Monday 21 September 2015

Croatia tutup sempadan


AP - ANGGOTA polis Croatia kelihatan membuat halangan di atas jambatan yang merentasi Sungai Danube bersempadan dengan Serbia semalam.


ZAGREB – Croatia menutup tujuh daripada lapan pintu sempadan dengan Serbia selepas lebih 11,000 imigran mula membanjiri negara itu semalam.
Kumpulan imigran tersebut berjaya mengelak kawalan polis, merentasi kawasan padang dan cuba menyusup masuk ke Slovenia melalui kereta api.
Hanya lintasan sempadan Bajakovo iaitu lebuh raya antara bandar Belgrade, Serbia dan Zagreb dibuka untuk laluan imigran.
Sementara itu, Slovenia yang berjiran turut menutup semua lalu lintas ke laluan utama dari Croatia termasuk menghentikan sebuah kereta api yang membawa kumpulan itu untuk ke se­belah sempadan Slovenia.
Kumpulan imigran berpusu-pusu masuk ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang turut dianggotai Croatia sejak dua hari lalu selepas Hungary bertindak tegas dengan membuat halangan pagar besi dan mengadakan kawalan polis yang melepaskan gas pemedih mata serta meriam air kepada golongan berkenaan.
Di sebuah stesen kereta api di timur sempadan Croatia dan Serbia, beribu-ribu imigran kelihatan terkandas kelmarin menyebabkan mereka terpaksa tidur di kawasan terbuka.
Menteri dalam Negeri Crotia, Ranko Ostojic memberi amaran kelmarin bahawa Croatia akan menutup sempadan negaranya dengan Serbia jika aliran masuk imigran terus berada pada kadar sama dan memberitahu negara itu sudah cukup kapasiti.
Sementara itu, Serbia melahirkan rasa kesal dengan tindakan Croatia yang menutup sempadan antara negara.
“Kita ingin memberi amaran bahawa tindakan Croatia dan negara lain yang menutup jalan antarabangsa adalah suatu yang tidak boleh diterima,” kata menteri yang menguruskan hal ehwal imigran, Aleksandar Vulin. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mMiJKjcv 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment