ISTANBUL - TURKI. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam menegaskan mereka tidak mahu mencetuskan sebarang ketegangan dengan Rusia selepas pesawat Su-24 ditembak jatuh kerana didakwa mencabuli ruang udara negara itu.
"Ankara tidak berniat untuk meningkatkan lagi konflik sedia ada kerana kami hanya mahu melindungi keselamatan rantau ini. Kami tidak akan berdiam diri jika keselamatan sempadan dan kedaulatan negara ini dicabuli," katanya lagi.
Sementara itu, laman pembocor maklumat, WikiLeaks turut mendedahkan kandungan surat yang dihantar oleh Turki kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.
"Pesawat tidak dikenali telah memasuki ruang udara negara terbabit selama 17 saat dan Ankara telah meminta ia mengubah haluannya melalui saluran kecemasan sebelum ditembak jatuh jet pejuang F-16 selepas amaran itu tidak dihiraukan," jelas WikiLeaks.
Menurut Agensi, dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pemberontak Syria mendakwa mereka telah menembak helikopter yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (Sar) dua juruterbang Rusia yang dilaporkan sempat melompat keluar.
Bagaimanapun, kesemua 10 penumpang helikopter tersebut berjaya dipindahkan dengan selamat selepas ia mendarat cemas akibat dibedil dengan peluru berpandu TOW.
Dalam satu kenyataan, pegawai turus Rusia mengesahkan salah seorang daripada juruterbang terbabit terbunuh manakala rakannya berjaya diselamatkan dalam operasi selama 12 jam disertai unit khas.