Saturday, 14 May 2016

Kumpulan pemberontak guna senjata kimia


hell

DAMSYIK 13 MEI - Gambar fail AFP menunjukkan pemberontak menggunakan senjata yang dinamakan hell cannon ketika melakukan serangan terhadap tentera kerajaan Syria di Aleppo pada 24 Oktober 2014. - AFP/GETTY IMAGE
DAMSYIK 13 Mei - Kumpulan pemberontak Syria yang menguasai beberapa kawasan di bandar Aleppo didakwa menggunakan senjata kimia termasuk roket dinamakan `hell cannon’ yang diperbuat daripada kanister gas.
Amnesty International seperti dipetik laman berita Al Jazeera mendakwa, kumpulan tersebut, Jaish al-Fatah juga telah melakukan serangan secara sembarangan di daerah Sheikh Maqsoud.
Menurut kumpulan hak asasi manusia itu, kumpulan berkenaan menggunakan senjata kimia dan menyasarkan rumah-rumah penduduk tempatan, pasar dan masjid selain membunuh dan mencederakan orang awam.
“Antara senjata yang digunakan adalah mortar, roket buatan sendiri dan roket kanister gas,” dakwa kumpulan berkenaan. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kumpulan-pemberontak-guna-senjata-kimia-1.325621#sthash.j9Zkevb3.dpuf

Friday, 13 May 2016

EU rancang pelan B


Kompleks Olimpik Helliniko di pinggir selatan Athens dijadikan sebagai kem pelarian sementara yang menempatkan migran kebanyakannya dari Afghanistan. - Foto: AFP
BERLIN - JERMAN. Kesatuan Eropah (EU) sedang merancang pelan alternatif untuk membendung kemasukan pelarian di rantau itu jika perjanjian yang dicapai bersama Turki gagal menangani  permasalahan tersebut.
Kelmarin, akhbar Das Bild melaporkan pegawai EU kini merangka 'pelan B' yang meletakkan tanggungjawab kepada Greece untuk memberi perlindungan kepada pelarian dan pencari suaka.
Menurut laporan itu, Athens juga diberi hak untuk mengusir mana-mana pelarian secara langsung untuk pulang ke negara asal mereka atau negara ketiga yang diisytihar 'selamat'.
"Di bawah pelan alternatif itu, Greece akan mendapat peruntukan kira-kira 6 bilion euro (RM27.5 bilion) yang dicadangkan dalam perjanjian pelarian EU-Ankara sebelum ini," jelas laporan tersebut lagi.
Sementara itu, seorang ahli politik di Berlin turut mengesahkan laporan terbabit dan menyatakan ia adalah satu tindakan normal untuk mempertimbangkan pelan B.
"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan Turki kerana pelan alternatif diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan," kata ahli Parlimen, Kesatuan Demokratik Kristian Jerman, Karl-Georg Hellmann. - Press TV

Tuesday, 10 May 2016

Usaha tamatkan mogok di penjara Hama


Imej yang dimuat naik ke dalam media sosial menunjukkan anggota keselamatan turut berkawal di luar penjara Hama
DAMSYIK - SYRIA . Satu perjanjian lisan telah dicapai sebagai usaha untuk menghentikan mogok di penjara Syria yang menempatkan hampir 800 tahanan politik, menurut kumpulan aktivis, semalam.
Persetujuan itu dicapai, lewat kelmarin bertujuan untuk menamatkan pemberontakan di penjara Hama di tengah Syria yang tercetus selepas lima tahanan dibawa ke pusat tahanan Sadnaya untuk menjalani hukuman mati pada minggu lalu.
"Kerajaan telah bersetuju dengan hampir kesemua tuntutan untuk membebaskan tahanan politik yang ditahan tanpa dikenakan sebarang dakwaan," kata aktivis.
Sementara itu, Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) turut mengesahkan seramai 26 tahanan akan dibebaskan di bawah perjanjian itu.
Sebelum ini, pihak berkuasa  membebaskan 46 tahanan di bawah usaha Palang Merah sebagai pengantara, namun rundingan itu akhirnya menemui jalan buntu. - Reuters 
Imej yang dimuat naik ke dalam media sosial menunjukkan anggota keselamatan turut berkawal di luar penjara Hama.

