Wednesday, 4 May 2016

Konflik Syria: Tiga terbunuh, 17 cedera dalam serangan hospital


DAMSYIK 3 Mei - Serangan terbaharu di Aleppo menyebabkan tiga wanita terbunuh manakala 17 yang lain cedera hari ini, kata media tempatan.
Menurut agensi berita SANA, serangan roket itu menyasarkan kawasan Hospital Al-Dabbeet dalam daerah Muhafaza.
Katanya, setakat ini, serangan roket yang didalangi kumpulan pemberontak di kawasan lain yang dikuasai pihak kerajaan telah membunuh 11 orang.-AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/konflik-syria-tiga-terbunuh-17-cedera-dalam-serangan-hospital-1.311369#sthash.Pk9ogoMR.dpuf

Aleppo jadi medan pertempuran


DAMSYIK 3 Mei – Pengeboman di utara bandar Aleppo tidak menunjukkan sebarang tanda akan tamat ketika pelbagai usaha dilakukan bagi melindungi kira-kira 400,000 penduduk Syria yang dipercayai masih berada di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang.
Badan Pemantau Hak Asasi Sy­ria menyatakan, kumpulan penentang mengebom kawasan perumah­an al-Serryan dan al-Zahraa yang dikuasai tentera kerajaan hari ini, mengakibatkan empat kematian manakala 50 lagi penduduk cedera ketika tiada serangan udara dilancarkan di wilayah yang pernah dihuni dua juta penduduk tersebut.
Dalam kejadian berasing­an, kumpulan penentang Syria mengebom sebuah hospital di daerah Muhafaza di Aleppo yang dikuasai kerajaan, membunuh tiga orang yang mengakibatkan 17 yang lain cedera.
Portal Al Jazeera melaporkan, tentera Syria semalam melanjutkan gencatan senjata sebelah pihak di sekitar Damsyik dan kawasan berhampiran yang dikuasai penentang bagi tempoh 48 jam.
Pengumuman gencatan senjata itu dibuat ketika konvoi kemanusiaan menghantar bantuan kepada 12,000 keluarga yang terperangkap di kawasan yang dikepung kerajaan di tengah Syria.
Pertempuran di Aleppo me­ng­an­cam usaha rundingan damai pertama di Geneva antara wakil Presiden Syria, Bashar al-Assad dan kumpulan penentang yang dijangka disambung pada satu tarikh tidak dinyatakan selepas gagal pada bulan lalu.
Dalam perkembangan berkaitan di Geneva, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry berkata, beberapa cadangan bagi mengembalikan gencatan senjata sementara di Syria sedang dibincangkan.
“Kami semakin hampir untuk mencapai titik persefahaman, namun masih ada kerja perlu dibuat,’’ kata Kerry sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir.
Sementara itu, utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Staffan de Mistura mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov di Moscow hari ini bagi menye­lamatkan gencatan senjata tajaan Rusia dan AS tersebut yang dipersetujui Februari lalu. – AGENSI/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-jadi-medan-pertempuran-1.311544#sthash.1LEiTzN7.dpuf

Syria kembali berdarah, ratusan terkorban


MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
4 MEI 2016
Syria kembali berdarah, ratusan terkorban


Syria kembali berdarah, ratusan terkorban Serangan di Aleppo baru-baru ini.
SYRIA - Sejak Mac 2011, pergolakkan antara rakyat dan regim Bashar al-Assad di bumi Syria tidak pernah reda. Hingga kini dilaporkan ratusan ribu telah terkorban dan jutaan tercedera yang melibatkan semua peringkat umur dewasa mahupun kanak-kanak.

Sementara itu, dilaporkan lebih setengah daripada 12 juta rakyatnya telah menjadi pelarian dalam Syria mahupun di negara- negara jiran seperti Turki, Jordan, Lubnan malah hingga ke benua Eropah.

PERANG YANG MAKIN KOMPLEKS

Kini, konflik yang menjangkau enam tahun itu, menjadi makin parah dan kompleks, penglibatan campur tangan kuasa-kuasa besar seperti Rusia dan Iran yang berpihak kepada Bashar menyebabkan keadaan menjadi lebih rumit.

Lebih parah lagi, apabila kumpulan pejuang seperti kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) atau juga dikenali Negara Islam Iraq dan Syria (IS), Jabhan Nusrah, PYD (Kurdi), menjadi duri dalam daging sehingga melambatkan kemenangan perjuangan rakyat Syria.

Dalam pada itu, sejak November 2015, ratusan serangan udara dan darat daripada pihak regim tentera Syria dengan bantuan kuasa-kuasa besar telah mensasarkan bandar Aleppo, Idlib dan pinggiran kota Damaskus.

