Laman web Al Jazeera memetik kenyataan Pengarah Eksekutif WFP, Ertharin Cousin sebagai berkata, PBB memerlukan dana sekurang-kurangnya AS$64 juta (RM219 juta) bagi membolehkan bantuan makanan disalurkan kepada pelarian Syria pada bulan ini, yang kini menetap di negara-negara jiran seperti Jordan, Lebanon, Iraq dan Turki.
“Pemberhentian bantuan WFP akan membahayakan kesihatan dan keselamatan pelarian dan perkara tersebut sudah pasti memberi tekanan kepada negara-negara yang menjaga pelarian terbabit.
“Tindakan ini sama sekali akan memberi kesan buruk kepada keluarga yang kini sedang menderita akibat kesusahan yang dialami,” jelas Cousin.
Sejak berlakunya perang saudara di Syria pada 2011, lebih tiga juta penduduk Syria menajdi pelarian dan terpaksa melarikan diri ke negara-negara jiran.
Di bawah program bantuan PBB itu, setiap keluarga pelarian akan diberikan baucer yang membolehkan mereka mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian di kedai-kedai berhampiran.
Setiap bulan PBB menyalurkan bantuan makanan kepada lebih empat juta pelarian yang menetap di Syria dan 1.7 juta lagi di negara-negara jiran.
Koordinator WFP, Muhannad Hadi memberitahu, jutaan pelarian bakal berhadapan masalah besar sepanjang musim sejuk sekiranya badan dunia tersebut gagal menyalurkan bantuan makanan kepada mereka.
“Ini satu malapetaka. Jika kami gagal mengagihkan baucer bantuan makanan mereka sama sekali tidak akan dapat makan. Bantuan pihak antarabanga amat diperlukan dalam mengatasi masalah ini,” ujarnya.