Thursday, 14 January 2016

Lebih ramai akan mati kebuluran


AFP - IMEJ yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ini menunjukkan sebahagian konvoi bantuan kemanusian yang bersiap sedia masuk ke bandar Madaya di Syria kelmarin.


PERTUBUHAN BANGSA-­BANGSA BERSATU (PBB) – Pegawai bantuan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria memberi amaran kelmarin bahawa lebih ramai akan mati melainkan tentera kerajaan dan pemberontak menarik balik pengepungan di beberapa bandar di negara itu.
“Keadaan ini perlu dihentikan. Lebih ramai lagi akan mati jika dunia tidak bertindak cepat,” kata Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Syria, Yacoub El Hillo.
Pegawai PBB itu berucap sehari selepas konvoi bantuan menghantar bekalan buat kali pertama dalam masa tiga bulan tiba ke bandar Madaya yang dikepung oleh tentera kerajaan di bawah Presiden Bashar Al-Assad.
Menurut sebuah badan amal perubatan, MSF sebanyak 28 orang telah meninggal dunia akibat kebuluran di Syria sejak 1 Disember lalu.
El Hillo berkata, dia melihat masyarakat di Madaya mengalami kekurangan nutrisi yang teruk terutamanya kanak-kanak yang sangat kurus sehingga tinggal tulang selepas tentera kerajaan mengepung kawasan berkenaan selama enam bulan.
“Kami melihat orang awam tidak mempunyai makanan untuk satu tempoh masa yang lama,” katanya kepada pemberi­ta ketika bercakap menerusi te­lefon dari Damsyik.
El Hillo memohon tindakan PBB untuk menamatkan pengepungan dengan menggambarkan sekatan itu sebagai punca utama kepada penderitaan penduduk Syria.
PBB dalam pada itu berkata, pihaknya sedang berusaha menyampaikan bantuan kepada kira-kira 4.5 juta rakyat Syria yang tinggal di kawasan terpencil termasuk hampir 400,000 orang di 15 kawasan dikepung.
Majlis keselamatan PBB telah menerima pakai resolusi yang mendesak penamatan sekatan, namun diabaikan oleh pihak yang berkonflik.
Rundingan sedang dijalankan bagi memindahkan 400 rakyat Syria, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dari sebuah hospital di Madaya dan membawa klinik bergerak untuk menyediakan perkhidmatan rawatan, kata El Hillo.
Pesakit-pesakit mungkin dibawa ke hospital di Damsyik bagi menerima bantuan perubatan segera, katanya.
“Saya mempunyai alasan yang kukuh bahawa tindakan ini perlu dilakukan,” tambahnya.
Selepas beberapa bulan run­dingan, PBB dan rakan bantuan­nya pada Isnin lalu berupaya menghantar 65 trak penuh dengan makanan, bantuan perubatan, selimut dan pakaian musim sejuk kepada penduduk Madaya yang terperangkap selain dua lagi bandar iaitu Fuaa dan Kafraya.
Penghantaran bantuan itu berjaya dihantar menjelang pusingan baharu rundingan damai Syria yang dirancang pada 25 Januari ini di Geneva.
Lebih 260,000 penduduk terbunuh di Syria sejak konflik yang bermula dengan demons­trasi antikerajaan berlaku pada Mac 2011. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3xBtdGVzc 
Hakcipta terpelihara 

Pindah atau roboh

Calais (Perancis): Kerajaan Perancis memberi masa dua hari kepada 1,500 pendatang yang enggan berpindah dari kawasan ‘Calais Jungle’ (Hutan Calais) sebelum merobohkan sepertiga kem pelarian itu jika tetap enggan berpindah ke perumahan dibina kerajaan.
Penghuni kem itu menolak penempatan baru yang bernilai £20 juta (RM126.55 juta), direka untuk menempatkan 1,500 pelarian di dalam kontena yang diubah suai dengan bekalan air dan elektrik kerana mendakwa ia kelihatan seperti penjara.
Bagaimanapun, polis Perancis memberi masa sehingga malam tadi (waktu tempatan) untuk mengosongkan khemah mereka sebelum dirobohkan oleh jentolak hari ini.
‘Ketua masyarakat’ bagi golongan itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan menolak dengan baik arahan kerajaan itu untuk mengosongkan sepertiga kem pelarian berkenaan.
“Kami, dengan hormatnya menolak permintaan kerajaan Perancis yang mahu mengecilkan saiz kem.
“Kami merayu pihak berkuasa Perancis dan masyarakat antarabangsa memahami keadaan ini serta menghormati hak asasi kami,” kata mereka.
Kem baru itu diperbuat daripada kontena besi yang diubah suai menjadi rumah selesa, dilengkapi alat pemanas, tandas dan kemudahan membasuh.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:31 AM

KEADAAN kem pelarian di Calais dengan kediaman baru dibina kerajaan di latar belakangnya.

