Ketua kumpulan hak asasi manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, serangan yang dilancarkan oleh Barisan al-Nusra turut mengakibatkan lebih 100 orang tentera ditawan.
“Sekurang-kurangnya 100 anggota tentera dan lebih 80 orang penentang terbunuh dalam bedilan semasa pertempuran tersebut,” jelas Rami.
Katanya, sekurang-kurangnya 120 orang tentera ditahan, manakala 100 orang lagi berjaya melarikan diri dan kini menuju ke bandar Morek, berhampiran bandar Hama.
“Kemaraan Barisan al-Nusra ke pangkalan berkenaan dibantu dengan kehadiran beberapa kumpulan penentang kerajaan yang lain seperti Ahrar al-Sham dan Jund al-Aqsa,” ujarnya.
Kejatuhan pangkalan tentera di Wadi al-Deif dan Hamidiyeh membolehkan kumpulan penentang kerajaan menguasai sebahagian besar wilayah barat laut Syria, tindakan yang pastinya mengejutkan Presiden, Bashar al-Assad.
Idlib merupakan antara wilayah terawal jatuh ke tangan kumpulan penentang kerajaan selepas berlakunya revolusi menentang pentadbiran Assad pada Mac 2011.
Lebih 200,000 penduduk Syria terkorban sejak tercetus penentangan terhadap Assad empat tahun lalu dan separuh penduduk Syria melarikan diri ke negara-negara jiran. – AFP