Monday, 9 May 2016

Banduan penjara Syria tamatkan pemberontakan

ISNIN, 9 MEI 2016 @ 10:09 AM

Imej yang diambil daripada video dimuat naik di laman web media sosial memaparkan pasukan keselamatan berjalan di luar penjara Hama, Syria, selepas pemberontakan oleh penghuni penjara. - Foto REUTERS
AMMAN: Perjanjian awal disahkan dicapai untuk menamatkan krisis di penjara Syria oleh hampir 800 tahanan politik yang akhirnya membawa kepada pengampunan dan pembebasan mereka tanpa dakwaan.
Kumpulan hak dan aktivis berkata, perjanjian yang dibuat lewat Ahad akan menamatkan pemberontakan di penjara Hamas di tengah Syria yang bermula minggu lalu apabila tahanan politik memberontak selepas lima banduan dipindahkan ke penjara Sadnaya untuk menjalani hukuman mati yang diluluskan tribunal tentera.
"Rejim bersetuju dengan hampir semua tuntutan untuk membebaskan tahanan politik yang ditahan tanpa dakwaan," kata aktivis hak yang berhubung dengan dua banduan.
Banduan merampas penjara yang terletak 210 kilometer dari Damsyik dan menjadikan pengawal sebagai tebusan.
Ia memaksa pihak berkuasa cuba untuk menyerbu penjara itu pada Jumaat menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menamatkan pemberontakan.
Aktivis hak terkemuka Syria, Mazen Darwish, bekas tahanan yang berhubung dengan banduan, berkata perjanjian lisan sudah dicapai tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Kementerian Dalam Negeri Syria menafikan laporan mengenai penjara Hama tetapi tidak mengulas mengenai isu itu sejak Isnin.
Pemantau bagi Hak Asasi United Kingdom mengesahkan perjanjian sedang diusahakan untuk membebaskan 26 tahanan. - Reuters

Gencatan senjata Aleppo dilanjut


Kirby
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS)  melanjutkan tempoh gencatan senjata di Aleppo.
Tempoh gencatan ini adalah 72 jam dan bermula lewat malam semalam meliputi daerah sekitar bandar tersebut.
Jurucakapnya, John Kirby berkata, gencatan senjata itu telah mengurangkan kadar keganasan di bandar itu.
Bagaimanapun, pertempuran berlaku di beberapa lokasi diAleppo dan kumpulan pemberontak, Barisan al-Nusra turut berjaya menawan perkampungan strategik Khan Touman, di luar bandar itu, kelmarin, lapor Press TV.

Gencatan senjata di Aleppo dicabul


Pemandangan di sebatang  jalan  raya  yang lengang di daerah Saif
Pemandangan di sebatang jalan raya yang lengang di daerah Saif al-Dawla, Aleppo merakamkan guni pasir dijadikan sebagai benteng daripada serangan kumpulan-kumpulan bersenjata. REUTERS
BEIRUT 8 Mei – Kumpulan penentang Syria, semalam membedil kawasan yang dikuasai tentera kerajaan di utara bandar Aleppo, sekali gus mencabul gencatan senjata selama 72 jam yang diumumkan Rusia pada hari yang sama.
Berpuluh-puluh bedilan bom dilancarkan di barat Aleppo, mengakibatkan seorang penduduk cedera dan banyak bangunan berhampiran musnah ketika penduduk tempatan dilapor mula kembali ke kediaman masing-masing berikutan pengumuman gencatan senjata itu.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria mengesahkan serangan oleh kumpulan penentang itu yang menguasai bahagian timur bandar itu yang kini terbahagi dua.
“Ini merupakan satu pencabulan gencatan senjata yang jelas,” kata ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, selepas Rusia mengumumkan lanjutan gencatan senjata selama tiga hari bermula pada pukul 1 pagi waktu Syria.
Menurut badan pemantau itu, jumlah korban sejak keganasan di Aleppo memuncak pada 22 April lalu sehingga kini ialah 286 orang, termasuk 57 kanak-kanak dan 38 wanita.
Sementara itu, penduduk Aleppo yang melarikan diri kini kembali ke rumah masing-masing ketika sekolah mula dibuka semula selepas pengumuman gencatan senjata oleh Rusia itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 13 anggota Pengawal Revolusi Iran terbunuh, manakala 21 lagi cedera dalam pertempuran di Aleppo, kehilangan jumlah korban terbesar anggota tentera negara itu dalam tempoh yang singkat di Syria.
Jurucakap tentera Iran, Hossein Ali Rezayi berkata, anggota yang terkorban itu berasal dari wilayah Mazandaran selepas mereka terlibat dalam pertempuran di Kampung Khan Tuman, 10 kilometer barat daya bandar Aleppo.
Kelmarin, kumpulan pemantau di Syria melaporkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan militan al-Qaeda dan sekutu mereka.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Turki mendakwa mereka membunuh sebanyak 55 orang anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam pengeboman yang dilakukan di utara bandar Aleppo pagi semalam.
Menurut kenyataan sumber tentera hari ini, serangan itu turut memusnahkan tiga buah kenderaan dan tiga alat pelancar roket. – DPA/AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gencatan-senjata-di-aleppo-dicabul-1.320109#sthash.AjdR5tXv.dpuf

Aleppo simpan banyak sejarah


MUHAMAD ZAID ADNAN 
DAN AZUAR FAHMI MOHD. ALI  |  09 Mei 2016 12:06 AM




BANDAR Aleppo yang kini dilanda perang dan krisis kemanusiaan, sebenarnya menyimpan pelbagai kisah dan banyak sejarah.
Aleppo merupakan bandar terbesar di Syria dan mempunyai populasi paling padat di negara itu.
Sebelum perang meletus, bandar Aleppo mempunyai seramai dua juta penduduk, tetapi kini jumlah itu turun mendadak kepada hanya 400,000 orang.
Terletak kira-kira 360 kilometer dari Damsyik dan 45 kilometer dari timur pos pemeriksaan Bab al-Hawa di sempadan Syria-Turki.
Suatu ketika dahulu, Aleppo dikenali sebagai Halb, yang bermaksud besi atau tembaga. Nama tersebut diambil kerana wujudnya tembaga dan logam yang menjadi sumber ekonomi utama di situ pada zaman dahulu.
Selama berabad-abad, Aleppo menjadi bandar terbesar di Syria dan ketiga terbesar ketika pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah selepas Konstantinopel di Rom dan Kaherah di Mesir.
Walaupun jarak Aleppo begitu dekat dengan Damsyik, namun cara kehidupan penduduknya sangat berbeza dengan penduduk Syria yang lain, daripada aspek identiti, seni bina dan budaya.
Aleppo merupakan salah sebuah bandar tertua di dunia. Berdasarkan kajian arkeologi di Tell Qaramel kira-kira 25 kilometer di sebelah utara Aleppo menunjukkan kawasan itu telah dihuni sejak abad ke-11 sebelum Masehi dan menjadi salah satu penempatan tertua manusia di dunia.
Bandar ini pernah berada di bawah kawalan panglima Islam terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi atau Saladin yang memerintah Dinasti Ayyubiyah pada 1183.
Pada 1260, Aleppo diambil alih oleh bangsa Mongul di bawah pimpinan Hulagu Khan yang bersekutu dengan putera Antiokhia di Turki, Antioch Bohemond VII dan ayah mertuanya yang merupakan pemerintah Armenia, Hetoum I.
Berikutan penaklukan bangsa Mongul, penduduk Islam di Aleppo melarikan diri ke Damsyik untuk mendapatkan perlindungan daripada pemimpin Mesir, Saif ad-Din Qalawun, dan Saif berjaya menawan semula Aleppo sehingga memaksa pengunduran tentera Mongul ke Sungai Eufrat.
Pada pertengahan abad ke-16, Aleppo menggantikan Damsyik sebagai hab utama perdagangan di kawasan Mediterranean kerana lokasinya yang berada di hujung Laluan Sutera, menghubungkan Asia Tengah dan Mesopotamia.
Syarikat Levant of London yang ditubuhkan pada 1581 yang memonopoli perdagangan Inggeris bersama Kerajaan Uthmaniyyah, menjadikan Aleppo sebagai ibu pejabat utama syarikat tersebut hingga akhir abad ke-18.
Kesan perkembangan ekonomi yang pesat di Aleppo pada masa itu, banyak negara di Eropah membuka kedutaan mereka di Aleppo pada abad ke-16 dan ke-17, termasuk Itali (1548), Perancis (1562), Britain (1583) dan Belanda (1613).
Ketika Perang Dunia 1, seiring dengan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah, Aleppo menyerahkan sebahagian besar kawasan pedalaman di bahagian utara wilayah tersebut kepada kerajaan Turki Moden yang mahu membina landasan kereta api bagi menghubungkan Aleppo dan Mosul di Iraq.
Pada 1940-an, Allepo mula kehilangan akses laluan laut utama di Antiokhia, Turki dan Iskandariah, Mesir.
Perang saudara di Syria memburukkan lagi situasi di bandar tersebut yang mengalami kehancuran dan menyukarkan pemuliharaan semula peninggalan seni bina serta monumen bersejarah.
Banyak penduduk di bandar itu, kini melarikan diri berikutan beberapa siri serangan oleh tentera bersekutu dan kumpulan pemberontak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-simpan-banyak-sejarah-1.320049#sthash.cNdyUIoF.dpuf

