Thursday, 26 November 2015

Seorang juruterbang Rusia terbunuh


Mayat seorang juruterbang pesawat Sukhoi-24 yang ditembak mati.


MOSCOW – Salah seorang juruterbang pesawat tempur Rusia yang ditembak jatuh oleh tentera Turki kelmarin terbunuh akibat tembakan yang dilepaskan dari darat selepas dia berjaya keluar dari pesawat, kata tentera Rusia memetik maklumat awal.
Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu berkata, juruterbang kedua pula berjaya diselamatkan oleh tentera Syria yang menyokong Presiden Bashar al-Assad.
“Operasi menyelamat telah berakhir. Juruterbang kedua sedang dibawa ke pangkalan kami dalam keadaan baik,” kata Shoigu.
Sementara itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, juruterbang yang terbunuh akan dikurniakan anugerah tertinggi sebagai penghormatan.
Terdahulu jurucakap tentera Rusia, Jeneral Sergei Rudskoi memberitahu, seorang juruterbang yang terlibat ditembak selepas dia jatuh di kawasan kumpulan pemberontak Syria.
“Salah seorang juruterbang tercedera selepas mendarat menggunakan payung terjun, namun dia dibunuh oleh militan di kawasan tersebut,” katanya.
Dalam kenyataan yang di­siarkan laman web Kementerian Pertahanan Rusia, askar mereka dibunuh apabila sebuah helikopter Mi-8 yang dinaiki dalam operasi mencari dan menyelamat pasangan juruterbang itu ditembak dan terpaksa mendarat cemas.
Menurut Rudskoi, helikopter itu ditembak oleh mortar yang dilancarkan dari wilayah di bawah kawalan pemberontak. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3sXo7f7nT 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment