21 September 2015 12:34 AM
ATHENS 20 Sept. - Krisis pelarian di benua Eropah semakin meruncing apabila Hungary mengerahkan aset tentera mengawal sempadan berdekatan Croatia dan menuduh negara jirannya itu melanggar undang-undang antarabangsa.
Kemelut terbaharu itu tercetus susulan tindakan tegas kerajaan Hungary menguatkuasakan undang-undang kawalan sempadan bagi menangani kebanjiran pelarian dan Croatia membuka laluan sempadannya kepada pencari suaka politik untuk memasuki negara Eropah, tetapi langkah tersebut memakan diri ekoran jumlah pelarian yang terlalu ramai.
Perdana Menteri Croatia, Zoran Milanovic berkata, kerajaan terpaksa menutup beberapa pintu sempadan dan tidak boleh lagi menerima pelarian selain hanya memberi bantuan makanan, air, dan perubatan sebelum menghantar mereka ke barat dan utara Eropah.
“Kami akan memaksa Hungary dengan menghantar pelarian ke negara tersebut dan kami akan meneruskan tindakan itu,” kata Milanovic seperti dilaporkan portal Mail Online.
Kelmarin, kira-kira 3,000 pelarian memasuki Hungary menaiki bas dan kereta api, mencetuskan kemarahan Athens yang menuduh Croatia melakukan pelanggaran undang-undang antarabangsa kerana menghantar pelarian ke negara ini.
Ekoran itu, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban semalam mengarahkan misi ketenteraan dengan melibatkan kerahan konvoi kenderaan berperisai dan beratus-ratus askar untuk berkawal di sempadan di bahagian selatan selepas beliau menuduh Croatia memaksa pelarian memasuki negara ini.
Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto menyifatkan tindakan Milanovic sebagai menyedihkan kerana berpura-pura membantu pelarian, sebaliknya menghantar mereka terus ke Hungary.
“Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan pagar di kawasan sempadan dengan Croatia,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Hungary, Zoltan Kovacs berkata, sistem Croatia untuk mengendalikan isu pelarian dan pendatang ternyata telah ‘rosak’.
“Kejadian yang berlaku beberapa hari ini menunjukkan kegagalan sistem Croatia untuk menangani isu pelarian.
“Secara jelasnya, kita boleh menyaksikan aktiviti penyeludupan manusia dengan membawa kumpulan pelarian ke sempadan Hungary,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/eropah-berbalah-isu-pelarian-1.138486#sthash.xLY5Tnf2.dpuf
No comments:
Post a Comment