Perang di Aleppo ubah landskap konflik Syria


Seorang lelaki Syria tidak dapat menahan kesedihan melihat kediamannya
Seorang lelaki Syria tidak dapat menahan kesedihan melihat kediamannya ranap dalam serangan udara oleh tentera kerajaan di kawasan perumahan al-Kalasa yang dikuasai kumpulan penentang di Aleppo, baru-baru ini. AFP
KEMPEN tentera Syria menyerang bandar Aleppo, habis-habisan yang menjadi kubu kuat kumpulan penentang dan kumpulan militan Islam termasuk kumpulan militan Negara Islam (IS) dan rangkaian militan al-Qaeda serta sekutu mereka sejak dua minggu lalu, mengubah landskap konflik di Syria yang telah berlarutan lebih lima tahun.
Peningkatan serangan oleh tentera Syria dibantu sekutunya Rusia dan Iran ke atas bandar terbesar di Syria itu sejak 22 April lalu menyaksikan nasib kira-kira 400,000 penduduk Aleppo kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’.
Serangan itu mengakibatkan penduduk di bandar itu terperangkap di dalam zon peperangan empat penjuru melibatkan tentera kerajaan, kumpulan penentang, kumpulan militan IS dan Unit Perlindungan Penduduk Kurdis (YPG) yang membentuk wilayah berkenaan kepada beberapa bahagian.
Akibat serangan itu, penduduk Aleppo yang dahulunya berjumlah kira-kira dua juta orang, kini hidup dalam ketakutan apabila tentera kerajaan yang menguasai bahagian barat bandar itu terus membedil kawasan penempatan yang dikuasai kumpulan penentang di timur bandar itu tanpa mengendahkan undang-undang antarabangsa termasuk mengebom klinik dan hospital.
Tindakan seorang ulama pro-Syiah yang berpihak kepada tentera Syria mengeluarkan fatwa yang membenarkan penghapusan penduduk awam di bandar Aleppo juga memburukkan krisis kemanusiaan di Aleppo yang dilihat hanya dapat diselesaikan menerusi gencatan senjata.
Setakat ini, Badan Pemantau Hak Asasi bagi Syria melaporkan, hampir 300 penduduk Aleppo terbunuh sejak operasi ketenteraan di wilayah itu diperhebatkan, dengan jumlah korban dijangka meningkat apabila kumpulan penentang dan tentera kerajaan saling mencabuli beberapa gencatan senjata yang dicapai termasuk yang dikuatkuasakan pada 5 dan 6 Mei lalu.
Perang di Aleppo bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan tentera Syria untuk merampas semula bandar itu daripada kumpulan penentang dan kumpulan militan, tetapi juga menyaksikan campur tangan terang-terangan tentera asing di Syria, termasuk campur tangan Rusia, tentera Iran dan pergerakan Hizbullah, yang merupakan sekutu kuat Presiden Bashar al-Assad.
Aleppo yang menjadi kubu kuat kumpulan penentang sejak tercetus perang saudara di Syria, turut menyaksikan kewujudan kumpulan-kumpulan militia lain seperti; Barisan Nusra; Tentera Pembebasan Syria (FSA); Barisan Islam; Fatah Halab; Ansar al-Sharia dan Jabhat Ansar al-Din yang mempertahankan wilayah tersebut daripada tentera kerajaan dan kumpulan militan IS.
Campur tangan terang-terangan Rusia membangkitkan kemarahan Amerika Syarikat (AS) yang melatih dan memberi kelengkapan ketenteraan kepada kumpulan penentang dalam misi utama mereka untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad dan kumpulan militan IS di Syria.