PBB beri amaran lebih ramai akan mati


Pihak bertelagah Syria dirayu henti kepungan

seorang lelaki hidup ibarat bangkai bernyawa akibat krisis kebuluran

seorang lelaki hidup ibarat bangkai bernyawa akibat krisis kebuluran di Madaya, Syria. REUTERS
NEW YORK 13 Jan. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran, lebih banyak penduduk akan mati di Syria jika kerajaan dan kumpulan penentang tidak berundur daripada mengepung bandar-bandar di negara itu.
Penyelaras kemanusiaan PBB untuk Syria, Yacoub El Hillop berkata, keadaan buruk itu boleh berlaku jika masyarakat dunia gagal mengambil tindakan pantas.
“Kepungan mesti dihentikan,” tegas beliau sehari selepas konvoi bantuan menghantar bekalan pertama dalam tempoh tiga bulan ke bandar-bandar terbabit termasuk Madaya.
Sebanyak 28 orang maut di Madaya akibat kebuluran sejak 1 Di­sember lalu.
Mengulas tentang kebuluran di Madaya yang terkepung selama enam bulan oleh tentera Syria, beliau berkata, penduduk di sana terutamanya kanak-kanak terlalu kurus seperti rangka bernyawa akibat kekurangan makanan.
“Kami dapat melihat orang yang tidak makan dalam satu tempoh yang lama,’’ katanya.
Yacoub turut merayu PBB memainkan peranan untuk menghentikan kepungan terbabit yang menjadi faktor utama kepada ke­sengsaraan penduduk dan satu taktik perang digunakan kedua-dua pihak bertelagah dalam konflik yang bermula sejak lima tahun itu.
Menurut PBB, pihaknya kini berusaha untuk menghantar bekalan kepada 4.5 juta penduduk Syria yang berada di kawasan terpencil termasuk 400,000 orang yang berada di 15 kawasan yang dikepung.
Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi menggesa penamatan kepungan berkenaan namun setakat ini, pihak-pihak bertelagah tidak menghiraukannya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pbb-beri-amaran-lebih-ramai-akan-mati-1.179385#sthash.wuQIvpZq.dpuf

Wednesday, 13 January 2016

Rusuhan bantah pelarian

Berlin: Perusuh antipelarian mengamuk di Leipzig, selepas melakukan bantahan mendesak supaya pendatang dihantar pulang dan sempadan Jerman ditutup.
Beberapa jam selepas Canselor Angela Merkel mengakui Eropah semakin hilang kawalan terhadap krisis pendatang, kumpulan berhaluan kanan meninggalkan tunjuk perasaan aman diadakan di bandar di timur Jerman itu sebelum melakukan keganasan di bandar kecil Connewitz.
Kira-kira 250 samseng anggota LEGIDA - cawangan tempatan PEGIDA - merosakkan gerai kebab selain membakar kereta dan memecahkan tingkap kedai. PEGIDA ialah kumpulan antipelarian dan anti-Kesatuan Eropah (EU) yang sebelum itu berarak membantah kehadiran pelarian.
Penunjuk perasaan yang turut menyerangb polis dengan mercun, cuba membina sekatan di tengah jalan utama menggunakan papan tanda jalan dan batu turap sebelum berjaya disuraikan.
Bomba juga dikerahkan memadamkan kebakaran di loteng sebuah bangunan akibat terkena mercun dilepaskan perusuh.
Sebuah bas membawa penunjuk perasaan yang propelarian juga diserang dan dirosakkan.
Polis berkata, 211 perusuh dikenal pasti sebagai samseng berhaluan kanan, ramai yang mempunyai rekod jenayah kerana bersikap ganas.
Jurucakap polis berkata: “Perbuatan ini mengganggu keamanan.”
Dia turut mengesahkan beberapa anggota polis cedera dalam pertempuran yang meletus akibat kemarahan susulan serangan seksual besar-besaran yang dilakukan pendatang terhadap wanita di Cologne serta di bandar Jerman lain.
Antara sepanduk dibawa penunjuk perasaan semalam tertulis kata-kata ‘Rape Refugees stay away’ (Usir pelarian perogol) yang turut memaparkan lukisan wanita yang lari dari penyerang bersenjatakan pisau.
Sebelum itu, Angela berkata: “Tiba-tiba kita berdepan cabaran dalam menangani isu pelarian di Eropah kerana masih tidak cukup aturan dan kawalan sepenuhnya seperti dikehendaki.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:23 AM


ANGGOTA pergerakan anti-Islam menunjuk perasaan di Leipzig bagi mendesak kerajaan Jerman mengusir pendatang Islam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/106929#sthash.kZcqVQow.dpuf

Ratusan rakyat Syria perlu rawatan segera

Ratusan rakyat Syria perlu rawatan segera

13 JANUARI 2016

Puluhan kotak bekalan bantuan dibawa keluar dari lori di sebuah gudang di Idlib, dekat barat laut Syria. - Foto: AFP

