Monday, 28 September 2015

Perancis lancar serangan udara terhadap IS di Syria


PARIS: Perancis hari ini mengumumkan ia sudah melancarkan serangan udara terhadap militan IS di Syria dalam usahanya menyekat kehadiran kumpulan itu di situ.
"Negara kami dengan ini mengesahkan komitmen untuk memerangi ancaman pengganas oleh Daesh (IS). Kami akan menyerang setiap kali keselamatan negara kami terancam," menurut kenyataan Pejabat Presiden Perancis.
Perancis yang sebelum ini hanya mengambil bahagian dalam serangan di Iraq, melakukan penerbangan intipan di Syria sejak beberapa bulan lalu bagi mengumpul maklumat mengenai kedudukan IS. - Reuters

Perancis mula lancar serangan udara di Syria


Paris: Perancis semalam mengumumkan melancarkan serangan udara pertama terhadap Negara Islam (IS) di Syria selepas tiga minggu melakukan pemantauan.

Pejabat Presiden Francis Hollande berkata, serangan itu mengenai sasaran yang dikenal pasti sepanjang operasi pemantauan dimulakan pada 8 September lalu.


Operasi untuk ‘melawan ancaman pengganas’ IS diselaraskan dengan rakan pejuang di rantau itu, kata kenyataan berkenaan.

“Kami akan melakukan serangan apabila merasakan keselamatan negara terancam.

“Orang awam mesti dilindungi daripada semua bentuk keganasan, tidak kiralah oleh IS atau kumpulan pengganas lain, tetapi juga oleh pengeboman keji Presiden Syria Bashar al-Assad,” katanya.

Awal bulan ini, Perancis menggunakan alasan mempertahankan diri dalam merancang serangan berkenaan, namun tidak akan melakukan operasi di darat.

Pesawat pejuang Perancis sudah terbabit dalam serangan udara terhadap kumpulan militan di Iraq.

Iran dan Russia memberi sokongan kuat kepada Bashar yang dianggap Amerika Syarikat dan negara Eropah sebagai punca perang saudara di negara itu yang melihat 250,000 maut dan sebahagian besar Syria jatuh ke tangan IS.

Russia turut menimbulkan rasa tidak senang negara Barat apabila memperkukuhkan kehadiran tenteranya di Syria sejak beberapa minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:52 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80709#sthash.IbcmkbPr.dpuf

17 pelarian Syria mati lemas

AFP
Ankara: Tujuh belas pelarian Syria termasuk lima kanak-kanak mati lemas semalam selepas bot dinaiki karam di perairan Turki dalam perjalanan ke Greece.

Pengawal pantai Turki menemui mayat berkenaan dalam bot kayu yang berlepas dari bandar peranginan Bodrum menuju ke kepulauan Leros di Greece, lapor agensi berita Dogan.

Pelarian berkenaan dipercayai mati selepas gagal melepaskan diri daripada kabinnya.

Sementara itu, 20 yang lain yang berada di dek atas berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai Turki. Semuanya memakai jaket keselamatan.

Mereka yang terselamat dibawa ke rumah mayat di Bodrum untuk mengenal pasti mangsa maut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:42 AM

SEORANG wanita Syria menangis kesyukuran selepas selamat tiba di pulau Lesbos, Greece.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80703#sthash.ktGYoPOP.dpuf

Sunday, 27 September 2015

Bashar digesa main peranan


Julie Bishop
Julie Bishop
27 SEPTEMBER 2015


CANBERRA - AUSTRALIA.  Menteri Luar Australia menggesa penyelesaian politik diguna pakai untuk menamatkan konflik di Syria selain menekankan kerajaan perpaduan perlu diwujudkan dengan penglibatan Presiden Bashar al-Assad.

Julie Bishop menegaskan kosensus baharu menunjukkan kerajaan juga mempunyai peranan penting untuk menghentikan kemaraan kumpulan militan IS di rantau itu.

"Ia jelas menunjukkan penyelesaian politik dan tindakan ketenteraan dapat meredakan konflik di Syria," kata beliau menerusi wawancara bersama akhbar, The Australian yang diterbitkan, semalam.

Menurutnya, Canberra sedia memainkan peranan mereka untuk memastikan objektif itu dapat dicapai.

Selasa lalu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius turut berpendapat penyelesaian secara diplomatik adalah mustahil tanpa penglibatan Bashar.

Sehingga kini, lebih 240,000 terkorban dalam konflik yang tercetus di Syria sejak Mac 2011. - Press TV

Obama, Putin bincang krisis Syria


AP - GAMBAR fail Obama semasa mengadakan pertemuan dengan Putin di Enniskillen, Ireland Utara pada 17 Jun 2013.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bersetuju bertemu dengan rakan sejawatnya, Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi mencari jalan penyelesaian mengenai konflik di Syria.
Putin dan Obama dijangka mengadakan perbincangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Isnin ini terutama mengenai peranan Presiden Syria, Bashar al-Assad untuk menamatkan peperangan selama empat tahun yang telah mengorbankan kira-kira 250,000 orang.
Setiausaha Kementerian Pertahanan AS, Ashton Carter berkata, Rusia dan Washington akan mencari jalan untuk bekerjasama menangani krisis itu.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang merupakan pengkritik utama Bashar, buat pertama kali mencadangkan supaya Presiden Syria itu boleh memainkan pera­nan dalam menentukan perubahan politik di negara berkenaan.
“Tetapi tiada sesiapa boleh membayangkan masa hadapan dengan Assad masih kekal di Syria,” tegas Erdogan.
Rusia yang merupakan sekutu Bashar telah membangkitkan kemarahan Barat apabila menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Syria.
Menurut Carter, jika Rusia benar-benar membantu Syria untuk menentang militan Islamic State dan bukannya menghapuskan ‘musuh’ politik Bashar, Washington dan Moscow mungkin boleh bekerjasama.
“Jika itu tujuannya, mungkin kita boleh mencari jalan untuk bekerjasama tetapi jika tujuan mencampuri perang saudara di Syria, pada saya itu suatu yang tidak wajar,” kata Carter. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mtImCCJW 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, 26 September 2015

