Rundingan Syria gagal
Rundingan Syria gagal
GENEVA - SWITZERLAND . Rundingan mencapai persetujuan berhubung penetapan sidang damai mengenai Syria antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia semalam gagal selepas berlaku perselisihan pendapat berhubung lokasi penganjuran dan siapa perlu menghadiri pertemuan tersebut.

Selepas perbincangan lima jam anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) itu, Timbalan Menteri Luar Rusia, Gennady Gatilov berkata, tiada kata sepakat dicapai berhubung sama ada Iran yang merupakan sekutu Presiden Syria, Bashar al-Assad dibenarkan menghadiri persidangan itu atau siapa akan mewakili pemberontak Syria.

“Bagi kami, Iran perlu sertai persidangan itu kerana mereka boleh memainkan peranan penting sebagai sebuah negara serantau,” katanya.

Menurutnya dalam laporan Reuters, bagaimanapun Washington menyelar tindakan itu selepas menyifatkan kehadiran Iran hanya akan mengeruhkan lagi keadaan di Syria.

Sementara itu, Duta Syria ke PBB, Bashar al-Jaafari berkata, Britain dan Perancis juga tidak boleh menyertai perbincangan itu kerana mereka bersikap berat sebelah dan tiada pendirian.

“Perancis dan Britain terlibat dalam keganasan di Syria, mereka membantu pengganas dengan membekalkan senjata dan sokongan politik,” katanya.

Dalam satu kenyataan PBB, Setiausaha Negara AS, John Kerry dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov akan bertemu sekali lagi pada minggu hadapan bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung persidangan tersebut.