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 400 rakyat Syria perlu segera dipindahkan dari Madaya untuk menerima rawatan perubatan.
Menurut Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), usaha itu perlu selepas konvoi bantuan menyampaikan bekalan pertama ke situ.
PBB telah meminta Kerajaan Syria membenarkan 400 rakyatnya keluar dari Madaya melalui udara, di mana anggota perubatan agensi sukarela Doctors Without Borders (MSF) memberitahu, seramai 28 orang meninggal dunia akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu.
"Mereka perlu dipindahkan malam ini (kelmarin) untuk dirawat dengan segera dan mahu kebenaran daripada Kerajaan Syria untuk membawa semua mangsa keluar," menurut Duta New Zealand, Gerard van Bohemen.
Sementara itu, Duta Sepanyol Roman Oyarzun berkata, 15 anggota majlis dimaklumkan oleh Ketua bantuan PBB, Stephen O’Brien bahawa 400 rakyat Syria berkenaan dalam kondisi yang sangat kritikal dan keadaan akan menjadi lebih buruk jika tidak dipindahkan segera.
Difahamkan, beberapa jam sebelum itu konvoi 44 trak penuh dengan bekalan makanan, susu bayi, selimut dan bekalan lain telah memasuki Madaya, yang berada dalam kepungan tentera Presiden Bashar al-Assad selama enam bulan.
Menurut PBB lagi, pihaknya menghadapi kesukaran untuk menyampaikan bantuan kepada kira-kira 4.5 juta rakyat Syria yang tinggal di kawasan sukar dimasuki termasuk hampir 40,000 di 15 kawasan dikepung. - AFP

28 mati kebuluran di Madaya


AFP - SEJUMLAH kenderaan menunggu di pinggir bandar Madaya, Syria untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang kebuluran akibat peperangan.


MADAYA – Konvoi lori pertama yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki bandar Madaya di Syria kelmarin di mana lebih 24 orang dilaporkan mati akibat kebuluran.
Bandar itu masih dikepung oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) berkata, dua lori yang sarat membawa makanan dan selimut memasuki Madaya lewat tengah hari, manakala tiga lori lain masuk ke bandar Fuaa dan Kafraya yang dikuasai tentera Bashar.
“Operasi bantuan sudah bermula dan dijangka berterusan selama beberapa hari. Ini merupakan perkembangan yang amat positif,” kata ketua delegasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ke ­Syria, Marianne Gasser.
SARC, ICRC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Prog­ram Makanan Sedunia cuba menghantar bekalan ke Madaya selepas mendapat kebenaran rejim Bashar pada Khamis lalu.
Penghantaran itu dibuat selepas masyarakat antarabangsa bimbang dan mengecam keadaan daif di Madaya apabila kira-kira 42,000 orang tinggal dalam kepungan oleh tentera kerajaan Syria.
“Selama 25 hari, kami hanya makan sup. Saya melihat seorang belia membunuh beberapa ekor kucing dan memberitahu keluarganya bahawa dia memburu arnab.
“Sebahagian penduduk menyelongkar tong sampah, manakala sebilangan lagi memakan rumput. Kami meminta makanan daripada penentang Bashar tetapi mereka enggan memberikannya,” kata seorang remaja Madaya berumur 17 tahun, Hiba Abdel Rahman.
Sejak 1 Disember lalu, seramai 28 orang meninggal dunia akibat kebuluran di Madaya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3x5zuuuVB 
Hakcipta terpelihara 

Syria perlu wujud perlembagaan baharu – Putin


REUTERS - ANGGOTA pertahanan awam kelihatan memeriksa bangunan yang rosak teruk selepas serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Rusia di bandar Douma, timur Ghouta, Damsyik, Syria pada Ahad lalu.


MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mahu Syria memulakan usaha mewujudkan sebuah perlembagaan baharu sebagai langkah pertama ke arah penyelesaian politik berhubung perang saudara di negara itu, namun beliau akur proses tersebut adalah sukar.
Putin sebelum ini memberi sokongan kepada rejim Pre­siden Bashar Al-Assad dengan me­lancarkan serangan udara ke atas pemberontak Syria.
Dalam satu wawancara dengan akhbar Jerman, Bild, Putin berkata, usaha ke arah perdamaian di Syria menjadi lebih sukar ekoran konfrontasi antara Arab Saudi dan Iran.
“Saya percaya pembaharuan perlembagaan diperlukan di Syria. Ia proses sukar, sudah tentu. Selepas itu, Syria perlu mengadakan pilihan raya Presiden dan Parlimen lebih awal,” kata Putin dalam temu bual itu yang diadakan pada 5 Januari lalu.
Dalam wawancara sama, Putin memberitahu, sengketa antara Arab Saudi dan Iran berhubung pelaksanaan hukuman mati ke atas ulama Syiah, Nimr Al-Nimr oleh Riyadh pada 2 Januari lepas akan menyukarkan usaha untuk mencari jalan bagi menamatkan konflik di Syria.
“Sekiranya penglibatan kami (Rusia) diperlukan, kami bersedia melakukan apa sahaja supaya konflik di Syria dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3x5zYYaY8 
Hakcipta terpelihara 

Tunggu pengesahan identiti pengebom berani mati


KHALID ABU BAKAR (tengah) memeriksa kawalan kehormat dalam majlis perhimpunan bulanan di Bukit Aman,