Sasaran serangan yang kononnya dikatakan untuk melumpuhkan dan menghapuskan pejuang penentang dan  IS, sebenarnya ia hanya ditujukan kepada tempat-tempat orang awam yang tidak berdosa.

Dilaporkan tidak kurang daripada 1,500 orang awam terkorban sejak beberapa bulan yang lalu. Dan sejak 23 April lalu, serangan meningkat dan berterusan serta mensasarkan bandar Aleppo, bandar yang terbesar yang masih didiami hampir 250,000 rakyat Syria.

RAKYAT MENJADI MANGSA

Memetik sumber-sumber berita rasmi antarabangsa seperti Observer dan Al-Jazeera serangan udara sejak seminggu lalu oleh tentera regim dan Rusia mensasarkan masjid, sekolah, tempat-tempat pertahanan awam, pejabat-pejabat NGO, perkhidmatan ambulans dan malah beberapa hospital awam.

Menurut Presiden Perbandaran Aleppo, Brita Hasan, dilaporkan setiap hari berlaku serangan kejam yang mengakibatkan ratusan rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsa.

"Serangan minggu lalu telah mengakibatkan  tidak kurang 347 orang terkorban termasuk 76 darinya kanak-kanak dan 38 wanita," katanya petik laporan Al-Jazeera.

Jelasnya lagi, pihak tentera regim juga melakukan serangan dengan bom barel, serangan udara dan misil di banyak kawasan termasuklah di Hritan, Kaft Dael, Bab al-Haded dan kejiranan Kastelo, jalan menuju Aleppo.

"Selama beberapa minggu yang lalu pihak regim dibantu oleh Rusia melakukan 907 serangan roket, 207 bom barrel, 36 cluster bom, 6 bom phosphorous dan 63 peluru berpandu jarak dekat.

"Serangan-serangan  tersebut mensasarkan 517 kawasan kediaman, 25 pasar rakyat, 6 pusat perubatan dan 39 kawasan orang awam," ujarnya.

Sementara itu,serangan bom udara keatas beberapa pusat rawatan termasuk Hospital al- Quds di Aleppo pada 29 April lalu, telah mengorbankan Dr Muhammad Maaz, satu-satunya pakar kanak-kanak yang masih ada dan juga membunuh lebih 30 orang staf serta pesakit di Hospital yang dikendalikan oleh NGO Antarabangsa Doctors Without Border (MSF).

Oleh itu,sebagai umat Islam dimana jua berada, fakta kerakusan regim Bashar dan sekutu-sekutunya yang telah meratah kehormatan saudara-saudara  kita di Aleppo dengan pengeboman kejam wajib di kecam oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

Untuk itu, melalui Biro Misi Kemanusiaan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Malaysia yang prihatin dalam isu kekejaman di Syria sejak 2012 dengan penyaluran pelbagai bantuan di kem-kem pelarian di Turki, Jordan mahupun didalam Syria sekali lagi merayu dan mengajak masyarakat Malaysia terus prihatin dan menyertai bantuan kecemasan ini.

Sumbangan berbentuk kewangan dan penyebaran maklumat tentang kempen ini kepada rakan-rakan  yang lain amat dihargai dan diperlukan.Perkembangan terkini di Aleppo dan Syria boleh diikuti melalui Facebook 'Misi Kemanusiaan Haluan'.

"Pihak kami mengalu-alukan mana-mana badan kerajaan, swasta, surau, masjid dan  institusi pendidikan untuk menjemput pihak kami bagi berkongsi pengalaman dan memberi penerangan tentang isu kemanusiaan Syria," jelas Ketua Biro Kemanusiaan Haluan, Dr Baharuddin Suri.

Tuesday, 3 May 2016

Ulama Syiah halalkan nyawa


Keluar fatwa kontroversi sokong rejim Bashar al-Assad
03 Mei 2016 12:07 AM
  52  7 Google +0

