sebanyak AS$350 juta itu disenaraikan dalam rang undang-undang belanjawan tambahan bagi tahun fiskal yang akan berakhir Mac ini.
Dana itu akan digunakan untuk menstabilkan keadaan negara Sy­ria dan Iraq yang sedang bergolak.
“Jepun akan menumpukan kepada usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi pela­rian yang terlibat seperti bantuan makanan, bekalan air, pendidikan dan membebaskan beberapa kawasan yang dicengkam keganasan,” kata Menteri Luar, Fumio Kishida dalam satu ucapan kelmarin.
Menurutnya, Jepun yang merupakan tuan rumah Sidang Kemun­cak Kumpulan Tujuh pada tahun ini merancang untuk mengemukakan beberapa isu berkaitan keganasan di Asia Barat dan pelarian. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3xphwItmb 
Hakcipta terpelihara 

Misi intipan waktu malam Tornado gagal Gara-gara lampu dalam kokpit terlalu terang


Kerajaan Jerman berdepan malu besar selepas jet pejuang Tornado yang dikerah ke Syria untuk misi mengintip gagal membuat penerbangan pada waktu malam, baru-baru ini. AGENSI
BERLIN 20 Jan. - Kementerian Pertahanan Jerman sekali lagi menanggung malu apabila jet pejuang Tornado yang dikerah ke Syria, tidak boleh melaksanakan misi pengintipan pada waktu malam gara-gara lampu kokpit yang terlalu terang.
Menurut portal Mail Online, ini adalah insiden kedua melibatkan kelengkapan ketenteraan negara ini selepas raifal G36 didapati gagal menembak secara lurus dalam suhu yang tinggi.
Akhbar Bild melaporkan, Jerman menghantar enam unit jet Tornado dilengkapi teknologi canggih yang mampu merakamkan gambar inframerah dan dalam resolusi tinggi walaupun pada waktu malam serta dalam keadaan cuaca buruk.
Namun, penerbangan pada waktu malam adalah mustahil kerana lampu kokpit terlalu terang sehingga boleh memberi masalah silau kepada juruterbang.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Jerman mengakui, pihaknya berdepan masalah teknikal kecil berkaitan pencahayaan kokpit.
“Lampu yang terang pada kokpit menyebabkan juruterbang silau, sekali gus mengehadkan penglihatan mereka,” ujarnya sambil berkata, masalah tersebut mampu diselesaikan dalam tempoh dua minggu lagi.
Katanya, tiada operasi pada waktu malam dilakukan buat masa ini oleh jet tempur Tornado.
Insiden tersebut menyebabkan Kementerian Pertahanan Jerman berdepan kritikan daripada pelbagai pihak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/misi-intipan-waktu-malam-tornado-gagal-1.181724#sthash.SajDyANf.dpuf

Wednesday, 20 January 2016

Ramai tentera Syria terbunuh

Beirut: Ramai askar kerajaan Syria terbunuh sepanjang pertempuran sengit selama tiga hari dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di timur negara itu, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Militan IS dilaporkan menyerang kawasan berkenaan yang yang dikuasai tentera kerajaan.
Pegawai Syria tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan perkara itu.
Kumpulan pemantau itu berkata, seramai 120 tentera kerajaan dan 70 militan IS mati dalam terbunuh dalam pertempuran yang meletus sejak Sabtu lalu.
Agensi berita rasmi SANA sebelum ini melaporkan, tentera kerajaan berjaya menawan semula kawasan penempatan di Begayliya berhampiran bandar Deir al Zor, dan membunuh sejumlah militan. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 8:43 AM


TENTERA Pembebasan Syria melepaskan tembakan menyasarkan kedudukan militan Negara Islam (IS) di Aleppo, Syria, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108705#sthash.3BuY8nly.dpuf

Lagi konvoi bantuan 
tiba di bandar Syria terjejas


Seorang sukarelawan UNICEF merawat seorang kanak-kanak kurang nutrisi di Madaya, Syria, baru-baru ini. AFP
DAMSYIK 19 Jan. – Konvoi bantuan kemanusiaan terbaharu melibatkan penghantaran minyak, makanan, dan ubat-ubatan telah dilakukan ke empat buah bandar yang dikepung di Syria, kata pegawai kemanusiaan, hari ini.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) dalam satu kenyataan bersama berkata, bantuan berkenaan tiba di bandar-bandar terbabit, semalam.
Kata mereka, bantuan bahan api berjaya disalurkan ke Madaya, bandar berada di bawah penguasaan kerajaan, namun tidak berjaya dihantar ke bandar Fuaa dan Kafraya, kawasan yang dikuasai oleh kumpulan penentang kerajaan atas faktor keselamatan.
Sementara itu, bantuan makanan dan ubat-ubatan berjaya disalurkan ke bandar milik kumpulan penentang kerajaan, Zabadani.
“Kami terpaksa membatalkan misi bantuan ke Fuaa dan Kafraya selepas mendapat laporan daripada kumpulan bersenjata mereka perlukan masa yang lebih panjang untuk memuktamadkan urusan keselamatan di kawasan di bawah kawalan mereka,” jelas kenyataan tersebut.
Keempat-empat bandar ber­kenaan termasuk dalam perjanjian yang dicapai tahun lalu untuk menamatkan peperangan antara kerajaan dengan kumpulan penentang kerajaan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk.
Namun, akibat daripada akses laluan ke bandar-bandar terbabit yang banyak mengalami kemusnahan, penduduk khususnya di Madaya mengalami kebuluran.
Selain, banyak penduduk yang menetap di Fuaa dan Kafraya meninggal dunia akibat daripada kekurangan ubat-ubatan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lagi-konvoi-bantuan-8232-tiba-di-bandar-syria-terjejas-1.181424#sthash.hoddzb6C.dpuf

