Thursday 22 October 2015

Bashar bertemu Putin


Bashar bertemu Putin

22 OKTOBER 2015
Bashar bertemu Putin Putin (kanan) bersalaman dengan Bashar ketika mesyuarat di Kremlin di Moscow, kelmarin.

MOSCOW - RUSIA . Presiden Syria, Bashar al-Assad, kelmarin membuat lawatan mengejut untuk bertemu dengan rakan sejawatannya, Vladimir Putin di ibu negara Rusia bagi membincangkan situasi yang semakin meruncing di negara bergolak itu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata Bashar turut memaklumkan kepada sekutu kuatnya mengenai rancangan tentera kerajaan untuk memerangi kumpulan militan di Damsyik.
"Agenda utama mesyuarat dapat difahami dengan jelas kerana pertemuan itu turut disertai pembuat dasar Rusia," katanya.

Difahamkan, Putin juga menyatakan bahawa Moscow bersedia untuk memerangi keganasan secara bersama malah mereka mahu mencari penyelesaian politik kepada krisis yang berlarutan selama empat tahun di negara tersebut.

Menurut pemimpin itu, kira-kira 4,000 warga negara bekas Kesatuan Soviet itu dipercayai menyertai perjuangan kumpulan militan termasuk IS di Syria.

"Kerajaan tidak akan sesekali membenarkan mereka kembali semula ke negara ini," tegasnya.

Sementara itu, Bashar turut mengalu-alukan operasi ketenteraan dilancarkan Rusia yang menyasarkan kedudukan militan di Syria.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kepimpinan Moscow kerana turut sama memerangi militan di Damsyik," menurutnya. - AFP

No comments:

Post a Comment