Ahmad Badr al-Hassoun

DAMSYIK 2 Mei - Seorang ulama pro-Syiah yang berpihak kepada tentera Syria mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan fatwa yang membenarkan penghapusan penduduk awam di bandar Aleppo, ketika tentera kerajaan melancarkan serangan habis-habisan untuk menawan semula bandar itu daripada kumpulan penentang.
Menurut portal Mail Online, fatwa itu dikeluarkan oleh ulama terkemuka Syria, Ahmad Badr al-Hassoun yang dilihat sebagai usaha untuk ‘menghalalkan’ keganasan yang dilakukan oleh tentera Syria di Aleppo sejak 10 hari lalu.
“Saya meminta tentera Syria dan pemimpin negara ini mempamerkan kekuatan bagi menghapuskan penjenayah terlibat,” kata Ahmad Badr.
Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada penduduk awam yang tinggal di kawasan timur bandar Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan Syria.
Sejak hampir 10 hari lalu, tentera negara ini telah melancarkan lebih 260 serangan udara, 18 peluru berpandu, 110 bedilan meriam dan menggugurkan 68 butir bom di Aleppo, menyebabkan lebih 250 terbunuh terma­suk 40 kanak-kanak.
Usaha untuk menghentikan serangan berdarah itu juga buntu apabila sekutu rapat Syria, Rusia menerusi Timbalan Menteri Luarnya, Gennady Gatilov menolak gesaan antarabangsa bagi menamatkan serangan di Aleppo.
“Moscow tidak akan menekan Bashar kerana situasi di Aleppo merupakan sebahagian daripada usaha memerangi pengganas,” katanya.
Sementara itu, beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa memberi amaran terhadap situasi kemanusiaan yang semakin buruk di Aleppo disebabkan tiada misi kemanusiaan dijalankan di bandar tersebut, selain tindakan tentera Syria yang se­ngaja menyerang kumpulan yang menghantar bantuan. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ulama-syiah-halalkan-nyawa-1.307533#sthash.gxxspSmn.dpuf

Monday, 2 May 2016

Syria umum gencatan senjata sementara


Aleppo terkecuali, terus 'bermandi darah'

PENDUDUK Syria membawa mayat mangsa di tengah-tengah runtuhan
PENDUDUK Syria membawa mayat mangsa di tengah-tengah runtuhan bangunan yang terkena bedilan serangan udara di kawasan perumahan Al-Qatarji yang dikuasai pemberontak di bandar Aleppo, utara Syria, kelmarin. AFP
BEIRUT 30 April - Tentera Syria 'mengumumkan’ gencatan senjata sementara di beberapa kawasan di negara itu khususnya di Damsyik dan wilayah utara termasuk di pinggir bandar Ghouta serta Latakia.
Menurut kenyataan pihak tentera, tempoh bertenang itu bermula hari ini iaitu sehari di timur Ghouta manakala tiga hari dilaksanakan di Latakia, namun belum ada penjelasan dibuat mengapa gencatan senjata terbabit hanya berlangsung secara sementara.
Bagaimanapun, pelaksanaan gencatan senjata itu menimbulkan persoalan apabila bandar Aleppo dikecualikan dengan pihak tentera memberi alasan bandar tersebut masih dipenuhi `pengganas’.
“Aleppo dikecualikan kerana masih banyak pengganas di sana yang tidak henti melancarkan serangan. Sebab itu kawasan di sana adalah berbeza (dikecualikan gencatan),” jelas kenyataan itu semalam.
Kumpulan penentang menguasai daerah-daerah di timur bandar Aleppo sejak 2012, manakala tentera kerajaan menguasai kawasan perumahan di bahagian barat bandar tersebut.
Serangan udara di bandar itu sejak minggu lalu menyaksikan seramai 250 orang terbunuh, insiden yang dilihat mencabul gencatan senjata yang dicapai pada 27 Februari lalu.
Dalam serangan di sebuah hospital di Aleppo pada Rabu lalu, jumlah mereka yang terkorban dilaporkan meningkat kepada lebih 50 orang.
Sementara itu, tentera Syria dan puak penentang dilaporkan saling berbalas serangan di Aleppo semalam.
Serangan udara tentera dilihat membedil beberapa kawasan strategik, mengorbankan 11 nyawa.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, serangan balas puak penentang di kawasan-kawasan yang dikuasai tentera kerajaan di bandar berkenaan menyaksikan sekurang-kurangnya 13 orang awam terbunuh.
“Langit seakan-akan runtuh di Aleppo. Bandar ini berdepan perang yang cukup kejam,” kata Ketua Misi Doctors Without Borders (MSF) di Syria, Muskilda Zancada.
Di bandar Qamishli, timur laut Syria pula, lima anggota polis terbunuh manakala empat lagi cedera dalam serangan pengebom berani mati. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syria-umum-gencatan-senjata-sementara-1.300533#sthash.52MQqMLt.dpuf

