PELARIAN Syria menurunkan seorang kanak-kanak sejurus mereka tiba di Pulau Lesbos di Greece dari Turki, kelmarin. - AGENSI
LESBOS 19 Sept. – Seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia lima tahun maut, manakala 13 lagi dilaporkan hilang dalam satu insiden kapal yang membawa orang pelarian karam di Pulau Lesbos di Greece, hari ini.
Jurucakap pasukan pengawal pantai Greece, Nikos Lagkadianos berkata, sebanyak 11 orang pelarian berjaya diselamatkan di perairan antara Lesbos dan Turki, manakala seorang lagi penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.
Menurut mangsa yang terselamat, mereka menganggarkan seramai 13 orang penumpang kapal masih hilang.
Kanak-kanak perempuan itu ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Puluhan ribu pelarian kebanyakan mereka rakyat Syria mempertaruhkan nyawa menaiki bot atau kapal hanyut yang penuh sesak untuk menyeberangi Laut Mediterranean dari Turki menuju ke Greece.
Selasa lalu, sebanyak 22 pelarian mati lemas, manakala lebih 200 orang berjaya diselamatkan ketika mereka cuba menghampiri pulau Kos di Greece, manakala dalam insiden berasingan, 34 pelarian, separuh daripada mereka kanak-kanak dan bayi maut, apabila bot mereka karam di Pulau Farmakonisi pada Ahad lalu.
Setakat ini, sebanyak 430,000 pelarian telah menyeberangi Laut Mediterranean menuju ke Eropah dengan 309,000 tiba menerusi Greece, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi. – REUTERS
No comments:
Post a Comment