Malah Amerika menuduh Rusia menjadikan Syria sebagai medan untuk menguji beberapa senjata baharu mereka selepas jumlah korban akibat pengeboman jet Rusia meningkat secara mendadak sejak campur tangan Moscow di negara itu.
Sejak Februari lalu, tentera kerajaan mula memperhebatkan usaha untuk menawan semula Aleppo daripada kumpulan penentang, sekali gus memutuskan saluran bekalan penting kepada kumpulan penentang dari Turki di kawasan Azaz di utara.
Langkah kerajaan itu dilihat berjaya memberi tekanan kepada kumpulan penentang, apabila tentera kerajaan berjaya menguasai kawasan sempadan yang menjadi sumber bekalan dan kelengkapan ketenteraan dari luar, sekali gus memutuskan laluan bekalan dan menghancurkan kekuatan mereka di Aleppo.
Malah, sejak peningkatan serangan di Aleppo, kumpulan penentang di Idlib yang merupakan satu lagi kubu kuat kumpulan penentang, mula merasai tekanan apabila mereka berdepan peningkatan kos kehidupan, khususnya kos bahan membuat roti dan minyak.
Menyedari agak sukar untuk menumpaskan kumpulan penentang di Aleppo, tentera Syria melaksanakan strategi yang lebih tersusun iaitu memisahkan kawasan penentang dengan wilayah bersebelahan yang dikuasai tentera kerajaan dengan menjadikan kawasan berkenaan seperti ‘pulau’.
Menerusi taktik ini, kumpulan penentang di dalam kawasan terpencil yang dikelilingi tentera kerajaan akan berasa tertekan dan trpaksa bergantung sepenuhnya kepada sekutu tentera kerajaan bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Taktik tersebut turut digunakan tentera kerajaan di bandar Daraa di selatan negara tersebut, apabila kerajaan berjaya mewujudkan ‘pulau’ antara kawasan yang dikuasai tentera kerajaan dengan kumpulan penentang, bagi menghalang kumpulan penentang daripada menguasai kawasan berhampiran sempadan Jordan.
Jika strategi tentera kerajaan ini berjaya, penduduk Aleppo yang terkepung akan berdepan krisis kemanusiaan paling teruk dalam sejarah perang saudara di Syria, dan mereka juga akan berdepan kesukaran untuk menerima bantuan makanan dan perubatan kerana dihalang tentera kerajaan.
Menurut penganalisis, jika tentera kerajaan mencatat kemenangan di Aleppo, ia bukan sahaja akan dapat meningkatkan moral tentera, malah mengukuhkan semula kedudukan kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad, selain akan melemahkan moral kumpulan penentang.
Bagaimanapun, mesej Assad kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, baru-baru ini yang menyatakan beliau tidak bersedia menerima kekalahan selain kemenangan ke atas kumpulan penentang dan pengganas, dikhuatiri akan menjadikan orang awam di Syria terus menjadi mangsa korban perang, pelarian dan hilang tempat tinggal.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perang saudara di Syria setakat ini telah meragut lebih 400,000 nyawa sejak konflik itu meletus pada Mac 2011.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/perang-di-aleppo-ubah-landskap-konflik-syria-1.320047#sthash.6wrErmoq.dpuf