Qatar minta Liga Arab bincang krisis Syria


seorang kakitangan sukarela mengangkat seorang kanak-kanak perempuan
Seorang kakitangan sukarela mengangkat seorang kanak-kanak perempuan yang diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan akibat serangan pesawat tentera Syria ke atas bandar Aleppo pada 28 April lalu. REUTERS
DOHA 1 Mei – Qatar meminta Liga Arab mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan krisis yang semakin meruncing di Syria, ketika lapan lagi kematian dicatatkan, selepas tentera Pre­siden Bashar al-Assad membedil bandar Aleppo, masuk hari ke­sembilan berturut-turut, hari ini.
Menurut laporan portal Al Jazeera, permintaan Qatar itu merujuk keganasan yang semakin meningkat dan tidak terkawal di Aleppo yang menyaksikan orang awam menjadi mangsa serangan tentera Syria, sehingga menyebabkan banyak kematian dan kecederaan.
Jelas laporan itu, Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Jassim Al Thani turut menghubungi rakan sejawatnya dari Turki, Perancis dan Britain untuk membincangkan situasi kemanusiaan di Aleppo yang dibedil teruk oleh tentera Syria.
Sambil menyifatkan serangan itu mengabaikan prinsip dan undang-undang antarabangsa, beliau meminta masyarakat dunia berbuat sesuatu bagi menghentikan pembunuhan di Aleppo dan melindungi penduduk Syria.
Mesej yang sama turut disuarakan timbalan beliau, Sultan bin Saad al-Meraikhi yang menghubungi Timbalan Menteri Luar Rusia, Mikhail Bogdanov bagi menggesa Moscow sebagai sekutu rapat Syria, menamatkan serangan di Aleppo.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, sekurang-kurangnya 246 orang awam disahkan terbunuh dalam serangan meriam, roket dan udara sejak tentera kerajaan menggempur bandar itu pada 22 April lalu.
Semalam sahaja, tentera Syria melancarkan 28 serangan udara menggunakan pesawat tempur dan helikopter penyerang menyebabkan lapan orang terbunuh.
Sementara itu, berpuluh-puluh penduduk di daerah Bustan al-Qasr meninggalkan kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di bandar tersebut susulan serangan berterusan tentera kerajaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/qatar-minta-liga-arab-bincang-krisis-syria-1.304595#sthash.f9o4blpP.dpuf

83 peratus 
rakyat Syria miskin


Lebih 13.5 juta perlu bantuan kemanusiaan

Seorang kanak-kanak lelaki Syria bergambar di hadapan sebuah kem
Seorang kanak-kanak lelaki Syria bergambar di hadapan sebuah kem pelarian baru-baru ini. Agensi
BEIRUT 1 Mei - Sebanyak 83 peratus penduduk Syria dilaporkan hidup di bawah paras kemiskinan ketika ini berbanding hanya 28 peratus pada 2010.
Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Barat (ESCWA) dan Universiti St. Andrews dalam laporannya mendedahkan, jumlah itu meningkat hampir tiga kali ganda sejak perang saudara meletus lima tahun lalu.
Menurut laporan itu, kira-kira 13.5 juta termasuk lebih empat juta penduduk Syria yang menetap di wilayah Damsyik dan Aleppo memerlukan bantuan kemanusiaan sejak penghujung tahun lalu.
Laporan itu menyatakan, mengikut anggaran semasa, jangka hayat penduduk terlibat turut menurun dari umur 70 pada 2010 kepada 55.4 pada 2014.
Sementara itu, hampir separuh daripada 493 buah hospital di Syria mengalami kerosakan yang teruk pada 2010 akibat perang.
Serangan tersebut menyebabkan jumlah doktor dan ahli farmasi berkurangan dengan purata seorang doktor merawat 1,442 pesakit pada tahun lepas berbanding 661 pada 2010.
Selain itu, kira-kira 12.1 juta penduduk Syria mengalami masalah kekurangan air, manakala kerosakan kawasan penempatan dan bangunan dianggarkan bernilai AS$90 bilion (RM352.21 bilion).
Dalam perkembangan ber­kaitan, kira-kira 2.7 juta kanak-kanak Syria dilaporkan tercicir daripada pelajaran, manakala ekonomi pula menguncup kepada 55 peratus antara tempoh yang sama walaupun dijang­ka berlaku pertumbuhan sebanyak 32 peratus selepas ini.
Keluaran negara kasar dalam bidang pertanian turut merudum sehingga 60 peratus antara 2010 hingga tahun lalu selain kenaikan harga tepung gandum dan beras, masing-masing antara 43 dan 89 peratus sepanjang tempoh yang sama. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/83-peratus-8232-rakyat-syria-miskin-1.304607#sthash.yT7a3SM9.dpuf

