Thursday, 22 October 2015

Syria nafi askar Russia terbabit serangan darat


Amman: Tentera Syria menafikan laporan tentera darat Russia bertempur bersama askarnya dan menegaskan Moscow hanya memberi bantuan serangan udara.

Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, satu sumber tentera memberitahu, dakwaan askar Russia terbabit dalam operasi di darat adalah tidak berasas dan hanya propaganda.

Katanya, operasi tentera udara Russia yang masuk minggu ketiga menyasarkan tempat persembunyian penentang, pusat pemerintahan dan simpanan senjata.

Satu sumber tentera memberitahu Reuters kelmarin, sekurang-kurangnya tiga askar Russia terbunuh ketika bertempur dengan tentera Syria dan beberapa lagi cedera selepas terkena bedilan meriam di Latakia.

Ketua Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia, Rami Abdulrahman memberitahu, sumber di kawasan itu mengesahkan kejadian berkenaan, tetapi tidak mengetahui berapa ramai askar Russia maut.

Rami berkata, dia percaya askar Russia yang terbunuh itu mungkin anggota sukarela.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Russia menafikan ada askar negara itu terbunuh di Syria. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 6:58 AM


SEORANG pejuang penentang melepaskan tembakan dalam satu pertempuran berhampiran Gunung Azzan pada Sabtu lalu.

No comments:

Post a Comment