Sunday, 8 May 2016

Tiga Wartawan Diculik Di Syria Dibebaskan


Diterbitkan: Ahad, 8 Mei 2016 10:58 AM
Tiga wartawan Sepanyol yang dibebaskan selepas 10 bulan diculik.

MADRID: Tiga wartawan Sepanyol yang diculik di Syria sejak 10 bulan lalu dibebaskan pada Sabtu sebelum mereka berlepas pulang dari Turki, kata kerajaan.
Ketiga-tiga wartawan daripada pelabagai media itu dilihat kali terakhir di Aleppo pada Julai tahun lalu ketika melaporkan mengenai pertempuran di kawasan berkenaan.
"Ketiga-tiga mereka iaitu Antonio Pampliega, Jose Manuel Lopez dan Angel Sastre telah dibebaskan. Mereka telah dihantar ke Sepanyol," kata Presiden Persatuan Akhbar Sepanyol (Fape), Elsa Gonzalez.
Sumber terdekat dengan kerajaan Sepanyol memaklumkan, ketiga-tiga wartawan berkenaan kini berada di Turki untuk proses penghantaran pulang.
"Mereka berada di Turki dan dijangka akan terbang ke Sepanyol pada pagi Ahad," jelasnya.

Gencatan senjata di Aleppo dilanjutkan


Pemandangan udara memaparkan kemusnahan di daerah Saif al-Dawla

Pemandangan udara memaparkan kemusnahan di daerah Saif al-Dawla di Aleppo yang menjadi medan pertempuran baharu perang saudara di Syria. REUTERS
DAMSYIK 7 Mei – Gencatan senjata sementara di kawasan bergolak, Aleppo dilanjutkan bagi tempoh 72 jam lagi bermula hari ini walaupun keganasan semakin meningkat di selatan bandar kedua terbesar Syria itu.
Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan, lanjutan tempoh tersebut dibuat hanya beberapa minit sebelum gencatan senjata selama 48 jam sebelum ini tamat, bagi mengelakkan situasi di Aleppo semakin buruk ekoran pertempuran antara tentera kerajaan Syria dan kumpulan penentang.
“Tentera Syria akan mematuhi gencatan sementara di wilayah Latakia dan bandar Aleppo bermula pukul 12.01 minit tengah malam waktu tempatan bagi tempoh 72 jam berikutnya,” jelas kementerian tersebut.
Gencatan sementara yang turut disokong oleh Amerika Syarikat itu, membuatkan penduduk Aleppo berasa lega selepas hampir dua ming­gu terhimpit dalam pertempuran antara tentera Syria dan kumpulan penentang yang mengorbankan le­bih 280 nyawa orang awam.
Namun di selatan bandar tersebut, pertempuran antara tentera Syria dan kumpulan militan yang bersekutu dengan pengganas al-Qaeda semakin meningkat selepas lebih 70 orang dilaporkan terbunuh semalam.
Sementara itu di tengah Syria, tentera negara ini melancarkan serangan di sebuah penjara di bandar Hama bagi menamatkan rusuhan yang dicetuskan lebih 800 banduan sejak Isnin lalu selepas mereka enggan dipindahkan ke penjara Say­dnaya di sini Damsyik yang dikendalikan oleh tentera.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia melaporkan, berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan keselamatan Syria melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk memasuki kompleks penjara tersebut.
Menurut pertubuhan itu, situasi di Hama mencetuskan kebimbang­an berkaitan hak asasi manusia disebabkan kemungkinan pasukan keselamatan Syria menggunakan kekerasan dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun perkembangan selanjutnya berhubung kejadian di Hama masih belum diketahui. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gencatan-senjata-di-aleppo-dilanjutkan-1.319606#sthash.HyRMLLFS.dpuf

AS lancar dua serangan terhadap IS


militan generic

WASHINGTON 8 Mei - Amerika Syarikat dan tentera bersekutunya melancarkan dua siri serangan terhadap kumpulan militan IS di Iraq dan Syria kelmarin.
Jurucakap ketenteraan AS berkata, 11 serangan telah dilancarkan di Iraq manakala enam lagi di Syria.
Tambah jurucakap tersebut, tiga daripada serangan di Iraq berdekatan Mosul menyebabkan kemusnahan fasiliti unit taktikal dan komunikasi IS manakala tiga lagi serangan di Syria menghancurkan pusat kawalan kumpulan tersebut. -REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/as-lancar-dua-serangan-terhadap-is-1.319692#sthash.D73Ama0E.dpuf

Saturday, 7 May 2016

Tentera Syria Bunuh 28 Orang Awam


Diterbitkan: Jumaat, 6 Mei 2016 9:40 AM

ALEPPO, Syria: Seramai 28 orang awam terbunuh selepas tentera Syria menyerang kem pelarian di utara negara itu berhampiran sempadan Turki pada Khamis.
Serangan kejam oleh tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad dibuat sebelum gencatan dilakukan selepas ratusan orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita dibunuh.
Pemerhati Hak Asasi Manusia berkata, serangan itu dilakukan ke atas kem di Sarmada yang terlatak di wilayah Idlib - kawasan yang dikawal oleh kumpulan Al-Nusra.
Jelasnya, antara yang terkorban dalam serangan itu ialah kanak-kanak dan wanita.
Serangan itu juga menyebabkan seramai 50 orang awam mengalami kecederaan.

Serangan bom berkembar di Homs

Damsyik: Sekurang-kurangnya enam terbunuh dan puluhan yang lain cedera dalam dua letupan di sebuah perkampungan di Syria.
Gabenor Homs Talal Barrazi berkata, letupan itu tercetus oleh bom kereta dan penyerang berani mati yang meletupkan perantinya di kampung Mukharam al-Fawkani, yang terletak di timur pusat bandar Homs.
Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan berkembar itu, tetapi kumpulan militan Daish pernah mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan seperti itu di wilayah Homs sejak beberapa bulan lalu yang membunuh puluhan orang.
Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, 10 terbunuh dan lebih 40 cedera dalam letupan berkembar semalam.
Keganasan itu berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan satu perjanjian sudah dicapai dengan Russia untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata Syria ke bandar di sebelah utara.
Menurut tentera Syria, gencatan senjata yang bermula jam 12:01 pagi Selasa lalu akan berlangsung selama 48 jam.
Media Syria yang melaporkan beberapa pelanggaran gencatan senjata berkata, kumpulan militan melepaskan beberapa bedilan ke arah kawasan yang dikuasai kerajaan di Aleppo, tempat 280 orang awam terbunuh sejak dua minggu lalu. Serangan itu menyebabkan seorang terbunuh. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 9:51 AM

ORANG ramai memeriksa kerosakan akibat serangan bom di Mukharram al-Fawqani.

