RIYADH 4 Feb. - Kerajaan Arab Saudi akan mengenakan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun ke atas rakyatnya yang terlibat dalam konflik di luar negara, menurut satu dekri diraja yang dikeluarkan, semalam.
Dekri itu dilihat sebagai usaha Arab Saudi menghalang rakyatnya terlibat dalam konflik di Syria.
Undang-undang itu dikeluarkan selepas wujud kebimbangan, rakyat Arab Saudi yang terlibat dalam perang menentang Presiden Bashar al-Assad akan pulang ke negara ini untuk menumbangkan kerajaan diraja Arab Saudi, seperti yang berlaku dalam perang di Afghanistan dan Iraq.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menganggarkan 1,200 warga Arab Saudi berada di Syria menyokong pihak-pihak yang bersengketa di negara itu.
"Pemimpin Arab Saudi peka dengan apa yang berlaku di Syria, mereka juga terfikir tentang apa yang berlaku di Afghanistan dan orang yang sudah pergi ke sana dan kemudiannya pulang membuat kekacauan," kata bekas Duta Amerika Syarikat ke Riyadh antara 2001-2003, Robert Jordan.
Sementara itu, jurucakap keselamatan Arab Saudi, Mejar Jeneral Mansour Turki berkata, antara 200 dan 300 rakyat negara ini sudah kembali dari Syria dan menjadikan program pemulihan negara ini untuk kegunaan pemberontak.
Dekri tersebut turut menyatakan mana-mana rakyat negara ini yang menaja, memberi sokongan moral dan bantuan perubatan kepada mana-mana kumpulan pengganas sama ada di dalam atau di luar negara, akan berdepan hukuman penjara antara lima dan 30 tahun.
Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kumpulan yang akan diharamkan yang boleh memberi ancaman kepada negara
"Syria merupakan faktor utama mengapa kerajaan mengenakan undang-undang ini, dekri ini akan digunakan bagi menangani isu pengganas, ia juga dijadikan benteng bagi menghalang kemaraan Ikhwanul Muslimin dan pergerakan Hezbollah ke negara ini," jelas seorang pengkaji di Institut Chatham House London, Jane Kinninmont. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140205/lu_04/Arab-Saudi-hukum-rakyatnya-terlibat-konflik-di-luar-negara#ixzz2sOQRrFtk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment