Saturday 6 December 2014

Nasib pelarian Syria tidak terbela


6 DISEMBER 2014

Nasib pelarian Syria tidak terbela


Nasib pelarian Syria tidak terbela Lebih 1.1 juta pelarian Syria kini mendapatkan perlindungan di kem penempatan sementara di Lubnan. Foto: AFP
LONDON - UNITED KINGDOM. Badan hak asasi manusia, Amnesty International menyelar masyarakat antarabangsa kerana didakwa gagal untuk melindungi jutaan pelarian Syria.

Susulan daripada itu, Ketua Hak Pelarian dan Migran, Sherif Elsayed-Ali menggesa semua pihak supaya menyediakan lebih banyak penempatan semula kepada golongan tersebut yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berlarutan di Syria sejak lebih tiga tahun lalu.

"Kekurangan jumlah penempatan semula yang ditawarkan negara antarabangsa adalah benar-benar mengejutkan. Ketika ini, hampir 380,000 pelarian memerlukan tempat perlindungan, namun nasib kebanyakan daripada mereka masih tidak terbela sehingga kini.

"Kegagalan negara 'kaya' untuk meringankan beban kumpulan pelarian itu telah meletakkan tekanan yang besar kepada negara jiran Syria," jelasnya dipetik Press TV.

Bagi mengatasi masalah itu, Amnesty bertindak mengumumkan pelan penempatan semula melibatkan 5 peratus pelarian Syria menjelang akhir 2015.

Awal minggu lalu, Program Makanan Dunia turut mengumumkan bahawa mereka terpaksa menggantung bantuan makanan kepada 1.7 juta pelarian kerana berdepan krisis pembiayaan berikutan tidak mendapat bantuan daripada masyarakat antarabangsa.

Menurut laporan statistik, kira-kira 3.8 juta pelarian Syria kini mendapatkan perlindungan di Turki, Lubnan, Iraq, Jordan dan Mesir manakala hanya 1.7 peratus daripada mereka ditawarkan tempat perlindungan di negara lain