21 September 2015 12:33 AM
VIENNA 20 Sept. – Kira-kira 15,700 pelarian yang bersesak-sesak menaiki bas dan kereta api, tiba di Austria semalam dan hari ini, ketika negara Eropah lain enggan menerima mereka atau tidak mampu lagi menangani kebanjiran golongan tersebut.
Menurut polis Austria, lebih 11,000 pelarian memasuki negara ini semalam, disusuli 4,700 hari ini menerusi sempadan Nickelsdorf dari Hungary.
Kebanyakan pelarian tersebut melalui perjalanan memenatkan dari Balkan ke barat Eropah, dengan Croatia menyatakan kira-kira 21,000 telah memasuki wilayahnya sejak empat hari lalu.
Palang Merah Austria pula memaklumkan, lebih kurang 2,000 pelarian sampai ke Jerman tanpa melalui pemeriksaan sempadan.
Kebanjiran pelarian paling ramai ke rantau berkenaan sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua itu mewujudkan perselisihan faham antara anggota blok barat dan timur Kesatuan Eropah (EU) tentang bagaimana untuk mengagih-agihkan pelarian dengan adil.
Beberapa buah negara telah menguatkuasakan undang-undang pengawalan sempadan, susulan jumlah semasa pelarian yang memasuki Eropah mencecah setengah juta orang, dengan EU menerima lebih suku juta permohonan untuk menjadi pencari suaka yang sah sejak tiga bulan lalu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/austria-terima-8232-15-700-pelarian-1.138471#sthash.804MKidp.dpuf
No comments:
Post a Comment