Agensi
Rome: Pengawal pantai Itali menyelamatkan hampir 4,700 migran di laut Mediterranean dalam tempoh 24 jam dalam operasi yang turut dirakam dan disiarkan.
Sebanyak 20 operasi menyelamat dilaksanakan menggunakan pelbagai kapal yang menemui 4,343 migran menaiki bot di perairannya.
Menurut kenyataan pengawal pantai, seorang wanita ditemui mati dalam sebuah bot getah digunakan. Semua migran ditemui kini dibawa ke pelbagai pelabuhan di Itali untuk diuruskan.
Sementara itu, 26 migran dikhuatiri hilang selepas bot getah yang membawa 46 orang karam di pulau Lesbos, Greece.
Kerakyatan mereka tidak diketahui dan setakat ini 20 yang lain sudah ditemui.
Jurucakap pengawal pantai berkata: “Mereka yang terselamat memaklumkan bot itu membawa 46 orang.”
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu menemui wakil pelarian Syria dan anggota pembangkang Syria lewat kelmarin meminta mereka menamatkan mogok duduk di sempadan dengan Greece di Edirne.
Ribuan migran menunggu di luar stadium selepas pasukan keselamatan menghalang mereka memasuki sempadan ke Greece sejak tiga hari lalu.
Ratusan lain masih menunggu di stesen bas di Istanbul dengan harapan dapat ke Edirne seterusnya ke Greece.
Sehubungan itu, tiga wakil menemui Davutoglu di Ankara yang berjanji akan menulis surat secara peribadi kepada pemimpin Eropah bagi pihak mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:36 AM
PENGAWAL pantai Itali melakukan operasi menyelamat.
No comments:
Post a Comment