Kem pelarian dibedil, 28 maut


Lebih 100 terbunuh dalam dua serangan berdarah di Syria

Penduduk Syria yang ditempatkan di kem pelarian dekat Sarmada

Penduduk Syria yang ditempatkan di kem pelarian dekat Sarmada di wilayah Idlib memerikasa khemah mereka yang musnah dalam serangan tentera Syria, semalam. REUTERS
DAMSYIK 6 Mei – Lebih 100 orang terbunuh dalam dua serangan berasingan di Syria semalam, termasuk satu serangan ke atas sebuah kem pelarian yang terletak di utara negara ini dekat sempadan Turki, beberapa jam selepas gencatan senjata selama 48 jam dikuatkuasakan di bandar Aleppo.
Serangan pertama berlaku di kem pelarian berdekatan Sarmada di wilayah Idlib, susulan serangan udara tentera Syria di kawasan terbabit yang dikuasai kumpulan militan Barisan Al-Nusra yang bersekutu dengan pengganas al-Qaeda.
Menurut laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, sekurang-kurangnya 28 orang awam maut dalam serangan terbabit, termasuk sejumlah wanita dan kanak-kanak, manakala 50 mangsa lain cedera.
Pengarah agensi berita Shahba Press yang berpejabat di Aleppo, Mamun al-Khatib berkata, pesawat tempur tentera Syria melepaskan misil ke arah kem itu di Kampung al-Khammouna.
“Dua misil meletup berdekatan kawasan kem, menyebabkan ramai pelarian panik, manakala berpuluh-puluh khemah musnah apabila terkena dua lagi peluru berpandu,” katanya.
Imej yang tersebar dalam Internet merakamkan petugas kecemasan bertungkus-lumus memadamkan api yang marak memusnahkan khemah pelarian di kem tersebut.
Sementara itu, di Aleppo, se­kurang-kurangnya 73 orang terbunuh dalam pertempuran an­tara tentera Syria dan kumpulan militan yang bersekutu dengan Al-Qaeda hanya beberapa jam selepas serangan di Sarmada.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman melaporkan, sekurang-kurangnya 43 anggota militan terbunuh termasuk seorang komander, manakala 30 lagi yang maut adalah askar Syria.
Jelasnya, militan Barisan Al-Nusra dan beberapa kumpulan militan lain menawan pekan Khan Tuman dan beberapa perkampungan berhampiran dalam tempoh kurang 24 jam selepas pertempuran tersebut tercetus.
“Tentera Syria mengalami kekalahan dalam pertempuran di Khan Tuman yang terletak kira-kira 10 kilometer dari barat daya Aleppo.
“Kekalahan terbabit menyebabkan barisan pertahanan tentera kerajaan terpaksa berundur dari kawasan tersebut,” katanya. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kem-pelarian-dibedil-28-maut-1.319325#sthash.cJJPLNHP.dpuf

Friday, 6 May 2016

Lebih 70 terkorban pertempuran di Syria


Lebih 70 terkorban pertempuran di Syria
Gambar yang diedarkan oleh Agensi Berita Arab Syria (SANA) semalam menunjukkan sebuah kereta terbakar di kawasan letupan bom sekitar Mukharram al-Fawqani, daerah Homs di tengah Syria yang mengorbankan 10 orang awam dan mencederakan 40 yang lain. - AFP
Beirut 6 Mei – Lebih 70 dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan militan Barisan Nusra di Aleppo, hari ini.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, kejadian berlaku apabila Barisan Nusra melancarkan serangan terhadap tentera Syria di Kampung Khan Touman yang terletak berhampiran Lebuh Raya Damsyik-Aleppo.
Kumpulan militan itu kemudian menawan kampung berkenaan serta kawasan sekitarnya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lebih-70-terkorban-pertempuran-di-syria-1.319052#sthash.0YrpY6z9.dpuf