KHALID ABU BAKAR (tengah) memeriksa kawalan kehormat dalam majlis perhimpunan bulanan di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 12 Jan. – Polis sedang menunggu laporan rasmi mengenai pengesahan identiti dua rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dalam insiden pengeboman berani mati di Iraq dan Syria pada minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, walaupun sebanyak 45 peratus kemungkinan bahawa rakyat negara ini terlibat dalam insiden yang mengakibatkan kira-kira 30 orang mangsa terkorban, namun pengesahan rasmi perlu dibuat.
“Apa yang kita risau dan khua-tiri jika terdapat pihak lain yang menggunakan identiti rakyat negara kita.
“Kita akan terus memantau kegiatan kumpulan militan membabitkan rakyat negara ini kerana terdapat lagi rakyat Malaysia yang masih berada di sana, ” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di Ibu Pejabat Bukit Aman di sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan, dua rakyat Malaysia meletupkan diri mereka sendiri sehingga menyebabkan lebih 30 orang di Syria dan Iraq maut minggu lepas.
Mohd. Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, meletupkan bom dipasang pada badannya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Raqqa, Syria, pada 29 Disember lalu.
Seorang lagi rakannya, Mohamad Syazwan Mohd Salim, 31, merupakan seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160 kilometer ke utara Baghdad, Iraq pada 3 Januari lepas.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tunggu-pengesahan-identiti-pengebom-berani-mati-1.179107#sthash.rUD5YRma.dpuf

Bantuan tiba di Madaya


Legakan lebih 40,000 penduduk yang kelaparan akibat dikepung

KONVOI kenderaan bantuan berhenti di pinggir bandar Madaya, Syria, kelmarin untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang kelaparan akibat dikepung selama enam bulan oleh tentera kerajaan. AFP
DAMSYIK 12 Jan. - Trak pertama membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki bandar Madaya yang terkepung lebih enam bulan, semalam ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa ratusan penduduk di kawasan itu dipindahkan bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Syria, sebanyak 44 buah trak penuh dengan makanan dan pelbagai bantuan lain memasuki bandar itu yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan, lewat malam tadi.
Sebanyak 21 buah trak lagi dilihat menuju bandar Fuaa dan Kafraya yang dikuasai kerajaan.
Wanita dan kanak-kanak yang berdepan cuaca sejuk menunggu kedatangan konvoi trak yang membawa bekalan penting di dalam pekat malam selepas enam bulan mereka dikepung tentera Presiden Bashar al-Assad.
“Kanak-kanak kami sedang kelaparan dan tubuh kami sedang menggeletar. Kami tidak mempunyai makanan mahupun roti.
“Tiada bekalan air, elektrik, mahupun pemanas badan. Kanak-kanak kami menangis sepanjang malam selepas kami tidak menemui sebarang makanan untuk diberikan kepada mereka,” kata seorang penduduk, Ghaitha Assad, 27 tahun.
Program Makanan Dunia PBB berkata, bantuan makanan itu dapat menampung keperluan lebih 40,000 penduduk dalam tempoh sebulan, manakala Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mendakwa mereka membawa bekalan ubat yang dapat bertahan selama tiga bulan.
“Saya melihat seorang remaja lelaki membunuh kucing dan membawa daging itu kepada keluarganya dengan mendakwa itu adalah daging arnab,” kata seorang penduduk, Hiba Abdel Rahman.
Hiba berkata, ada antara penduduk menguis tong sampah dan makan rumput untuk meneruskan kehidupan termasuk meminta makanan itu daripada anggota pemberontak, namun mereka menolak.
Kira-kira 28 orang penduduk Madaya dilapor maut akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu termasuk lima orang, kelmarin, menurut laporan Doktor Tanpa Sempadan yang dikenali dengan akronim Perancis, MSF.
PBB sementara itu meminta tentera kerajaan dan kumpulan penentang membenarkan sebanyak 400 orang penduduk Madaya dipindahkan dari bandar itu akibat kekurangan zat untuk diberi rawatan perubatan segera.
ICRC Syria pula menyifatkan operasi mereka di bandar itu akan memakan masa selama beberapa hari selepas melihat keadaan menyayat hati di bandar tersebut. – AFP

Tuesday, 12 January 2016

Penduduk Madaya Mati Perlahan-Lahan Kerana Kebuluran


Penduduk dalam bandar Madaya di Syria yang terletak beberapa kilometer dari ibu negara, Damaskus, mengatakan mereka hampir mati kerana kebuluran akibat sekatan selama beberapa bulan yang dilakukan oleh pasukan yang setia kepada pemerintah Bashar al-Assad.


Banyak keluarga yang terpaksa memakan daun-daun, rumput-rumput dan air yang dimasak dengan rempah-rempah, serta beras di jual per gram kerana harga satu kilogram beras adalah $250 (lebih kurang Rm1100). Beberapa orang telah terkorban dan terpaksa memakan haiwan peliharaan mereka.

“Orang ramai terkorban sedikit demi sedikit,” kata Louay, seorang pekerja sosial dari bandar itu memberitahu Guardian dalam sebuah temubual telefon, suaranya lemah kerana telah berbulan-bulan kelaparan.

Mereka yang masih boleh bergerak, dan biasanya ada di sekolah, mempertaruhkan nyawa mereka ketika berusaha mengumpulkan tanaman yang tumbuh di ladang di kawasan pinggir bandar, dan beberapa orang telah kehilangan anggota badan, kata para penduduk.

Hingga kini terdapat 30,000 orang telah terperangkap di dalam bandar Madaya sejak bulan Julai, di bawah pengepungan ketat pasukan pro-pemerintah.

Orang ramai di setiap penjuru bandar yang terkepung menderita dalam tragedi yang tidak dilakukan oleh mereka.

“Kami telah sering kali meminta pertolongan tetapi tidak ada seorang pun yang mendengarkan kami.”

Sumber: rz/theguardian,7/1/2016

Astaghfirullah, Perang Membuatkan Penduduk Syria Terpaksa Makan Rumput


Sungguh menyedihkan melihat keadaan rakyat Syria yang terjebak di tengah konflik perang yang tak berkesudahan. Misi kemanusiaan PBB telah mendedahkan fakta kelaparan warga awam Syria yang terpaksa makan rumput untuk meneruskan hidup di kawasan Madaya.


Perkara ini terungkap setelah pasukan pemerintahan Bashar al-Assad akhirnya bersedia membuka kepungan keteteraan di tiga wilayah. Keadaan di ketiga-tiga wilayah tersebut sangat memilukan. Kebanyakan kanak-kanak kelaparan dan kurus sehingga dapat dilihat bentuk tulang rusuknya.

“PBB mengalu-alukan persetujuan pihak pemerintah Syria hari ini, untuk memasuki Madaya, Fua, dan Kefraya. Kami sedang mempersiapkan bantuan kemanusiaan untuk beberapa hari akan datang,” demikian kenyataan wakil pejabat koordinator misi kemanusiaan PBB yang dipetik dari the Guardian, Khamis (7/1).

Keadaan orang awam yang kelaparan ini menunjukkan masih sedikit konvoi bantuan kemanusiaan yang datang. Terdapat banyak bukti menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk yang bertahan dengan memakan rumput dari ladangnya, dan merebus daun-daun dengan rencah seadanya. Turut dinyatakan dalam petikan tersebut, satu kilogram beras di wilayah ini terpaksa dibeli dengan harga 250 dolar AS. Petugas misi kemanusiaan PBB berkata, bantuan terakhir yang sampai ke tiga-tiga wilayah ini adalah pada Oktober tahun lalu sehingga berlaku kekurangan bekalan makanan, susu bayi, dan ubat-ubatan berlaku di mana-mana. Di wilayah ini juga terdapat ramai yang mati termasuk bayi akibat kebuluran. “Madaya tidak di ambang bencana, tapi di sini sudah berlaku bencana kemanusiaan,” kata petugas PBB.

Kedatangan konvoi bantuan kemanusiaan PBB di Madaya, Fua dan Kefraya, pun disambut dengan gembira tetapi ada keraguan di sebaliknya. Adakah bantuan ini akan bertahan? Madaya adalah contoh yang menunjukkan kesan buruk akibat dikepung oleh tentera, yang dibuat dengan tujuan untuk saling melemahkan kekuatan antara pasukan setia Assad dan pejuang perlawanan Assad.

OIC RAYU BANTUAN SEGERA UNTUK SYRIA, YAMAN

Kuala Lumpur - Sekretariat Umum Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan dan sokongan segera kepada bandar raya Madaya dan Zabadani di Syria dan Taaeza di Yaman, yang kini terkepung akibat pertempuran.

Dalam kenyataannya, OIC yang berpejabat di Jeddah berkata semua pihak termasuk negara anggota pertubuhan itu dan pertubuhan kemanusiaan perlu mengambil tindakan segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk di semua kawasan terbabit.

Madaya dan Zabadani, dua bandar Syria yang terletak berhampiran sempadan Lubnan, menjadi medan pertempuran antara tentera kerajaan Bashar al-Assad dan pasukan yang menentangnya.

Sementara itu, pertempuran terus berlaku di Taaez atau Taiz, yang melibatkan kumpulan pemberontak Houthi dan tentera kerajaan Yaman sejak April 2015.

Sekretariat Umum OIC itu berkata pihaknya mengikuti dengan penuh bimbang tentang keadaaan buruk itu termasuk kematian beratus-ratus penduduk akibat kebuluran dan penyakit yang berpunca daripada persengketaan itu.

"Sekatan dan kebuluran yang dikenakan terhadap rakyat yang cintakan keamanan di Syria dan Yaman merupakan suatu jenayah perang. Penduduk perlu dilindungi daripada kesengsaraan akibat konflik bersenjata," katanya.

Sekretariat Umum OIC itu juga berkata ia mengambil maklum tentang pengumuman mengenai persefahaman yang dicapai bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk di kawasan yang terkepung di Syria dan Yaman.

Menurut laman sesawang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), satu konvoi kemanusiaan telah tiba di bandar Madaya, Syria pada Isnin yang membawa bekalan makanan dan barang keperluan kesihatan untuk diagihkan kepada 42,000 penduduk yang amat memerlukannya setelah terdapat laporan bahawa banyak penduduk kebuluran apabila kawasan mereka dikepung pasukan prokerajaan.

Pada 31 Dis lepas, Program Makanan Dunia (WFP) PBB juga merayu kepada semua pihak yang terlibat dengan sengketa di Yaman supaya membenarkan makanan dihantar kepada beratus ribu orang yang menderita kelaparan akibat terkepung dan tidak mendapat bekalan makanan selama beberapa minggu di tengah bandar raya Taiz.