Tuesday, 19 January 2016

Pengeboman di Istanbul, 10 dipenjara

19 JANUARI 2016

 Keranda mangsa yang terkorban dalam kejadian pengeboman dihantar pulang dengan pesawat tentera Jerman pada Sabtu lalu. - Foto AFP

 ANKARA - TURKI. Seramai 10 warga Syria yang didakwa terlibat dalam insiden pengeboman berani mati di lokasi tumpuan pelancong di Istanbul dihukum penjara oleh mahkamah.
Kelmarin, media tempatan melaporkan kesemua mereka adalah antara 17 individu yang dihadapkan ke mahkamah di Turki atas tuduhan melakukan pembunuhan terancang dan menganggotai pertubuhan pengganas.
Sekurang-kurangnya 10 warga Jerman terbunuh manakala 15 yang lain cedera dalam kejadian menggemparkan di Dataran Sultanahmet pada Selasa lalu.
Susulan itu, Ankara mendakwa serangan itu didalangi IS yang didakwa memasuki negara tersebut melalui Syria walaupun tiada mana-mana kumpulan militan mengaku bertanggungjawab ke atas insiden berkenaan.
Difahamkan, Turki telah meningkatkan amaran keselamatan pada tahap tingi selepas lebih 100 terkorban dalam pengeboman berkembar dipercayai didalangi IS di ibu negara pada Oktober lalu, lapor Press TV
.

Monday, 18 January 2016

IS bunuh 300

Beirut: Kerajaan Syria semalam berkata, militan Negara Islam (IS) membunuh 300 orang dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di bandar Deir el-Zour, timur negara itu dalam serangan dilaksanakan sepanjang Sabtu.
Agensi media kebangsaan SANA berkata, kebanyakan yang terbunuh dalam serangan itu adalah orang tua, wanita dan kanak-kanak manakala pihak penentang mendakwa kebanyakan mangsa tentera Syria dan prokerajaan serta keluarga mereka.
Serangan dan pembunuhan itu yang terburuk dilakukan puak militan berkenaan, yang mengawal sebahagian besar Syria dan Iraq dengan membunuh ribuan orang di dua negara berkenaan.
Sementara itu, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain dan merekodkan konflik di negara itu berkata, dalam kejadian lewat Sabtu itu, sekurang-kurangnya 135 orang terbunuh dengan 80 daripadanya tentera dan militan prokerajaan manakala selebihnya orang awam di kawasan berhampiran kawasan Baghaliyeh.
Menurutnya, ramai yang mati ditembak atau dipenggal.
Stesen televisyen Al-Mayadeen yang berpangkalan di Lubnan melaporkan pembunuhan beramai-ramai berlaku dengan puluhan mangsa wanita dan kanak-kanak dibunuh IS sebelum membuang mayat mereka di Sungai Furat.
Ia juga melaporkan IS mengambil 400 orang awam sebagai tebusan, rata-rata orang Sunni termasuk wanita dan kanak-kanak serta keluarga pejuang prorejim.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:09 AM


GAMBAR menunjukkan sekumpulan lelaki membantu seorang wanita keluar dari kawasan yang musnah dalam serangan udara oleh tentera prokerajaan Presiden Bashar Al-Assad di Aleppo, lewat kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108116#sthash.k01MpY9N.dpuf

IS mengganas di Deir Ezzor


300 termasuk kanak-kanak dibunuh, 400 lagi diculik
18 Januari 2016 12:19 AM

DAMSYIK 17 Jan. - Sekurang-kurangnya 300 orang awam dibunuh dalam serangan terbaharu oleh kumpulan militan IS di bandar Deir Ezzor yang dikawal tentera Syria semalam, sementara 400 lagi diculik, kejadian terbaharu paling buruk dalam tempoh lima tahun perang saudara tercetus di negara ini.
Agensi berita Syria, SANA mendakwa, kebanyakan mangsa yang rata-ratanya adalah wanita, warga emas, dan kanak-kanak dibunuh dengan cara paling kejam, antaranya dipenggal kepala selain daripada disusun beramai-ramai sebelum ditembak mati di al-Baghaliyeh.
Laporan televisyen Lebanon, Al Mayadeen TV pula menyatakan, ada antara mayat mangsa dicampak ke dalam Sungai Euphrates.
Ini merupakan pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat pernah dilakukan IS di Syria.
Angka pembunuhan bagaima-napun masih belum dapat disahkan dengan ada antara media melaporkan jumlah kematian antara 180 hingga 280 orang.
Sementara itu, Badan Pemerhati Hak Asasi Syria pula mendakwa, sebanyak 400 orang penduduk diculik oleh militan IS selepas kumpulan itu menggempur kedudukan tentera Syria di kawasan berkenaan pada hari sama.
Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata, antara yang ditahan adalah individu yang prokerajaan.
“Kami bimbangkan keselamatan mereka. Kami bimbang mereka boleh dibunuh, sama seperti apa yang dilakukan oleh IS kepada mangsa culik sebelum ini,” katanya.
IS yang mara dari utara Deir Ezzor sehingga kini telah menguasai 60 peratus kawasan berkenaan.
Jelas badan pemantau tersebut, pesawat pejuang Rusia juda ada melancarkan serangan udara sebagai menyokong tentera Syria memerangi militan berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/is-mengganas-di-deir-ezzor-1.180633#sthash.XxTiy2sE.dpuf