Jerman salur dana RM19.6 bilion bantu pelarian

Pelarian Islam Syria cuba berpaut pada sebuah bot yang sesak dengan

PELARIAN Islam Syria cuba berpaut pada sebuah bot yang sesak dengan penumpang selepas mereka tiba di kepulauan Lesbos, Greek selepas menyeberangi sebahagian Laut Aegean Sea dari Turki, semalam. - REUTERS
BERLIN 25 Sept. – Kerajaan Jerman semalam bersetuju untuk menyalurkan dana berjumlah 4 bilion euro (RM19.6 bilion) kepada 16 negeri di negara ini pada tahun depan bagi membantu pihak berkuasa tempatan menangani kebanjiran pelarian.
Canselor Jerman, Angela Merkel membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua menteri bagi membincangkan langkah membantu negeri-negeri yang bergelut menerima kebanjiran seramai 800,000 pencari suaka pada tahun ini sahaja.
Merkel berkata, kerajaan akan memperuntukkan kepada setiap negeri sebanyak 670 euro (RM3,294) setiap bulan bagi setiap pencari suaka yang mereka ambil.
Menurut sumber Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD), pakej itu bersamaan kira-kira 4 bilion euro (RM19.6 bilion) selepas mengambil kira bayaran tambahan untuk menyediakan perumahan sosial dan menjaga pelarian muda.
Kerajaan sebelum ini berjanji untuk menawarkan kepada setiap ne­geri terbabit sebanyak 3 bilion euro (RM14.7) pada tahun depan bagi membantu kos tambahan perumahan dan penjagaan pelarian dan pencari suaka.
Rakyat Jerman dilaporkan berbeza pendapat berhubung jumlah ketibaan pelarian baharu dengan ada yang menyambut baik kedatangan pelarian dari Asia Barat dan Afrika, manakala selebihnya bimbang bagaimana mereka akan dapat hidup bersatu padu.
Kesatuan Eropah (EU) dalam perkembangan berasingan akan menggunakan kapal perang mereka bagi menahan pihak yang terlibat dalam pemerdagangan manusia di perairan antarabangsa. – REUTERS/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jerman-salur-dana-rm19-6-bilion-bantu-pelarian-1.139986#sthash.65oXthh8.dpuf

Friday, 25 September 2015

EU salur RM4.82b bantu pelarian

Donald Tusk

Donald Tusk
BRUSSELS 24 Sept. – Ketua negara-negara Kesatuan Eropah (EU) berikrar akan menyalurkan dana berjumlah AS$1.1 bilion (RM4.82 bilion) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu pelarian, selain bersetuju untuk menjalinkan kerjasama lebih erat berhubung kemasukan pelarian ke Eropah.
Laman web Al Jazeera melaporkan, persetujuan itu dicapai pada Sidang Kemuncak EU mengenai pelarian, di sini semalam selepas beberapa minggu berlaku ketegangan antara negara anggota EU berhubung krisis pelarian yang dihadapi di rantau ini.
Presiden Majlis EU, Donald Tusk berkata, sidang tergempar yang berakhir awal hari ini itu berlangsung selama tujuh jam dan disifatkan berjalan dengan lancar `berbanding apa yang diharapkan sebelum ini’.
Kata Tusk, ketua negara Hungary dan Austria yang sempadannya paling terjejas teruk akibat masalah pelarian telah memainkan peranan penting pada sidang kemuncak tersebut,
“Mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana yang sangat positif. Kita tidak menuding jari antara satu sama lain tentang siapa perlu dipersalahkan dalam masalah yang sedang dihadapi kini,” kata Tusk.
Antara cadangan yang telah dipersetujui dalam sidang kemuncak berkenaan ialah memperketatkan sistem pengawalan di pintu sempadan bagi mengelak kemasukan pelarian.
EU turut bersedia menyalurkan dana bantuan berjumlah ASS$1.1 bilion (RM4.82 bilion) kepada agensi perubatan bagi membolehkan mereka membantu pelarian yang berada di zon konflik seperti di Turki, Lebanon dan Jordan.
“Kita (anggota EU) mampu menempuh segala cabaran yang dihadapi sekarang dengan saling bekerjasama antara satu sama lain atas semangat perpaduan dan rasa tanggungjawab,” kata EU dalam satu kenyataan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/eu-salur-rm4-82b-bantu-pelarian-1.139735#sthash.uNRlDglV.dpuf

Thursday, 24 September 2015

EU lulus pelan 
kongsi pelarian

Delegasi  Republik Czech semasa menghadiri Sidang Kemuncak EU bagi membincangkan isu pelarian di Bru

Delegasi Republik Czech semasa menghadiri Sidang Kemuncak EU bagi membincangkan isu pelarian di Brussels, kelmarin. Republik Czech adalah antara negara yang tidak bersetuju dengan rancangan perkongsian penempatan semula pelarian yang diluluskan EU, kelmarin. – AGENSI
BRUSSELS 23 Sept. - Kesatuan Eropah (EU), semalam meluluskan rancangan perkongsian penempatan semula 120,000 pelarian di 28 negara anggotanya, walaupun menerima bantahan keras daripada empat buah negara anggota bekas komunis.
Diplomat berkata, mesyuarat antara menteri-menteri luar yang berlangsung di Brussels itu me­ngundi untuk melaksanakan ran­cangan berkenaan setelah mendapat sokongan daripada Jerman dan beberapa buah negara kuasa besar.
Menteri Luar Czech dalam status yang dimuat naik di laman sosial Twitter berkata, beliau mengundi untuk tidak menyokong cadangan tersebut bersama-sama Slovakia, Romania dan Hungary, manakala Finland mengambil pendirian berkecuali.
Prague terdahulu memberi ­amaran, sebarang usaha untuk meluluskan rancangan perkongsian pela­rian itu tidak mungkin akan berlaku dan kerajaan atau pihak berkuasa EU berkemungkinan besar akan ‘dicemuh’.
“Jika kita gagal mencari jalan penyelesaian terbaik untuk jangka panjang, krisis pelarian ini boleh memberi ancaman kepada EU,” kata Perdana Menteri Slovenia, Miro Cera.
Menteri-menteri luar EU berharap mesyuarat yang berlangsung semalam mencapai kata sepakat berbanding menjalankan proses undian di mana blok timur Eropah merupakan kumpulan minoriti dalam EU, sekaligus menimbulkan kebimbangan berkemungkinan si­tuasi tersebut akan merenggangkan hubungan antara negara-negara anggota.
Dalam perkembangan sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menggesa negara-negara anggota EU menerima rancangan perkongsian penempatan semula pelarian yang telah dipersetujui.
White House dalam satu kenya­taan berkata, Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel bersetuju bahawa penyelesaian terhadap isu pelarian adalah dengan kesemua anggota EU menerima agihan pela­rian yang telah diputuskan. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/eu-lulus-pelan-8232-kongsi-pelarian-1.139473#sthash.6TFzTxTO.dpuf

