Wednesday, 28 August 2013

'Kami guna pelbagai cara'


Damsyik: Menteri Luar Syria semalam berkata, negara itu akan mempertahankan diri “menggunakan segala cara” jika diserang AS sambil menafikan sekeras-kerasnya Damsyik mendalangi serangan senjata kimia berhampiran bandar raya itu.

Walid al-Moallem juga mencabar Washington mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.


Mengenai kelewatan lawatan kedua pakar PBB ke tapak didakwa menjadi lokasi serangan senjata kimia minggu lalu, kata Walid, ia berlaku disebabkan pertikaian di antara kumpulan pejuang antikerajaan. “Saya mencabar mana-mana pihak yang menuduh kami menggunakan senjata kimia supaya tampil bersama bukti,” katanya pada sidang media bagi menafikan tuduhan Washington terhadap Syria. Mengenai kemungkinan diserang AS ekoran dakwaan penggunaan senjata kimia, Walid berkata, Syria mampu mempertahankan diri.

“Kami akan menggunakan segala cara yang ada dan kami akan mengejutkan semua orang,” katanya.


Walid enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan itu. Kelmarin Setiausaha Negara AS John Kerry berkata, pihaknya memiliki bukti kukuh berlaku serangan senjata kimia besar-besaran disyaki dilancarkan rejim Presiden Bashar al-Assad. Menurut Kerry, “nilai antarabangsa tidak akan dibiarkan dicemari tanpa tindakan balas.” Kenyataan itu adalah bayangan paling jelas dari AS - setakat ini - terhadap kemungkinan serangan tentera di Syria.


Jika Presiden Barack Obama memberikan arahan, kemungkinan besar ia membabitkan serangan peluru berpandu dari laut.

Sokongan antarabangsa juga mungkin meningkat jika disahkan rejim Bashar bertanggungjawab dalam serangan kimia pada 21 Ogos lalu yang didakwa membunuh ratusan orang. - AP

No comments:

Post a Comment