Saturday, 30 April 2016

Tujuh hari berdarah


Penduduk menyelamatkan bayi dari bawah runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan di kawasan kejiranan al-Kalasa di Aleppo, kelmarin. - Foto AFP
DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 123 orang awam termasuk 18 kanak-kanak terbunuh dalam serangan berdarah menyasarkan Aleppo yang dikuasai kumpulan pemberontak sejak tujuh hari lalu, menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR)l, semalam.
Jurucakapnya memaklumkan sekurang-kurangnya 71 penduduk termasuk 13 budak pula maut selepas kumpulan pemberontak membedil kawasan dikuasai tentera kerajaan di bandar tersebut dalam tempoh sama.
Sementara itu, tentera Syria memberitahu 'situasi tenang' akan dikuatkuasakan  bermula jam 1 pagi (waktu tempatan) pada hari ini.
"Ia akan berkuat kuasa selama 24 jam di kawasan Ghouta Timur dan di Damsyik manakala untuk tempoh 72 jam di kawasan luar bandar utara Latakia.
"Keputusan ini bertujuan untuk menghalang cubaan mana-mana kumpulan militan dan penyokong mereka yang mahu mengeruhkan lagi konflik dan ketidakstabilan dengan menyasarkan orang awam," menurut kenyataan Perintah Am Tentera Syria.- Reuters

Tentera Syria siap sedia 
gempur Aleppo habis-habisan


Seorang kanak-kanak lelaki Syria yang sedang menangis ditenteramkan
Seorang kanak-kanak lelaki Syria yang sedang menangis ditenteramkan anggota keluarganya selepas ahli keluarganya terbunuh dalam serangan udara di kawasan kediaman al-Soukour di utara bandar Aleppo pada 27 April lalu. AFP
ALEPPO 29 April – Tentera Syria sedang membuat persiapan untuk menggempur bandar Aleppo habis-habisan, bagi menawan semula bandar tersebut daripada kumpulan militan dan penentang, selepas serangan udara di bandar itu sejak minggu lalu menyaksikan 203 orang terbunuh, insiden yang mencabul gencatan senjata yang semakin rapuh di negara ini.
Akhbar pro-kerajaan, Al-Watan melaporkan tentera Syria sudah bersiap sedia menggempur bandar Aleppo dan wilayah berhampiran ketika sumber rapat dengan kerajaan memberitahu bahawa kempen ketenteraan itu pasti akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Sekarang merupakan masa sesuai untuk menggempur Aleppo bagi membebaskan bandar itu (daripada kumpulan bersenjata). Perang itu tidak akan mengambil masa yang lama untuk bermula dan ditamatkan,” lapor Al-Watan.
Menurut sumber kerajaan, tentera Syria sedang membuat persiapan besar-besaran bagi mengusir kumpulan pemberontak keluar dari kawasan bandar itu, sekali gus mewujudkan sebuah zon keselamatan di wilayah itu.
Kumpulan penentang menguasai daerah-daerah di timur bandar Aleppo sejak 2012, manakala tentera kefrajaan menguasai kawasan perumahan di bahagian barat bandar tersebut.
Kawalan ke atas wilayah berhampiran pula terbahagi antara beberapa kumpulan bersenjata seperti kumpulan militan al-Qaeda dan kumpulan militan Negara Islam (IS), militia Kurdis dan beberapa kumpulan penentang lain dan tentera kerajaan.
Jauh di utara Aleppo, kumpulan penentang termasuk kumpulan militan Ahrar al-Sham dan militia Kurdis terlibat dalam pertempuran sengit sejak kelmarin dan semalam mengakibatkan sebanyak 64 orang anggota penentang maut.
Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Staffan de Mistura berkata, gencatan senjata yang dicapai pada 27 Februari lalu hampir musnah, sambil merayu Amerika Syarikat (AS) dan Rusia bertindak segera menangani pencabulan itu.
Sementara itu, Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, bedilan roket dan meriam ke kawasan perumahan yang dikuasai tentera kerajaan, semalam menyaksikan sebanyak 22 orang terbunuh termasuk dua orang kanak-kanak.
Serangan udara di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang mengorbankan sebanyak 123 orang awam termasuk 18 kanak-kanak dalam tempoh tujuh hari lalu.
Dalam tempoh sama, sebanyak 71 orang awam termasuk 13 kanak-kanak terbunuh di kawasan kediaman yang dikuasai tentera kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Aleppo, Valter Gros menyifatkan bandar Aleppo di ambang bencana kemanusiaan.
“Di mana sahaja anda berada, anda akan mendengar bunyi letupan mortar, bom yang dilancarkan dari jet-jet pejuang tentera kerajaan,” katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tentera-syria-siap-sedia-8232-gempur-aleppo-habis-habisan-1.300190#sthash.4CKKJaFq.dpuf

