Thursday, 26 November 2015

Juruterbang Jet Rusia Maut, Rakan Terselamat


Diterbitkan: Khamis, 26 November 2015 10:00 AM
Juruterbang sempat keluar dari pesawat menggunakan payung terjun dan diselamatkan pihak tentera Syria.

MOSCOW: Seorang juruterbang jet Rusia yang ditembak jatuh tentera Turki terbunuh, manakala rakannya yang cedera diselamatkan tentera Syria selepas kedua-duanya berjaya keluar dari pesawat itu.
Maklumat itu disampaikan tentera Rusia yang menyiasat kejadian berkenaan dan disahkan Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu.
Kata Shoigu, juruterbang kedua telah diselamatkan tentera Syria yang menyokong Presiden Bashar al-Assad.
“Operasi menyelamat telah berakhir. Juruterbang kedua dibawa ke pangkalan tentera Rusia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, juruterbang yang terbunuh akan diberi penghormatan dengan dikurniakan anugerah tertinggi.
Selain itu, laman web Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan askar mereka dibunuh apabila sebuah helikopter Mi-8 yang dinaiki dalam operasi mencari dan menyelamat pasangan juruterbang itu ditembak dan terpaksa mendarat cemas.
Menurut Rudskoi, helikopter itu ditembak oleh mortar yang dilancarkan dari wilayah di bawah kawalan pemberontak. 

No comments:

Post a Comment