Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu dalam kenyataannya berkata, empat kapal perang Rusia yang ditempatkan di Laut Kaspia, kira-kira 1,448 kilometer dari Syria, melancarkan 26 buah peluru berpandu jenis Sizzler terhadap 11 kedudukan kumpulan militan IS.
Tambah beliau, empat kapal perang terbabit adalah Dagestan, Uglich, Grad Sviyazhsk serta Veliky Ustyug, dan semua serangan berjaya memusnahkan sasaran serta tidak mengenai lokasi penduduk awam.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika tentera Syria yang dibantu kumpulan bersenjata melancarkan serangan darat secara besar-besaran terhadap IS, dengan sokongan serangan udara Rusia bagi menumpaskan kumpulan penentang kerajaan di Ghab Plain, barat negara ini.
Pengarah Pertubuhan Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman dalam laporannya berkata, tentera darat Syria melancarkan serangan meriam dan peluru berpandu darat ke darat ke arah kedudukan kumpulan penentang, manakala pesawat tempur Rusia membantu melancarkan serangan bom dari udara.
Kawasan Ghab Plain dikuasai kumpulan penentang sejak Julai lalu, sekali gus menggugat kedudukan tentera Syria di kawasan pantai yang merupakan lokasi penting bagi kerajaan Presiden Bashar al-Assad mengawal wilayah barat negara ini.
Sementara itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mendakwa lebih 90 peratus serangan udara yang dilancarkan Rusia tidak mensasarkan militan IS atau kumpulan pro Al-Qaeda, sebaliknya menjadikan kumpulan penentang kerajaan sebagai sasaran. – AFP/REUTERS