Gencatan senjata 48 jam di Aleppo


syria
DAMSYIK 5 MEI - Gamabar fail AFP menunjukkan kerosakan yang berlaku di bandar ini akibta serangan bom yang berlaku pada minggu lepas. - AFP
DAMSYIK 5 Mei – Tentera Syria terpaksa akur dengan desakan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia untuk menghentikan serangan ke atas bandar Aleppo menerusi satu perjanjian senjata sementara yang berkuatkuasa bermula hari ini.
Menurut kenyataan tentera Syria, Damsyik akan mematuhi gencatan senjata selama dua hari itu selepas mencapai persetujuan dengan Washington dan Moscow.
“Gencatan selama 48 jam di Aleppo akan berkuatkuasa bermula 1 tengah hari waktu tempatan pada hari ini,” jelas kenyataan tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gencatan-senjata-48-jam-di-aleppo-1.315515#sthash.AbVqCndV.dpuf

Gencatan senjata dua hari di Aleppo


Seorang tentera Rusia dan tentera Syria bersama beberapa orang

Seorang tentera Rusia dan tentera Syria bersama beberapa orang penduduk menunggu ketibaan konvoi tentera Syria di perkampungan Kaoukab dekat bandar Hama, kelmarin. AFP
DAMSYIK 5 Mei – Selepas menerima tekanan daripada Rusia dan Amerika Syarikat (AS), tentera Syria yang sedang menggempur bandar Aleppo habis-habisan sejak lebih 10 hari lalu, akhirnya bersetuju menghormati gencatan senjata selama dua hari di bandar itu, berkuatkuasa hari ini.
Menurut kenyataan tentera Syria, Damsyik akan mematuhi gencatan senjata selama dua hari itu selepas mencapai persetujuan dengan Washington dan Moscow.
“Gencatan selama 48 jam di Aleppo akan berkuatkuasa bermula 1 tengah hari waktu tempatan hari ini,” jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu, pertempuran dilaporkan masih meletus di Aleppo dan di sebuah kawasan di barat Damsyik.
“Kami mendapati secara keseluruhannya, keganasan semakin menurun di kedua-dua kawasan itu, walaupun terdapat laporan masih berlaku pertempuran di beberapa lokasi lain,” kata Setiausaha Negara AS, John Kerry.
Rusia dan AS mula bekerjasama sejak perjanjian gencatan senjata pada 27 Februari lalu di bandar Aleppo yang terbahagi kepada beberapa puak termasuk yang menyokong dan menentang kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Minggu lepas, Rusia dilaporkan bersetuju terhadap syarat-syarat gencatan senjata di Latakia dan pinggir Damsyik, namun mahu kerajaan pimpinan Bashar dibenarkan menentang kumpulan Barisan Al-Nusra yang merupakan sekutu rangkaian milita al-Qaeda di Aleppo.
Pertempuran sengit, bagaimanapun dilaporkan masih berlarutan di sekitar bandar tersebut antara kumpulan pemberontak dengan tentera kerajaan.
Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria (SOHR) yang beribu pejabat di London, Rami Abdel Rahman menyifatkan pertempuran itu sebagai yang paling ganas di Aleppo dalam tempoh setahun.
Dalam pada itu, agensi berita Syria, SANA melaporkan, tiga orang awam terbunuh dalam beberapa siri serangan roket di bahagian barat Aleppo dalam tempoh beberapa hari lalu.
Wakil AFP di Aleppo pula memberitahu bahawa pesawat milik tentera Syria melancarkan beberapa serangan terhadap kumpulan pemberontak di timur Aleppo.
Serangan di selatan Ghouta, berhampiran Damsyik itu dibuat selepas tempoh penggantungan sementara gencatan senjata di kawasan itu selama satu malam, tamat. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gencatan-senjata-dua-hari-di-aleppo-1.317983#sthash.wg0rMb8F.dpuf

Thursday, 5 May 2016

19 orang awam antara yang terbunuh dalam serangan di Raqa


Gambar AFP

Gambar AFP
BEIRUT 3 Mei - Seramai 19 orang awam dan 10 anggota kumpulan militan IS terbunuh dalam beberapa serangan udara yang dilancarkan sepanjang malam di kubu kuat kumpulan militan itu di Raqa, kata Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) hari ini.
Menurut SOHR, dalam serangan udara yang bermula awal pagi ini sahaja, 13 orang awam termasuk dua orang kanak-kanak serta lima anggota kumpulan militan itu terbunuh.
Kumpulan pemantau yang berpusat di Britain itu bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada serangan tersebut didalangi rejim tentera dari Damsyik; rakan sekutunya, Moscow atau pakatan tentera yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dalam menentang kumpulan militan IS.-AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/19-orang-awam-antara-yang-terbunuh-dalam-serangan-di-raqa-1.311644#sthash.Pvt9JpL2.dpuf