Friday, 29 April 2016

64 terbunuh serangan di Syria


64 terbunuh serangan di Syria

Syrian civil defence volunteers remove the body of a man from
Sukarelawan Pertahanan Awam Syria mengeluarkan mayat mangsa daripada runtuhan bangunan susulan serangan udara di Aleppo, kelmarin. – AFP
DAMSYIK 28 April - Sebanyak 64 terbunuh dalam beberapa siri serangan di bandar Aleppo semalam dan awal hari ini, menyaksikan orang awam tidak berdosa menjadi korban perang saudara yang berlanjutan sejak 2011.
Dalam serangan udara tentera Syria di Hospital Al Quds di daerah Sukkari, semalam, sebanyak 30 maut termasuk orang awam, kakitangan hospital dan satu-satunya pakar pediatrik di Aleppo, Dr. Wasem Maaz.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, 14 daripada jumlah itu adalah pesakit.
Menurut badan itu, Hospital Al Quds dibedil sebanyak empat kali dan jumlah kematian dijangka me­ningkat susulan banyak mangsa masih terpe­rangkap di bawah runtuhan.
Di lokasi berasingan, serangan udara di dua kawasan penempatan dikuasai kumpulan penentang di al-Kalasa, Aleppo hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang.
Video dikeluarkan aktivis me­maparkan situasi panik di lokasi kejadian termasuk seorang lelaki mengangkat anak perempuannya sejurus dikeluarkan daripada runtuhan bangunan.
Satu lagi serangan di bandar sama pula menyaksikan 1,300 bedilan roket dan peluru berpandu di kawasan dikuasai tentera Syria, mengakibatkan 14 kematian.
Susulan serangan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pemimpin Amerika Syarikat (AS) serta Rusia membincangkan isu gencatan senjata dan rundingan damai bagi menamatkan konflik berdarah di negara ini.
Utusan Khas PBB ke Syria, Staffan de Mistura berkata, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perkara tersebut, selepas melihat kegagalan gencatan senjata di Aleppo dan tiga lagi kawasan lain. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/64-terbunuh-serangan-di-syria-1.293870#sthash.o8vHdTaN.dpuf

Thursday, 28 April 2016

RM3.1 bilion milik IS ‘hangus’


Susulan serangan udara diketuai AS di Iraq, Syria

INFO
BAGHDAD 27 April - Simpanan berbentuk wang tunai sebanyak AS$800 juta (RM3.1 bilion) milik kumpulan militan IS dilaporkan ‘hangus’ semasa siri serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan Syria.
Jurucakap tentera AS yang berpangkalan di Baghdad, Mejar Jeneral Peter Gersten mendakwa, serangan udara oleh AS telah beberapa kali menghalakan tempat-tempat simpanan wang kumpulan berkenaan sebagai sasaran.
Serangan itu jelasnya, memberi tamparan hebat kepada kedudukan kewangan kumpulan militan itu dan secara langsung `melemahkan’ usaha merekrut anggota baharu.
“Sekurang-kurangnya 20 sera-ngan udara dilancarkan terhadap lokasi-lokasi simpanan wang milik IS,” katanya dalam satu taklimat ringkas kepada media di sini semalam.
Pada 2014, Jabatan Perbendaharaan AS menyifatkan IS sebagai pertubuhan pengganas dengan memiliki kedudukan kewangan terbaik.
Gersten seperti dipetik oleh portal BBC bagaimanapun tidak mendedahkan butiran bagaimana AS mengetahui kedudukan jumlah wang IS yang telah dimusnahkan.
Namun beliau memberi anggaran iaitu sekurang-kurangnya AS$150 juta (RM587 juta) wang milik IS musnah semasa serangan udara ke atas sebuah rumah di Mosul, Iraq.
“Agak sukar menentukan jumlah keseluruhan wang milik IS yang musnah dalam serangan namun (jumlah tersebut) antara AS$500 (RM1.9 bilion) hingga AS$800 juta (RM3.1 bilion),” jelasnya.
Ujar beliau, hasil risikan mendapati, akibat masalah kewangan yang dihadapi kumpulan IS ketika ini, kumpulan itu terpaksa menjual kenderaan sebagai sumber baharu kewangan.
“Kami melihat semangat mereka semakin luntur,” kata Gersten.
Pada Januari lalu, Badan Pemantau Hak Asasi Syria melaporkan, kumpulan militan IS bertindak mengurangkan gaji anggota mereka kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan yang sedang dilalui kumpulan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rm3-1-bilion-milik-is-8216-hangus-8217-1.293534#sthash.6YWcDuWc.dpuf