WFP menganggarkan 400,000 penduduk Taiz tersingkir di kawasan sendiri serta amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Al-Qaida di Syria culik aktivis media

ISNIN, 11 JANUARI 2016 @ 11:08 AM

 BEIRUT: Cabang al-Qaeda di Syria menculik dua aktivis media terkenal negara itu dari sebuah stesen radio di Idlib semalam. "Al-Nusra Front menculik aktivis Hadi al-Abdallah dan Raed Fares pada jam 6.55 pagi waktu tempatan di pejabat Fresh FM," kata kedua media Pakatan Kebangsaan Syria (SNC), Soner Taleb. Fares yang juga pengarah Fresh FM, sebelum ini ditahan militan Al-Nusra Front yang mendakwa stesen radio berkenaan cenderung kepada sekular dan menyokong murtad. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Fresh FM, militan pergerakan itu menyerbu stesen radio berkenaan dan merampas peralatan penyiaran dan teknikal serta penjana elektrik. "Mereka kemudian mengumpulkan semua bendera revolusi dan membakarnya di depan semua orang," menurut kenyataan. Militan kemudian menahan Fares dan Abdallah. - Agensi

 Raed Fares.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/113149

12 murid sekolah maut serangan udara di Syria

DUNIA ISNIN, 11 JANUARI 2016 @ 10:11 PM


  AMMAN: Sekurang-kurangnya 12 murid maut dalam serangan udara yang disyaki dilakukan Russia di sebuah sekolah di Wilayah Aleppo yang dikuasai pemberontak Syria hari ini, lapor Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHM). SOHM berkata, serangan ke atas bandar Ain Jara, terletak 15 kilometer ke barat bandar Aleppo itu turut mengorbankan seorang guru. Ada laporan kejadian itu turut menyebabkan mangsa yang cedera dengan sesetengahnya parah. Rakaman media sosial dikeluarkan aktivis menunjukkan skala kemusnahan besar sebuah bangunan dengan bilik kelas termasuk bangku dan buku teks bertaburan di lantai dipenuhi darah. Rakaman itu bagaimanapun tidak dapat disahkan lagi. Dalam perkembangan lain, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya kelmarin melancarkan 26 serangan di Syria dan Iraq dalam serangan harian terbaru di tengah perjuangan menentang militan IS, kata gabungan mengetuai operasi itu dalam satu kenyataan. Di Syria, 14 serangan berhampiran enam bandar mengenai enam unit taktikal IS dan memusnahkan tiga kedudukan militan, dua kren, sebuah trak pemasang paip dan sasaran lain, menurut kenyataan dikeluarkan hari ini. Sebelas serangan berhampiran enam bandar di Iraq antara lain memusnahkan sebuah gudang digunakan kumpulan militan serta enam unit taktikal - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/113358

44 trak bantu penduduk kebuluran di Madaya

ISNIN, 11 JANUARI 2016 @ 11:51 PM


KONVOI bantuan kemanusiaan dalam perjalanan ke bandar di Madaya. - Foto EPA


DAMSYIK: Satu konvoi bantuan kemanusiaan memasuki bandar yang dikepung pemberontak Syria di Madaya, di mana lebih 24 orang maut akibat kebuluran, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Syria. Seorang pegawai organisasi itu memberitahu AFP, dua trak membawa makanan dan dua lagi dipenuhi selimut, memasuki Madaya jam 5 petang (1500 GMT) waktu tempatan. Bekalan terbabit dihantar ke Madaya, bandar dikawal pemberontak berhampiran ibu kota ini yang dikepung tentera kerajaan selama enam bulan, sebagai sebahagian satu perjanjian di mana dua lagi bandar dikawal rejim di barat laut negara itu turut menerima bantuan. Bantuan itu berikutan kebimbangan antarabangsa dan kecaman berhubung keadaan melarat di Madaya di mana kira-kira 42,000 penduduk tinggal dalam kepungan kerajaan. Pendedahan itu selepas badan kebajikan Doctors Without Borders (MSF) berkata kira-kira 28 orang maut akibat kebuluran di Madaya sejak 1 Disember lalu. Penduduk menggambarkan keadaan terdesak, mengatakan mereka terpaksa makan rumpai dan membayar harga melampau untuk sedikit makanan yang boleh diseludup menerusi sekatan. Empat puluh empat trak bantuan dikendalikan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, Bulan Sabit Merah Syria dan Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meninggalkan bandar ini ke Madaya pada tengah hari. Dua puluh dua trak membawa bantuan berasingan untuk bandar dipegang kerajaan di Fuaa dan Kafraya, yang berada dalam kepungan pemberontak di wilayah Idlib. Fuaa dan Kafraya terletak lebih 300 kilometer dari bandar ini, sementara Madaya terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu kota Syria itu. Trak terbabit membawa makanan, air, susu bayi, selimut dan ubatan untuk penyakit akut dan kronik selain bekalan pembedahan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/113374

15 kanak-kanak, guru maut serangan udara Russia di Syria

DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 12 kanak-kanak dan tiga dewasa terkorban dalam serangan udara Russia yang terkena sebuah sekolah di wilayah Aleppo, Syria semalam.
Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) berkata, tiga mangsa dewasa itu termasuk seorang guru, dan serangan di bandar Anjara itu turut mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain, semuanya kanak-kanak dan guru.
Kumpulan beribu pejabat di Britain itu menyatakan, ada serangan udara besar-besaran dan pertempuran antara kerajaan dan pemisah sejak kelmarin di negeri di utara yang dikawal pemisah berhaluan sederhana dan pejuang Islam.
SOHR turut melaporkan tiga kanak-kanak maut dalam serangan roket pemisah di daerah yang dikawal kerajaan di Aleppo. - Agensi
GAMBAR fail, penduduk mengusung seorang wanita yang cedera daripada bangunan yang musnah akibat serangan udara Russia di salah sebuah bangunan di wilayah Idlib, Syria, 9 Januari lalu. - Foto REUTERS