Lalu lintas Serbia-Croatia terhenti

Barisan panjang lori membawa kargo menunggu di Lebuh Raya E-71

Barisan panjang lori membawa kargo menunggu di Lebuh Raya E-71 di sempadan Serbia-Croatia berhampiran Batrovci, kira-kira 100 kilometer ke barat Belgrade, Serbia untuk diberi kebenaran masuk ke Croatia, kelmarin. AGENSI
ZAGREB/BALGRADE 23 Sept. – Aliran trafik antara Serbia dan Croatia terhenti, semalam ketika teretus ketegangan antara kedua-dua negara bekas republik Yugoslavia itu, ekoran kebanjiran pelarian di sempadan kedua-dua negara itu.
Lalu lintas terhenti sepenuh­nya apabila lori-lori yang tersekat, menghalang laluan terakhir.
Croatia yang berang dengan kebanjiran pelarian di sempadan timurnya dengan Serbia, semalam bertindak menghalang kesemua kenderaan kargo dari Serbia, selepas menutup tujuh daripada lapan pintu sempadannya untuk kegunaan kenderaan.
Lebih 30,000 pelarian, keba­nyakan mereka dari Syria mema­suki Croatia yang merupakan anggota Kesatuan Eropah (EU) dari Serbia sejak Selasa lalu berikutan tindakan Hungary menutup pintu sempadannya dengan memasang kawat duri.
Pelarian itu dibawa terus dari Serbia ke sempadan Croatia, selepas memasuki Serbia dari Macedonia dengan berjalan kaki, sehingga membuatkan Croatia tidak lagi mampu menerima kebanjiran pelarian dan mendakwa Belgrade perlu menghantar kembali pelarian ber­kenaan ke Hungary dan Romania.
Trak-trak berbaris di lebuh raya Belgrade-Zagreb mencapai 12 kilometer panjang ekoran tindakan Serbia memberi tempoh sehingga hari ini bagi Zagreb menarik balik sekatan ke atas kargo itu atau berdepan tindak balas politik, undang-undang dan ekonomi.
Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Croatia, Zoran Milanovic dan mereka akan terus berbincang bagi mencari penyelesaian.
Katanya, tanpa sebarang perjanjian menjelang tengah malam ini, Serbia akan mengambil beberapa tindakan ke atas Zagreb.
“Saya percaya kami akan dapat mencapai persetujuan dengan jiran kami. Namun, Serbia mesti membalas atas kemusnahan integriti ekonominya dan dasar nasional,” kata Vucic.
Beberapa minit sebelum Vucic mengeluarkan kenyataan, kerajaan Croatia berkata, mereka memutuskan untuk meringankan sekatan itu bagi membenarkan hanya trak-trak yang membawa barang-barang yang tidak tahan lama memasuki negara itu.
Bagaimanapun, pemandu lori yang kecewa dengan tindakan Croatia itu, bertindak meletakkan kenderaan mereka di sepanjang laluan Bajakovo-Batrovci, sekali gus menghalang laluan semua trafik. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lalu-lintas-serbia-croatia-terhenti-1.139475#sthash.oTrPmLCa.dpuf

Wednesday, 23 September 2015

Kumpulan pertama 20,000 pelarian Syria tiba di UK

PELARIAN Syria beratur untuk menaiki kereta api di stesen kereta api di Tovarnik, Croatia. Lebih 20,000 pelarian Syria telah masuk ke Eropah dari beberapa kem di negara berjiran negara Teluk itu. - Foto REUTERS
RABU, 23 SEPTEMBER 2015 @ 8:34 AM

 LONDON: Britain hari ini menerima kedatangan pertama 20,000 pelarian Syria dari beberapa kem di negara berjiran negara Teluk itu sejajar dengan usaha memberikan mereka perlindungan sementara.
"Hari ini sejumlah pelarian sudah tiba di UK sebagai sebahagian daripada Skim Penempatan Semula Orang Terlindung," kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.
"Susulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri awal bulan ini, kami akan memberi perlindungan kepada 20,000 rakyat Syria seperti diluluskan Perlimen," kata kenyataan itu. - AFP

Berang kargo disekat

Reuters
Batrovci (Serbia): Serbia mengancam membalas tindakan Croatia menutup semua perjalanan kargonya susulan kebanjiran pendatang di sempadan antara dua negara berkenaan.

Lebih 30,000 pendatang - kebanyakannya pelarian Syria - masuk ke Croatia dari Serbia sejak Selasa minggu lalu, berikutan Hungary menghalang kemasukan mereka ke Kesatuan Eropah di sempadan selatan dengan Serbia dengan mendirikan pagar.


Menurut Croatia, ia tidak mampu menampung lebih ramai lagi pendatang dengan ribuan pelarian dilihat berjalan merentasi bukit ke kem yang dibuka untuk pendatang, sementara pihak berkuasa menyediakan pengangkutan ke utara Hungary atau barat Slovenia untuk mereka.

Beberapa ribu lagi menunggu di kawasan bebas antara sempadan Sid di Serbia dan Tovarnik di Croatia, malah ada juga yang tidur di tanah perkuburan.

Croatia menutup tujuh daripada lapan pintu sempadan dengan Serbia manakala awal kelmarin mula menghentikan lori daripada memasuki lebuh raya antara Belgrade dan Zagreb - satu daripada dua laluan utama Serbia ke barat.

Tindakan itu mengakibatkan kesesakan lori sejauh 12 kilometer di sebelah Serbia.

Kerajaan Croatia memberi alasan tindakan itu atas sebab keselamatan, namun media tempatan berkata, Zagreb cuba memberi tekanan kepada Belgrade supaya mengekang aliran pendatang di sempadan mereka dengan menghantar lebih ramai lagi ke Hungary di utara atau Romania di timur.

Menteri Dalam Negeri Croatia Ranko Ostojic berkata lewat kelmarin: “Saya rasa kita dapat melihat dengan jelas aliran migran secara terus dari Serbia ke sini.”

Sementara itu, kerajaan Serbia mengadakan mesyuarat tergempar semalam untuk membincangkan tindakan selanjutnya.

Menteri Kehakiman Serbia, Nikola Selakovic berkata: “Tiada penjelasan rasional atau logik untuk menghentikan aliran barangan apatah lagi itu satu daripada laluan utama antara dua negara ini.

“Penutupan laluan itu menyebabkan jutaan kerugian kepada perniagaan Serbia setiap hari.”

Perdana Menteri Serbia Aleksandar Vucic pula berkata: “Tindakan Croatia melanggar pelbagai perjanjian dua hala dan antarabangsa. Jika tidak dihentikan kami tiada pilihan selain menggunakan undang-undang demi kepentingan negara kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:15 AM

SEORANG wanita mendukung bayinya ketika beratur untuk mendaftarkan diri di Opatovac, Croatia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79559#sthash.0MTnteFN.dpuf

Menteri EU bincang krisis imigran


AFP - TENTERA Hungary dilihat memasang pagar bagi mengekang kemasukan imigran berhampiran sempadan dengan Croatia di Beremend kelmarin.


BUDAPEST – Menteri-menteri Dalam Negeri negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat tergempar semalam bagi membincangkan krisis imigran, sehari selepas Hungary memberi kuasa drastik kepada tentera untuk mengawal sempadan negara itu.
Mesyuarat semalam menyaksikan menteri-menteri terbabit membincangkan kontroversi kuota wajib untuk menempatkan semula 120,000 pelarian ke seluruh EU dari beberapa negara utama selepas mereka gagal mencapai persetujuan minggu lalu. Satu persidangan tergempar EU juga akan diadakan bermula hari ini.
Sebelum mesyuarat tergempar semalam, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon merayu ketua-ketua 28 negara anggota EU agar ‘menonjolkan kepimpinan dan belas kasihan’ ketika benua ini bergelut dengan lambakan imigran, ramai daripadanya melarikan diri daripada konflik di Syria.
Ki-Moon berkata, beliau amat bimbang tentang situasi yang semakin buruk berikutan penutupan sempadan-sempadan di Eropah kekurangan kemudahan untuk menerima kemasukan pendatang baharu serta peningkatan tindakan menahan golongan pelarian.
Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras pula menyeru perkongsian tanggungjawab sambil menyatakan: “Jika tidak, tiada guna berbincang mengenai sebuah Eropah bersatu.”
Kenyataan berkenaan menyusul selepas Hungary memaklumkan menggunakan kuasa tentera bagi mengekang kemasukan imigran yang mahu bergerak ke Eropah utara.
Beratus ribu pelarian telah sampai ke Eropah barat tahun ini, meningkatkan tekanan ke atas negara-negara perantara sepanjang laluan imigran tersebut. Ada antaranya telah menutup sempadan, manakala yang selebihnya cuba mengalihkan aliran masuk ke negara lain.
Selepas menutup sempadannya dengan Serbia di sebelah selatan minggu lalu dan meluluskan beberapa undang-undang ketat antiimigran, Hungary kelmarin meluluskan perundangan tambahan bagi membolehkan penglibatan tentera dalam kawalan sempadan.
Perundangan baharu itu turut memberi kebenaran kepada tentera menggunakan peluru getah, gas pemedih mata dan senapang jaring di sempadan ‘dalam cara tidak membawa maut, kecuali jika ia tidak dapat dielakkan’.
Krisis tersebut telah menonjolkan jurang besar di dalam EU, khususnya antara negara bekas komunis di timur dan negara kaya di sebelah barat yang menjadi destinasi pilihan imigran. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mVY6Dd8C 
Hakcipta terpelihara 

Pendatang beli pasport palsu Syria


23 September 2015 1:15 AM



VIENNA 22 Sept. – Penyeludup manusia dilapor mengambil kesempatan terhadap krisis pelarian apabila menjual pasport Syria palsu di Facebook kepada pendatang dari Afrika Utara dan negara Asia Barat lain yang mahu mencari pekerjaan di Eropah.
Akhbar The Telegraph melaporkan, perkara itu dikesan wartawannya yang menyamar sebagai pendatang Mesir selepas dia menghubungi nombor telefon yang diperoleh daripada satu akaun berbahasa Arab di Facebook, The Travellers’ Platform yang menawarkan khidmat menjual pasport palsu ­Syria pada harga hanya 1,000 pound (RM6,636.59).
Selain itu, penyeludup manusia berkenaan turut menawarkan perkhidmatan membawa pendatang dari Turki ke Greece pada harga 800 pound (RM5,309.27).
Operasi sindiket itu dikuatkan lagi dengan penahanan seorang anggota militan kumpulan militan Negara Islam (IS) dari Maghribi oleh polis Jerman baru-baru ini selepas dia didapati memiliki pasport palsu Syria.
Selain Syria dan Maghribi, pendatang dari negara lain yang turut memasuki Eropah datang dari Iraq, Sudan, Libya, dan Mesir.
Perkembangan baharu itu membuatkan rakyat Syria yang mahu mencari perlindungan di Eropah berang kerana mereka mungkin tidak berpeluang mendapat suaka politik jika ramai pelarian lain turut mengakui datang dari negara berkenaan.
Seorang doktor gigi dari Syria, Nizar Shoukry yang menetap di Croatia sejak 30 tahun lalu berkata, dia melihat ramai pendatang dari Afrika, Afghanistan, dan Pakistan yang mengakui berasal dari Syria, namun tidak boleh berbahasa Arab.
“Keadaan ini meresahkan saya kerana mereka telah menjejaskan peluang rakyat Syria yang betul-betul perlukan perlindungan di Eropah,” katanya.
Pengarah Eksekutif Frontex, sebuah agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Fabrice Leggeri berkata, ada sebahagian pendatang di Turki kini membeli pasport palsu Syria kerana tahu peluang mereka besar untuk mendapat perlindungan politik di Eropah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pendatang-beli-pasport-palsu-syria-1.139264#sthash.Sm1y541O.dpuf

Bayi kembar bergadai nyawa


Rentas Laut Aegean naiki bot untuk ke Greece
23 September 2015 1:16 AM


Mytilene, Greece 22 Sept. - Terdesak bagi mendapatkan perlindungan dan melarikan diri daripada konflik perang, sepasang ibu bapa Syria terpaksa menggadaikan nyawa bayi kembar mereka yang berusia lapan bulan untuk merentasi Laut Aegean bagi ke Greece dari Turki.
Walaupun sedar tentang risiko yang mungkin dihadapi termasuk lemas di laut, pasangan yang tidak dinamakan itu terpaksa berbuat demikian bagi memberi keselesaan hidup kepada anak mereka pada masa depan.
Untuk menempuh perjalanan membahayakan itu, seorang daripada mereka dibalut dengan selimut, sementara seorang lagi ditidurkan di dalam sebuah beg galas.
Bayi kembar berkenaan sekali-sekala terjaga daripada tidur.
Laut bergelora dan bot getah yang dinaiki mereka tidak mematahkan semangat ibu bapa pasangan kembar tersebut meneruskan perjalanan demi masa depan mereka sekeluarga.
Pasangan tersebut akhirnya boleh menarik nafas lega semalam, selepas perjalanan selama dua atau tiga hari itu berakhir apabila mereka selamat tiba di Pantai Eftalou berdekatan Pelabuhan Mytilene, Pulau Lesbos di Greece.
Laman web Daily Mail melaporkan, empat sekeluarga yang identiti mereka tidak didedahkan itu merupakan antara beratus-ratus pela­rian Syria yang cuba ke Greece sejak beberapa hari lalu, menggunakan kapal buatan sendiri atau bot getah.
Seorang pelarian Syria, Haseen yang juga berjaya menyeberangi laut tersebut untuk ke Greece memberitahu agensi berita ANA, dia dan keluarganya berdepan detik menakutkan apabila sebuah kapal yang tidak perasan kehadiran bot dinaikinya di lautan, hampir-hampir melanggar mereka.
“Keadaan ketika itu huru-hara. Kami cuba memberi isyarat kepada kapal itu menggunakan lampu pada telefon bimbit, tetapi kapal itu tidak perasan.
“Kami lupa tentang anak-anak kami. Kami juga tidak nampak mereka kerana keadaan amat gelap,” katanya.
Bagaimanapun, Haseen ber­syukur kerana mereka terselamat.
Menurut Pertubuhan Imigrasi Antarabangsa (IOM), sepanjang tahun ini, sejumlah 430,000 pelarian merentasi Laut Mediterranean untuk ke Eropah dengan 309,000 da­ripadanya selamat tiba di Greece.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-kembar-bergadai-nyawa-1.139261#sthash.y59KO0uD.dpuf

Tuesday, 22 September 2015

Hungary iklankan amaran kepada migran


Beirut: Kerajaan Hungary semalam menyiarkan iklan di akhbar di Lubnan memberi amaran kepada golongan migran tidak memasuki sempadannya secara haram kerana boleh dikenakan hukuman penjara.

Dalam iklan halaman penuh di beberapa akhbar tempatan terkemuka, kerajaan Hungary berkata: “Tindakan tegas kini diambil terhadap mereka yang memasuki negara ini secara haram.


“Jangan hiraukan penyeludup manusia. Hungary tidak akan membenarkan pendatang asing memasuki sempadannya.”

Iklan itu disiarkan dalam bahasa Inggeris dan Arab.

Lubnan mempunyai hampir 1.2 juta pelarian Syria dengan ada antara mereka menyuarakan keinginan berpindah ke Eropah untuk peluang kerja dan bantuan yang lebih baik.

Hungary yang menutup sempadannya dengan Serbia pada 15 September lalu membina satu lagi pagar besi di sempadan Beremend berhampiran Croatia bagi mengekang kemasukan migran, namun gagal menghalang golongan itu.

Awal bulan ini, Menteri Imigresen, Integrasi dan Perumahan Denmark turut menyiarkan iklan di akhbar Lubnan bertujuan menghalang migran ke negaranya.

Iklan itu turut mengumumkan Denmark mengurangkan bantuan sosial kepada migran 50 peratus selain memberi amaran mereka yang ditolak permohonan suaka akan terus dihantar pulang ke negara asal. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 7:23 AM

SEORANG lelaki membaca iklan disiarkan di akhbar harian berbahasa Perancis, L’Orient le jour.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79258#sthash.ndyQfNQP.dpuf

Halang berarak


AFP
Istanbul: Usaha migran di Istanbul berjalan ke sempadan Eropah semalam dihalang pihak polis di luar kota bersejarah itu.

Kira-kira 700 lelaki, wanita dan kanak-kanak yang kebanyakannya berbangsa Syria sebelum ini terkandas di stesen bas utama Istanbul sejak seminggu lalu sebelum memutuskan semalam untuk berjalan kaki ke Edirne yang terletak 250 kilometer (km) dari bandar itu.


Ada antara mereka yang tidur di sisi lebuh raya berjaya memanjat bas dan kereta persendirian untuk meneruskan perjalanan.

Namun, ratusan yang lain terus berjalan di laluan kecemasan pada waktu lalu lintas sesak dengan orang ramai yang mahu ke pejabat sebelum dihalang polis 50km di luar Istanbul.

Edirne yang terletak 10km dari sempadan Greece dan 20km dari Bulgaria kini menjadi tempat pertemuan untuk migran yang cuba memasuki Eropah.

Golongan itu juga semakin bersemangat menggunakan laluan darat berikutan kempen media sosial menggunakan hashtag #Crossingnomore yang mendesak migran dibenarkan melintas laluan darat ke Eropah tanpa menggadai nyawa di lautan, menyebabkan 2,000 pelarian mula membanjiri bandar berkenaan sejak minggu lalu.

Malangnya, ratusan lain yang cuba mengikuti jejak langkah mereka terkandas di Istanbul selepas syarikat bas mematuhi arahan pihak berkuasa yang melarang penjualan tiket kepada golongan itu.

Gabenor Edirne juga memberi amaran migran yang cuba menyelinap masuk ke Eropah melalui wilayah itu akan dihantar ke kem pelarian di selatan Turki.

Ramai rakyat Syria yang menuju ke Eropah sudah berbulan - malah ada juga bertahun - tinggal di Turki yang menerima lebih dua juta pelarian negara itu sejak 2011. Sekitar 260,000 daripada mereka tinggal di kem pelarian.

Bagaimanapun, status mereka sebagai ‘tetamu’ di Turki menyukarkan mereka mendapat kerja dan perkhidmatan asas menyebabkan ramai mahu mencuba nasib di negara Kesatuan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 7:24 AM

Migran dihalang polis di lebuh raya di luar Istanbul.

Eropah bincang dasar imigran


REUTERS - IMigran menjulang bayi dan kanak-kanak untuk memujuk pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke Greece di Edirne dekat sempadan Turki kelmarin.


NICKELSDORF, Austria – Men­teri-menteri Eropah Timur mengadakan satu pertemuan semalam bagi merapatkan jurang perbezaan berkaitan dasar imigran masing-masing selepas krisis pelarian di rantau berkenaan bertambah buruk.
Beribu-ribu imigran terkandas hujung minggu lalu apabila pintu sempadan beberapa negara Eropah Timur ditutup.
Beberapa ribu imigran akhirnya berjaya memasuki Austria dengan menaiki bas dan kereta api kelmarin, manakala sekurang-kurang­nya 13 pelarian ditemui lemas di perairan Turki.
Kematian itu merupakan korban terbaharu melibatkan imigran yang mahu membina kehidupan baharu di Eropah. Sebahagian besar mereka berasal dari Asia Barat dan Afrika yang dihimpit konflik.
Rundingan semalam melibatkan menteri luar dari Republik Czech, Hungary, Poland, Slovakia, Romania dan Latvia bersama rakan sejawat mereka dari Luxembourg yang kini memegang jawatan Presiden Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, enam kanak-kanak antara yang maut dan dua lagi hilang di perairan Turki selepas bot getah yang membawa mereka ke Greece berlanggar dengan sebuah kapal, lapor media Turki.
Bot itu dipercayai membawa sekurang-kurangnya 46 imigran ke Pulau Lesbos yang merupakan salah sebuah pulau di Greece yang dibanjiri berpuluh-puluh ribu imigran dari Asia Barat serta Asia Selatan sejak beberapa bulan lalu.
“Keadaan gelap menyebabkan kami hanya dapat melihat sebuah kapal merempuh kami. Kami cuba memberi isyarat menggunakan lampu suluh dan telefon bimbit tetapi mereka gagal melihat kami.
“Ramai imigran tercampak ke laut. Kami kehilangan ramai kanak-kanak. Kejadian berlaku dalam keadaan gelap,” kata seorang mangsa yang terselamat, Haseen.
Lebih 2,800 orang maut daripada kira-kira setengah juta pelarian yang berani mengharungi pe­rjalanan berbahaya merentasi Laut Mediterranean untuk ke Eropah pada tahun ini, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0922&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mPid4ZKw 
Hakcipta terpelihara 

Eropah perlu pikul tanggungjawab

kumpulan pelarian menggunakan laluan perkampungan selepas menyeberangi

Kumpulan pelarian menggunakan laluan perkampungan selepas menyeberangi sempadan Hungary dekat Kampung Zakany di Hungary untuk meneruskan perjalanan menuju ke Jerman, kelmarin. AFP
BERLIN/PARIS 21 Sept. - Jerman dan Perancis menegaskan bahawa Eropah perlu bertanggungjawab menangani krisis pelarian terbesar di benua ini selepas Perang Dunia Kedua, dan tiada negara di benua ini terkecuali daripada memikul tanggungjawab tersebut.
Canselor Jerman, Angela Merkel berkata, negaranya tidak mampu bertindak bersendirian untuk menampung jumlah pelarian yang terlalu ramai disebabkan faktor ekonomi.
Jelasnya, Jerman merupakan negara yang besar dan kuat, tetapi kerajaannya tidak boleh menyelesaikan isu itu bersendirian tanpa bantuan negara lain.
“Eropah perlu bertindak bersama dan mengambil tanggungjawab menyelesaikan krisis tersebut bersama,” katanya.
Presiden Perancis, Francois Hollande turut menyokong kenyataan Merkel itu sambil berkata, tiada negara Eropah boleh dikecualikan dalam membela nasib pelarian, walaupun perbalahan timbul berhubung pembahagian sama rata pencari suaka politik di benua ini.
Menurut Hollande, pembahagian pelarian perlu melibatkan semua negara Eropah, bagi mengelakkan perpaduan yang dibina berdasarkan nilai dan prinsip, berpecah-belah dalam kalangan negara anggota.
“Saya telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri (Perancis), Bernard Cazeneuve untuk mempertahankan pelan kuota pada mesyuarat antara menteri dalam negeri Kesatuan Eropah (EU) yang dijadual diadakan esok.
“Kami akan memastikan mekanisme ini berkesan mengikut syarat yang ditetapkan supaya komitmen dalam kalangan anggota EU berterusan dan mengelakkan negara yang sama menerima pelarian,” katanya.
Mengikut usul yang dicadangkan Perancis, setiap negara Eropah perlu menerima pelan pembahagian semula 160,000 pelarian dan skim secara sukarela itu akan dibentangkan pada sidang kemuncak pemimpin EU yang dijadual berlangsung lusa di Brussels.
Sementara itu, Hungary membuka semula laluan utama di sempadannya dengan Serbia, hari ini selepas penutupan selama seminggu awal minggu lalu menyebabkan beribu-ribu pelarian terkandas dan beralih arah ke Croatia.
Menurut laporan portal ABC, beribu-ribu pelarian yang bergerak menggunakan bas dan kereta api menuju ke sempadan Austria selepas Kementerian Dalam Negeri Hungary dan Serbia bersetuju membuka laluan sempadan Horgos-Roszke 1, yang ditutup sejak Isnin lalu.
Menteri Dalam Negeri Hungary, Sandor Pinter berkata, penutupan sempadan yang dilaksanakan ekoran timbul beberapa masalah kepada kedua-dua negara.
“Hasil kerjasama dengan Serbia, masalah tersebut telah diselesaikan dan persetujuan dicapai untuk membuka semula sempadan,” katanya.
Pinter dan rakan sejawatnya dari Serbia, Nebojsa Stefanovic membenarkan laluan lebuh raya utama yang menghubungkan Budapest dan Belgrade dibuka kepada pelarian yang mahu menuju ke utara Eropah.
Semalam, Budapest turut mengarahkan pihak tentera yang disokong unit berperisai mengawal sempadan bagi mengelakkan kumpulan pelarian yang kebanyakannya dari Syria memasuki negara ini sebagai negara transit sebelum menuju ke negara-negara Eropah yang lebih kaya.
Tempoh penutupan sempadan itu juga mengakibatkan ramai pelarian beralih arah ke Croatia, tetapi negara jiran Hungary itu gagal menampung jumlah pencari suaka politik yang terlalu ramai.
Susulan itu, Croatia bertindak menghantar semula kumpulan pelarian itu ke Hungary atau Slovenia, menyebabkan tercetus perbalahan antara ketiga-tiga negara Eropah tersebut. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/eropah-perlu-pikul-tanggungjawab-1.138909#sthash.CaznsX4K.dpuf

Monday, 21 September 2015

Croatia tutup sempadan


AP - ANGGOTA polis Croatia kelihatan membuat halangan di atas jambatan yang merentasi Sungai Danube bersempadan dengan Serbia semalam.


ZAGREB – Croatia menutup tujuh daripada lapan pintu sempadan dengan Serbia selepas lebih 11,000 imigran mula membanjiri negara itu semalam.
Kumpulan imigran tersebut berjaya mengelak kawalan polis, merentasi kawasan padang dan cuba menyusup masuk ke Slovenia melalui kereta api.
Hanya lintasan sempadan Bajakovo iaitu lebuh raya antara bandar Belgrade, Serbia dan Zagreb dibuka untuk laluan imigran.
Sementara itu, Slovenia yang berjiran turut menutup semua lalu lintas ke laluan utama dari Croatia termasuk menghentikan sebuah kereta api yang membawa kumpulan itu untuk ke se­belah sempadan Slovenia.
Kumpulan imigran berpusu-pusu masuk ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang turut dianggotai Croatia sejak dua hari lalu selepas Hungary bertindak tegas dengan membuat halangan pagar besi dan mengadakan kawalan polis yang melepaskan gas pemedih mata serta meriam air kepada golongan berkenaan.
Di sebuah stesen kereta api di timur sempadan Croatia dan Serbia, beribu-ribu imigran kelihatan terkandas kelmarin menyebabkan mereka terpaksa tidur di kawasan terbuka.
Menteri dalam Negeri Crotia, Ranko Ostojic memberi amaran kelmarin bahawa Croatia akan menutup sempadan negaranya dengan Serbia jika aliran masuk imigran terus berada pada kadar sama dan memberitahu negara itu sudah cukup kapasiti.
Sementara itu, Serbia melahirkan rasa kesal dengan tindakan Croatia yang menutup sempadan antara negara.
“Kita ingin memberi amaran bahawa tindakan Croatia dan negara lain yang menutup jalan antarabangsa adalah suatu yang tidak boleh diterima,” kata menteri yang menguruskan hal ehwal imigran, Aleksandar Vulin. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mMiJKjcv 
Hakcipta terpelihara 

EU buntu krisis imigran


KUMPULAN imigran berhimpun di sempadan Hungary dan Austria kelmarin. - AGENSI


LONDON – Beribu-ribu imigran memasuki Austria kelmarin selepas ditolak oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sekitarnya yang sudah tidak mampu menampung kebanjiran mereka.
Setakat ini, Hungary melaksanakan tindakan paling keras untuk mengekang kebanjiran pendatang asing berkenaan dengan membina pagar besi di sepanjang sempadannya dengan Serbia.
Hungary bagaimanapun mengalah pada Jumaat lalu apabila membenarkan sekurang-kurangnya 11,000 imigran masuk ke negara itu dari Croatia.
Kumpulan pelarian itu kemudian menaiki bas ke pusat-pusat pemprosesan imigran berhampiran sempadan Hungary dan Austria. Pihak berkuasa Austria memberitahu, kira-kira 10,000 imigran memasuki negara itu kelmarin dari Slovenia dan Hungary.
“Saya berasa sangat lega,” kata seorang pelajar dari Syria, Rita Mohager, 20, selepas memasuki Austria dari Slovenia kelmarin.
Rita melakukan perjalanan getir selama empat minggu dari kampung halamannya di Latakia merentasi Turki, Greece, Macedonia, Serbia, Croatia dan Slovenia.
Dalam pada itu, krisis pelarian di Eropah turut mencetuskan pertikaian politik.
Hubungan diplomatik yang baik dalam kalangan negara EU diketepikan apabila negara-negara berkenaan mengambil pendekatan ‘cuci tangan’ dalam menangani kemasukan imigran.
Croatia yang merekodkan ketibaan 20,000 imigran sejak Rabu lalu, kebanyakannya dari Serbia selepas mereka dihalang memasuki Hungary, menyaksikan Perdana Menterinya, Zoran Milanovic mengutuk cubaan Hungary menolak kemasukan pelarian itu.
“Kami akan memaksa Hungary menerima imigran dengan berterusan menghantar mereka,” kata Milanovic pada satu sidang akhbar.
Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto pula membalas: “Daripada menyediakan bantuan dengan jujur untuk imigran, negara itu menghantar mereka terus ke Hungary. Adakah ini yang dinamakan perpaduan Eropah?”
Di Slovenia yang menjadi pusat krisis tersebut, Perdana Menterinya, Miro Cerar membangkitkan kemungkinan membuka satu ‘koridor’ bagi membolehkan imigran bergerak dengan selamat dari rantau Balkan ke negara-negara sebelah Eropah.
“Jika tekanan kemasukan pelarian menjadi terlalu teruk, kami akan membincangkan tentang sebuah koridor di bawah perjanjian dengan negara Eropah,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mMhf5TI7 
Hakcipta terpelihara 

Lebih 7,000 migran diselamatkan di Libya


Lebih 7,000 migran diselamatkan di Libya

21 SEPTEMBER 2015
Lebih 7,000 migran diselamatkan di Libya Seorang pelarian wanita menunggu untuk masuk ke Greece selepas polis Turki menyekat lebuh raya. - Foto AFP

MILAN - ITALI. Hampir 7,400 migran diselamatkan di luar pantai Libya, kelmarin, ketika mereka cuba masuk ke Eropah, dengan seorang wanita ditemui mati.

Menurut pengawal pantai Itali dalam satu kenyataan, pihaknya telah menyelaras 20 operasi menyelamat melibatkan banyak kapal dan seramai 4,343 pelarian telah diselamatkan dari bot serta tongkang.

"Dalam salah sebuah bot, seorang mayat wanita ditemui," katanya tanpa memberitahu punca kematian.

Difahamkan, operasi menyelamat telah dilakukan oleh kapal dari pengawal pantai dan tentera laut Itali, agensi kemanusiaan Doktor Tanpa Sempadan dan Stesen Bantuan Migran Luar Pesisir Malta. - Reuters

Komander militan Barisan Nusra maut


21 SEPTEMBER 2015
Komander militan Barisan Nusra maut

 Militan al-Qaeda dan sekutunya Barisan Nusra memandu di utara bandar Aleppo di Syria untuk menuju ke barisan hadapan. - Foto AFP
DAMSYIK - SYRIA. Komander Barisan Nusra yang dikaitkan dengan kumpulan militan al-Qaeda dilaporkan terbunuh dalam pertempuran sengit dengan pasukan keselamatan Syria dan tentera bersekutu di wilayah barat laut Idlib, di Syria.

Pengarah Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, Abul Hassan al-Tunsi maut di pinggir al-Foua dan kampung Kefraya selepas tentera Syria dengan disokong pejuang pro kerajaan menewaskan kumpulan itu.

"Tunsi dikenal pasti sebagai pemimpin penting Barisan Nusra yang tiba di Syria pada 2012. Dia pernah berkhidmat sebagai orang paling dipercayai oleh bekas pemimpin al-Qaeda, Osama Laden, di Afghanistan dan Iraq," katanya.

Kelmarin, pasukan keselamatan Syria dibantu pejuang pro kerajaan membunuh lebih 100 anggota kumpulan berkenaan dalam satu siri serangan di wilayah tersebut.

Menurut sumber, beberapa militan dari Uzbekistan dan Chechnya adalah antara yang terbunuh dalam pertempuran itu. - Press TV

Bot getah bertembung feri


Ankara: Sekurang-kurangnya 13 migran mati lemas di luar perairan Turki semalam selepas bot getah membawa merkea ke Greece melanggar feri.

Agensi berita Dogan melaporkan, empat kanak-kanak antara 46 migran menaiki bot itu dari pelabuhan Canakkale ke pulau Lesbos di Greece.


Kerakyatan mangsa masih belum dapat disahkan.

Sementara itu, pengawal pantai Greece melaporkan menyelamatkan 22 orang daripada bot yang karam berhampiran Lesbos, dipercayai membabitkan kejadian sama.

Mangsa terselamat dikenali sebagai Haseen memberitahu agensi berita Greece, ANA, bot dinaikinya merempuh kapal berkenaan.

“Keadaan amat gelap namun kami dapat melihat kapal itu semakin menghampiri.

“Kami cuba menyuluh menggunakan lampu suluh dan telefon bimbit tetapi mereka tidak dapat melihat kami,” katanya.

Katanya, dia dan penumpang lain tercampak dalam air dan menghadapi kesukaran disebabkan ombak besar.

“Ada kanak-kanak yang mati. Keadaan terlalu gelap dan kami tidak dapat melihat mereka,” katanya.

Jurucakap pengawal pantai Greece berkata, kumpulan itu ditemui dalam air berhampiran Lesbos oleh helikopter yang dikerahkan agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex.

“Berikutan itu dua kapal kami dihantar untuk menyelamatkan 22 orang termasuk tiga wanita dan seorang budak,” katanya.

Menurut ANA, seorang wanita dan bayinya antara yang berjaya diselamatkan. Lapan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun masih tidak dapat dikesan.

ANA melaporkan kumpulan itu membayar 1,000 euro (RM4,800) seorang kepada penyeludup untuk dibawa ke Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:36 AM

Migran yang berjaya diselamatkan.

4,343 dalam 24 jam


Agensi
Rome: Pengawal pantai Itali menyelamatkan hampir 4,700 migran di laut Mediterranean dalam tempoh 24 jam dalam operasi yang turut dirakam dan disiarkan.

Sebanyak 20 operasi menyelamat dilaksanakan menggunakan pelbagai kapal yang menemui 4,343 migran menaiki bot di perairannya.


Menurut kenyataan pengawal pantai, seorang wanita ditemui mati dalam sebuah bot getah digunakan. Semua migran ditemui kini dibawa ke pelbagai pelabuhan di Itali untuk diuruskan.

Sementara itu, 26 migran dikhuatiri hilang selepas bot getah yang membawa 46 orang karam di pulau Lesbos, Greece.

Kerakyatan mereka tidak diketahui dan setakat ini 20 yang lain sudah ditemui.

Jurucakap pengawal pantai berkata: “Mereka yang terselamat memaklumkan bot itu membawa 46 orang.”

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu menemui wakil pelarian Syria dan anggota pembangkang Syria lewat kelmarin meminta mereka menamatkan mogok duduk di sempadan dengan Greece di Edirne.

Ribuan migran menunggu di luar stadium selepas pasukan keselamatan menghalang mereka memasuki sempadan ke Greece sejak tiga hari lalu.

Ratusan lain masih menunggu di stesen bas di Istanbul dengan harapan dapat ke Edirne seterusnya ke Greece.

Sehubungan itu, tiga wakil menemui Davutoglu di Ankara yang berjanji akan menulis surat secara peribadi kepada pemimpin Eropah bagi pihak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:36 AM

PENGAWAL pantai Itali melakukan operasi menyelamat.

Polis Slovenia bertempur dengan pelarian


Harmica (Croatia): Polis Slovenia melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan beratus-ratus pelarian yang merusuh selepas dihalang masuk ke negara itu kelmarin.

Kejadian berlaku di pintu sempadan di Harmica ketika kumpulan pelarian itu menunggu kebenaran untuk masuk ke Slovenia.

Selepas hampir satu jam ketegangan berlaku, polis terpaksa menyembur gas pemedah mata terhadap kumpulan pelarian yang cuba merempuh masuk ke sempadan.

Kejadian itu tercetus beberapa jam selepas Perdana Menteri Slovenia, Miro Cerar memberitahu, negara itu mungkin membuka satu koridor selamat untuk pelarian menuju ke utara Eropah.

“Sekiranya tekanan mengenai pelarian ini bertambah kuat kami pasti berbincang dengan beberapa negara lain untuk mengwujudkan koridor ini,” katanya.

Pihak berkuasa Slovenia kelmarin merekodkan lebih 1,000 pelarian masuk ke negara itu dan 700 lagi menunggu di sempadan Obrezje di Croatia.

“Kumpulan pelarian datang tidak putus-putus dan sukar untuk kami merekodkan jumlah yang tepat,” kata jurucakap polis Slovenia, Alenka Drenek.

Pada Khamis lalu, pihak berkuasa Slovenia menghentikan semua perkhidmatan kereta api dari Crotia selepas digunakan pendatang untuk masuk ke negara itu.

Krisis pelarian di Eropah semakin memuncak selepas ratusan ribu pelarian masuk ke negara itu sejak beberapa bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:12 AM


SEORANG kanak-kanak memegang bunga ros di hadapan polis Slovenia ketika menunggu untuk masuk ke negara itu kelmarin.

56 askar Syria dibunuh


AFP
Beirut: Kumpulan penentang dan Al-Qaeda di Syria membunuh 56 askar negara itu selepas menawan sebuah pangkalan tentera udara di Abu Duhur di wilayah Idlib, kata Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia semalam.

“Barisan Al-Nusra dan Al-Qaeda melaksanakan hukuman bunuh dengan menembak mati semua askar itu di pangkalan berkenaan,” kata pengarah agensi pemantau itu, Rami Abdel Rahman.

Katanya, pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan pada awal minggu ini, tetapi pihaknya baru mendapat pengesahan semalam.

Barisan Al-Nusra mengetuai beberapa kumpulan penentang yang digelar Tentera Penakluk menawan pangkalan tentera udara itu pada 9 September lalu.

Ketika serangan itu, kumpulan penentang membunuh berpuluh-puluh askar Syria dan sebahagian mereka dijadikan tawanan.

Kumpulan penentang itu kini menawan hampir keseluruhan wilayah Idlib kecuali Fuaa dan Kafraya, dua kampung yang masih dikuasai kerajaan.

Bagaimanapun, Rami berkata, kumpulan itu mula menyerang di kampung berkenaan kelmarin dengan melancarkan sembilan bom kereta.

Serangan itu menyebabkan sekurangnya 17 askar kerajaan terbunuh dan 17 lagi pejuang maut.

Seorang pengebom berani mati berjaya masuk ke Fuaa dan meletupkan dirinya.

Serangan itu menyebabkan tujuh orang awam maut termasuk dua kanak-kanak.

Pertempuran sengit dan serangan mortar di dua kampung berkenaan berterusan sehingga semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:04 AM
DISYORKAN