Wednesday, 27 April 2016

Serangan Bom Roket: Seorang Terbunuh, 26 Cedera


Diterbitkan: Isnin, 25 April 2016 9:03 AM

ANKARA: Seorang terbunuh manakala 26 lagi cedera apabila lima bom roket ditembak ke Turki dari Syria yang menjadi kawasan jajahan kumpulan militan pada Ahad.
Tembakan pertama terkena rumah di kawasan kejiranan Okcular, Kilis manakala yang kedua menghala ke Masjid.
Serangan tidak bertanggungjawab itu dilapor turut menyebabkan kecederaan terhadap enam warga Syria.
Beberapa minggu lalu, kumpulan militan didakwa turut melepaskan beberapa tembakan bom roket ke arah tenggara Kilis yang menjadi tempat tinggal pelarian dari Syria.
Sejak Januari lalu, sebanyak 45 bom roket telah dilancarkan dari Syria ke Kilis sehingga mengorbankan 16 orang awam.
Sebagai tindak balas Turki turut memusnahkan lokasi kumpulan militan melepaskan tembakan di Syria.

19 maut, 120 lain cedera dalam serangan terbaharu di Aleppo


aleppo
SYRIA 26 APRIL - Gambar yang diedarkan oleh agensi berita rasmi Syria, SANA menunjukkan kesan serangan pengebom berani mati di pintu masuk kejiranan Sayyida Zeinab, Damsyik semalam. - SANA/AFP
BEIRUT 26 April - Sekurang-kurangnya 19 orang awam termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dan 120 lagi cedera selepas kumpulan penentang Syria mengebom utara bandar Aleppo yang dikuasai kerajaan semalam.
Walau bagaimanapun agensi berita SANA melaporkan 16 terbunuh dan 86 lagi cedera selepas kumpulan Barisan Al-Nusra dan sekutunya melepaskan tembakan di sekurang-kurangnya lima kawasan penempatan awam.
Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman pula berkata, empat orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh setelah anggota tentera rejim Syria melepaskan tembakan di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang. - AFP.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/19-maut-120-lain-cedera-dalam-serangan-terbaharu-di-aleppo-1.291234#sthash.zXbMH4l6.dpuf

Monday, 25 April 2016

Pemimpin kanan militan Ahrar al-Sham terbunuh


Majed Hussein al-Sadeq
Majed Hussein al-Sadeq
IDLIB, Syria 24 April – Seorang pemimpin kanan kumpulan militan Ahrar al-Sham terkorban dalam serangan bom di barat laut Syria, semalam.
Menurut portal presstv.ir, Majed Hussein al-Sadeq bersama tiga lagi anggota kumpulan berkenaan yang mempunyai kaitan dengan rangkaian militan al-Qaeda terbunuh dalam serangan yang disasarkan ke arah ibu pejabat kumpulan itu di bandar Binnish, kira-kira 10 kilometer di barat laut wilayah Idlib.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan bahawa seorang individu yang tidak dikenali meletakkan sebuah motosikal berhampiran ibu pejabat kumpulan militan itu sebelum berjalan kaki menuju ke tempat kumpulan militan itu berkumpul.
Lelaki berkenaan kemudian meletupkan bahan letupan yang dipakainya, sekali gus mengorbankan Majed dan tiga lagi anggota kumpulan militan itu.
Badan pemantau itu yang berpangkalan di Britain berkata, beberapa orang anggota kumpulan militan Takfiri itu turut cedera.
Menurutnya, angka korban dijangka meningkat kerana beberapa anggota kumpulan militan itu yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.
Julai lalu, seorang pemimpin kanan Ahrar al-Sham, dikenal pasti sebagai Abu Abdel Rahman Salqin terkorban selepas dua individu yang tidak dikenali meletupkan bahan letupan di pangkalan kumpulan militan itu di Abu Talha, wilayah Idlib.
Ahrar al-Sham merupakan sebuah kumpulan militan paling lama ditubuhkan sejak 2011 dan memiliki ramai anggota yang beroperasi di Syria, serta aktif di wilayah Idlib.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemimpin-kanan-militan-ahrar-al-sham-terbunuh-1.290328#sthash.VRaFr7rg.dpuf

Kesatuan Eropah puji Turki berjaya kendali pelarian


Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Turki, Ahmet

Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu melawat kanak-kanak pelarian di sebuah tadika kem pelarian Nizip dekat Gaziantep, Turki, kelmarin. REUTERS
ANKARA 24 April – Kesatuan Eropah (EU) memuji kecekapan Turki menguruskan hal kebajikan pelarian yang mendapat perlindungan di negara ini, berdasarkan perjanjian antara kedua-dua pihak untuk mengekang golongan itu menempuh perjalanan bahaya ke benua Eropah.
Pujian tersebut disuarakan oleh pemimpin-pemimpin EU, ketika Canselor Jerman, Angela Merkel yang ditemani Presiden EU, Donald Tusk dan Timbalan Presiden Suruhanjaya Eropah, Frans Timmermans melawat sebuah kem pelarian di Nizip berdekatan sempadan Syria, semalam.
Tusk memuji kerajaan pimpinan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu yang wajar dijadikan contoh kepada dunia dalam mengendalikan hal pelarian.
“EU akan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak 1 bilion euro (RM4.38 bilion) pada pertengahan tahun ini untuk digunakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan pelarian Syria,” katanya seperti dilaporkan portal Al Jazeera.
Dalam pada itu, Merkel berkata, perjanjian dengan Turki bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan manusia, terutamanya menggunakan laluan laut yang boleh mengundang risiko tinggi.
Beliau kagum terhadap usaha kerajaan Turki di kem Nizip dan berharap menerusi bantuan EU, pelarian Syria akan menjalani kehidupan yang lebih baik, selain memberi peluang kepada golongan pelarian kanak-kanak untuk mendapat pendidikan.
“Perjanjian ini bukan sahaja mengekang kebanjiran pendatang tanpa izin tetapi mencipta lebih banyak peluang kepada pelarian yang tinggal berdekatan negara asal mereka,” katanya.
Sebagai balasan, EU berjanji untuk memberi akses visa percuma kepada rakyat Turki seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Dovutoglu berkata, perjanjian berhubung pelarian itu telah menunjukkan kesan positif dan jumlah pelarian yang menyeberangi Laut Aegean, berkurangan dengan mendadak daripada 6,000 orang pada November lalu kepada 130 orang bulan ini.
“Kami telah memenuhi syarat perjanjian dan EU perlu melakukan perkara sama bagi mengelakkan krisis ini berulang,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kesatuan-eropah-puji-turki-berjaya-kendali-pelarian-1.290334#sthash.hygqOhyz.dpuf

Pemimpin kanan militan Ahrar al-Sham terbunuh


Majed Hussein al-Sadeq

Majed Hussein al-Sadeq
IDLIB, Syria 24 April – Seorang pemimpin kanan kumpulan militan Ahrar al-Sham terkorban dalam serangan bom di barat laut Syria, semalam.
Menurut portal presstv.ir, Majed Hussein al-Sadeq bersama tiga lagi anggota kumpulan berkenaan yang mempunyai kaitan dengan rangkaian militan al-Qaeda terbunuh dalam serangan yang disasarkan ke arah ibu pejabat kumpulan itu di bandar Binnish, kira-kira 10 kilometer di barat laut wilayah Idlib.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan bahawa seorang individu yang tidak dikenali meletakkan sebuah motosikal berhampiran ibu pejabat kumpulan militan itu sebelum berjalan kaki menuju ke tempat kumpulan militan itu berkumpul.
Lelaki berkenaan kemudian meletupkan bahan letupan yang dipakainya, sekali gus mengorbankan Majed dan tiga lagi anggota kumpulan militan itu.
Badan pemantau itu yang berpangkalan di Britain berkata, beberapa orang anggota kumpulan militan Takfiri itu turut cedera.
Menurutnya, angka korban dijangka meningkat kerana beberapa anggota kumpulan militan itu yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.
Julai lalu, seorang pemimpin kanan Ahrar al-Sham, dikenal pasti sebagai Abu Abdel Rahman Salqin terkorban selepas dua individu yang tidak dikenali meletupkan bahan letupan di pangkalan kumpulan militan itu di Abu Talha, wilayah Idlib.
Ahrar al-Sham merupakan sebuah kumpulan militan paling lama ditubuhkan sejak 2011 dan memiliki ramai anggota yang beroperasi di Syria, serta aktif di wilayah Idlib.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemimpin-kanan-militan-ahrar-al-sham-terbunuh-1.290328#sthash.n4xcxt2T.dpuf

Sunday, 24 April 2016

Serangan udara ragut 19 nyawa


Beirut: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam serangan udara di bandar Aleppo dan Idlib, semalam.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, serangan yang dilancarkan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu menyasarkan kawasan kejiranan Bustan al-Qasr dan beberapa kawasan lain di bandar Aleppo yang dikuasai penentang.

Aleppo, bandar kedua terbesar Syria dan bekas pusat perdagangan menyaksikan pertempuran sengit sejak gencatan senjata 27 Februari.

Tentera Bashar berusaha mara ke kawasan yang dikuasai penentang dari semua arah, kecuali dari barat laut bandar itu.

SOHR menyifatkan serangan udara semalam sebagai yang paling sengit sejak gencatan senjata bermula.

Tentera Syria juga menyasarkan serangan mereka di Idlib. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 7:34 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/132772#sthash.VsIE9x4p.dpuf