Konvoi bantuan sampai di Syria


SELASA, 12 JANUARI 2016 @ 8:08 AM

KONVOI bantuan tiba untuk menyampaikan makanan, perubatan dan bekalan lain yang dinantikan sekian lama di tiga wilayah yang dikepung pada Isnin.. - Foto EPA

DAMSYIK: Konvoi bantuan tiba untuk menyampaikan makanan, perubatan dan bekalan lain yang dinantikan sekian lama di tiga wilayah yang dikepung pada Isnin.
Ia sebahagian operasi disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu puluhan ribu penduduk awam berikutan perang di Syria.
Laporan kebuluran dan imej kanak-kanak yang kurus membangkitkan kebimbangan global dan menggariskan kepentingan rundingan baru di Geneva pada 25 Januari ini.
Majlis Keselamatan PBB menimbulkan isu itu pada Isnin. Badan dunia itu berkata, 4.5 juta rakyat Syria tinggal dalam kepungan atau kawasan sukar dimasuki dan amat memerlukan bantuan kemanusiaan, dengan penduduk awam dilarang meninggalkan kawasan itu dan pekerja bantuan dihalang membawa masuk makanan, perubatan, minyak dan bekalan lain.
Beberapa hari diperlukan untuk mengedarkan bantuan ke bandar Madaya, berhampiran Damsyik dan perkampungan Syiah di Foua dan Kfarya di utara Syria, dan bekalan mungkin cukup untuk sebulan, kata agensi bantuan. - AP

Polis sahkan dua pengebom berani mati terbunuh

PDRM

NOOR AZURA SAHRIL

11 JANUARI 2016

 SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua pengebom berani mati Kumpulan Militan Islam (IS) Malaysia terlibat membunuh lebih 30 orang dalam dua serangan berasingan di Syria dan Iraq minggu lepas.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan.
Dalam laporan akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times (NST), Mohd Amirul Ahmad Rahim, dari Terengganu, meletupkan bom yang diletakkan di dalam keretanya semasa perbalahan di kubu kuat Isis, Raqqa, pada 29 Disember sehingga membunuh 21 pejuang Kurds.
Manakala, seorang lagi rakyat Malaysia Mohamad Syazwan Salim meletupkan jaket yang dipadatkan dengan bom bersama beberapa lagi pengebom berani mati, berdekatan pusat latihan polis di pengkalan tentera Speicher di Tikrit, Iraq pada 3 Januari lalu.
Kejadian itu membunuh 12 anggota polis dan mencederakan 20 orang awam. 
Amirul yang berasal dari Terengganu meninggalkan keluarganya untuk menyertai Isis di Syria pada Oktober 2014, dan mengambil nama samaran Abu Uqashah Malizi, kata NST yang memetik sumber.
Syazwan meninggalkan kampungnya di Selangor bersama adiknya, Muhamad Shazani,28 tahun untuk menyertai kumpulan pengganas pada September 2014.
Shazani yang dikenali sebagai Abu Aydan, dilaporkan awalnya bekerja sebagai pencuci sebelum direkrut sebagai penembak hendap dan pengebom berani mati. Beliau terbunuh dalam misi berani mati pada 18 September tahun lepas di Bayji, utara Iraq, semasa pertempuran dengan angkatan Iraq.
Laporan NST itu juga mengatakan adik-beradik itu dilatih di penjara Khatibah Nusantara di Syria bagi misi berani mati mereka.
Ekoran kematian itu, seramai 17 kematian rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan IS.
Enam daripadanya merupakan pengebom berani mati, manakala yang lain terbunuh dalam peperangan
.

Turki Rancang Perkenal Permit Kerja Kepada Pelarian Syria


Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2016 8:58 AM
Gambar fail menunjukkan sejumlah besar pelarian Syria memasuki sempadan Turki. Foto AP

ANKARA: Turki merancang menawarkan permit kerja kepada pelarian dari Syria bagi mengelakkan mereka merentasi Kesatuan Eropah (EU) secara haram, kata Menteri Hal Ehwal EU di Turki, Volkan Bozkir pada Isnin.
Kenyataan itu dibuat di saat EU berusaha untuk mengurangkan aliran pergerakan migran.
Bozkir yang berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Frans Timmermans, yang pada minggu lalu memberitahu bahawa EU tidak begitu berpuas hati dengan usaha Turki mencegah pergerakan migran dari Lautan Aegean ke Greece.
"Kita sedang berusaha untuk mengurangkan tekanan bagi penghijrahan secara haram dengan memberikan permit kerja kepada pelarian Syria di Turki," kata Bozkir kepada para pemberita di Ankara.
Volkan Bozkir. Foto Reuters
Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus berkata, "draf" peraturan itu telah diterima pakai oleh majlis menteri-menteri dan akan diterbitkan dalam beberapa hari lagi.
Difahamkan, majikan boleh menggaji pelarian Syria meliputi 10 peratus daripada jumlah pekerja mereka.
Boskir berkata, pihak berkuasa Turki telah menahan lebih 150,000 pendatang haram pada 2-15, dan kira-kira 500 orang setiap hari.
Turki menjadi tuan rumah terbesar bagi kebanyakan pelarian ketika dunia hari ini dilanda pergerakan pelarian paling banyak pernah direkodkan. - Reuters

Nyanyian adik Ghana buat dunia menangis

Nyanyian adik Ghana buat dunia menangis

11 JANUARI 2016

"KAMI datang untuk meraikan hari raya. Namun, kami ingin bertanya kepada anda semua kenapa di tempat kami tiada hari raya pun?
"Wahai penduduk dunia, bumi ku telah hancur, bumi ku yang merdeka telah dirampas, cita-cita kami masih lagi dibuai mimpi..." demikian antara bait lagu yang dinyanyikan seorang kanak-kanak sehingga juri sebuah program realiti menangis.
Dendangan lagu bertajuk, 'Berikan kami zaman kanak-kanak' itu dinyanyikan oleh peserta The Voice Kids Arab, Ghana Bu Hamdan yang begitu meruntun hati juri dan penonton rancangan itu.
Memetik laporan riyadhvision.com  program yang baru memasuki episod pertama itu minggu lalu mula menjadi viral lepas ia disiarkan.
Lagu nyanyian asal oleh Remdi Bandali itu disampaikan oleh Ghana untuk menyampaikan mesej kasih sayang dan harapan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa perang di Syria.
Ketika memasuki rangkap kedua lagu, Ghana berhenti menyanyi seketika kerana terlalu sebak sehingga menyebabkan juri program, Nacy Ajram naik ke pentas untuk menenangkan anak kecil itu.
Nacy dilihat terus berdiri di atas pentas sambil menyanyi bersama dan memberi kanak-kanak itu semangat meneruskan nyanyian.
Dek kerana terkesan dengan penyampaian Ghana Bu Hamdan ini, dua juri lain Tamer Hosny dan Kazem Al Saher naik ke pentas bagi mengiringi nyanyian itu.
Ghana akhirnya mendapat 'lampu merah' oleh ketiga-tiga juri untuk meneruskan ke peringkat seterusnya.
Acara ini diadakan bertujuan untuk mencari bakat terpendam kanak-kanak di Mesir yang berumur di antara 7 tahun hingga 14 tahun.Rancangan tersebut kini disiarkan lebih 27 buah negara di seluruh dunia.
Apa yang menyentuh hati tentang lagu ini, ia telah 'dilaungkan' sejak 32 tahun lalu. Namun impian yang terdapat dalam lagu itu masih lagi belum tercapai hingga kini
.

Lebih 400,000 penduduk Syria menderita

12 JANUARI 2016
Lebih 400,000 penduduk Syria menderita


Puluhan ribu penduduk hidup dalam keadaan serba daif selepas tidak mempunyai akses kepada makanan

DAMSYIK - SYRIA. Lebih 400,000 penduduk didakwa terpaksa hidup di bawah kepungan di 15 kawasan di seluruh Syria, menurut PBB, kelmarin.
Pendedahan itu dibuat selepas agensi bantuan bersedia untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk di Madaya, pinggir Damsyik dan perkampungan Foua serta Kefraya di wilayah Idlib susulan satu perjanjian dicapai, Sabtu lalu.
Susulan kepungan yang dikenakan kerajaan dan gerakan Hizbullah, dianggarkan seramai 42,000 penduduk di Madaya tidak mempunyai akses kepada makanan hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 23 orang mati kebuluran setakat ini.
"Ada penduduk yang terpaksa memakan rumput dan serangga untuk terus hidup," kata jurucakap Doctors Without Borders (MSF).
Menurut al-Jazeera, di Kefraya dan Foua, kira-kira 12,500 tidak mendapat akses bekalan bantuan selepas ia disekat oleh kumpulan pemberontak termasuk Barisan al-Nusra.
Difahamkan, seorang bayi  lelaki berusia lapan bulan di pinggir ibu negara menjadi korban terbaharu akibat kekurangan zat makanan
.

Puluhan maut di Syria

Puluhan maut di Syria

11 JANUARI 2016

 Seorang wanita dibawa keluar dari runtuhan bangunan penjara di Maarat al-Numan selepas ia dibedil jet Rusia, kelmarin.

 DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 50 maut dalam serangan udara Rusia di sebuah penjara di bandar Maarat al-Numan di Idlib, kelmarin.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memberitahu, serangan tersebut turut memusnahkan sebuah bangunan mahkamah.
Difahamkan, penjara dan mahkamah berkenaan dikendalikan Nusra Front yang ada kaitan dengan al-Qaeda.
"Sekurang-kurangnya 29 pengganas dan 21 orang awam maut selepas empat peluru berpandu disasarkan ke penjara terbabit," kata SOHR.
Dalam perkembangan berasingan, satu persetujuan telah dicapai supaya bantuan kemanusiaan disampaikan kumpulan sukarelawan ke bandar dikuasai pembangkang berikutan laporan penduduk menderita kebuluran.
Perkembangan terbaharu itu menyusul ketika wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melawat Damsyik untuk meninjau persiapan rundingan damai yang dirancang bulan ini.
Bantuan akan dihantar serentak bermula semalam ke tiga kampung iaitu Madaya, al-Foua dan Kefraya, lapor Arab News.