Thursday, 26 November 2015

Ketegangan memuncak


Moscow kerah kapal perang, peluru berpandu ke lokasi jet ditembak jatuh
26 November 2015 1:04 AM



ANKARA 25 Nov. - Sehari selepas Turki menembak jatuh jet pejuang Rusia, Moscow bertindak balas de­ngan mengerahkan dua aset tentera ke Syria, tindakan yang dijangka meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.
Pegawai tentera Rusia, Leftenan Jeneral Sergey Rudskoy berkata, kapal Tentera Laut Rusia kelas Moskva yang dilengkapi sistem pertahanan udara Fort, dikerah ke kawasan perairan wilayah Latakia, lokasi pesawat Su-24 terhempas selepas ditembak jatuh di ruang udara Turki.
“Setiap sasaran yang boleh memberi ancaman kepada aset Rusia akan dimusnahkan,” katanya.
Selain kapal perang, Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu berkata, sistem pertahanan udara paling canggih turut dihantar ke pangkalan udara di Syria bagi mengukuh­kan pertahanan susulan insiden pesawat Su-24 ditembak jatuh oleh pesawat F-16 milik Turki.
“Sistem peluru berpandu antipesawat S-400 akan ditempatkan di Pangkalan Udara Hmeimim,” kata beliau.
Dalam kejadian semalam, seorang juruterbang pesawat terbabit disahkan terbunuh akibat ditembak kumpulan penentang kerajaan Syria dari puak Turksmen, manakala juruterbang kedua diselamatkan oleh tentera Syria.
Situasi diburukkan lagi apabila seorang anggota tentera laut Rusia yang terlibat dalam misi penca­rian juruterbang berkenaan turut ditembak mati oleh kumpulan sama.
Terdahulu, Shoigu mengumumkan penggantungan kerjasama ketenteraan dengan Turki dan kerajaan Moscow melarang rak­yatnya melancong ke negara tersebut berikutan faktor ke­selamatan, manakala Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov turut membatalkan lawatan ke Turki susulan ketega­ngan itu.
Susulan perkembangan tersebut, kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dianggotai Turki dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta Moscow dan Ankara meredakan ketegangan.
Presiden AS, Barack Obama menyifatkan tindakan Turki sebagai satu keperluan bagi mempertahankan kedaulatan wilayah dan ruang udaranya, tetapi memberi amaran kepada kedua-dua negara agar tidak memanjangkan konflik itu.
Senada dengan Obama, ketua NATO, Jens Stoltenberg menggesa Turki dan Rusia agar bertenang bagi menyelesaikan krisis terbabit, namun beliau menyatakan sokongan terhadap tindakan Ankara yang merupakan sekutu kuat pertubuhan tersebut. – AFP/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ketegangan-memuncak-1.162457#sthash.WP7wtDer.dpuf

No comments:

Post a Comment