TEHERAN - IRAN . Iran, Rusia dan Syria sebulat suara meningkatkan kerjasama dalam usaha untuk memerangi kumpulan militan IS di rantau Timur Tengah dalam mesyuarat tiga hala, kelmarin.
"Kami mencapai persetujuan berhubung perkara perlu dilakukan di peringkat serantau," kata Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehqan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat bersama rakan sejawatannya dari Moscow, Sergei Shoigu dan Fahd Jassem al-Freij dari Syria di ibu negara.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan Teheran melihat usaha untuk memerangi keganasan sebagai tanggungjawab negara antarabangsa  selain menuduh Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya, Israel sebagai pencetus keganasan di rantau Arab.
Dalam satu kenyataan lain, Kementerian Pertahanan Rusia memberitahu fokus perbincangan mereka adalah mengenai langkah utama untuk mengukuhkan kerjasama antara ketiga-tiga negara dalam usaha untuk memerangi IS dan Barisan al-Nusra.
Difahamkan, Moscow telah menghantar pasukan khas dan pesawat pejuang untuk menyokong tentera Syria manakala Teheran menempatkan penasihat tentera bagi melatih kumpulan militia prokerajaan. - Press TV