Penduduk Syria melarikan diri selepas pakatan penentang kerajaan berjaya menawan bandar Ariha, kubu terakhir tentera kerajaan di wilayah Idlib, semalam. REUTERS
NEW YORK/BEIRUT 29 Mei – Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan bersara, Valerie Amos membidas Majlis Keselamatan PBB, ekoran kegagalan majlis itu menghentikan konflik di Syria.
Dalam taklimat terakhirnya kepada Majlis Keselamatan PBB, Amos turut memberi amaran tentang keadaan menyedihkan yang dihadapi penduduk Syria ketika ini yang dijanga akan terus bertambah teruk.
Amos berkata, meskipun satu resolusi diluluskan pada Februari 2014 bagi menghentikan keganasan ke atas orang awam, menarik balik kepungan dan membenarkan akses kemanusiaan, namun situasi di Syria berterusan bertambah buruk.
Hari ini, sebanyak 12.2 juta penduduk Syria hidup dalam keadaan terdesak, memerlukan bantuan kemanusiaan yang merupakan peningkatan hampir satu pertiga daripada jumlah awal, sejak resolusi itu diluluskan bagi memastikan kemasukan akses kemanusiaan ke negara itu.
Amos menjelaskan bahawa jumlah penduduk Syria yang tinggal di bawah kepungan juga meningkat sekali ganda sejak Februari 2014 dan kini mencecah 442,000 orang,
``Sekiranya saya melaporkan perkara ini semasa permulaan konflik, saya pasti anggota majlis ini tidak akan mempercayainya dan hari ini kita mengambil mudah mengenainya,’’ katanya.
Dalam perkembangan berasingan, sebuah pakatan penentang kerajaan diketuai rangkaian al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra menawan kubu terakhir tentera Syria di wilayah Idlib, semalam.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, Barisan al-Nusra dan sekutunya yang membentuk `Tentera Penakluk’ atau `Jaish al-Fatah’ dalam bahasa Arab berjaya menawan bandar Ariha selepas bertempur dengan tentera kerajaan yang dibantu sekutu mereka, pergerakan Hezbollah.
Ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman berkata, tentera kerajaan kemudiannya dilihat berundur, tindakan yang disusuli dengan kemasukan anggota penentang di daerah Ariha.
“Jaish al-Fatah telah menguasai sepenuhnya bandar Ariha selepas satu serangan sengit yang berakhir dengan pengunduran tentera kerajaan dan sekutu mereka, Hezbollah dari sebelah barat bandar itu,’’ katanya. – DPA/AFP