Perkara tersebut disahkan oleh Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu ketika berucap pada satu persidangan di London yang turut menyaksikan beberapa negara berjanji untuk memberikan bantuan berjumlah lebih AS$10 bilion (RM41.4 bilion) kepada penduduk Syria.
“Seramai 60,000 hingga 70,000 rakyat Syria kini bergerak menuju ke Turki, manakala 10,000 lagi sedang menunggu di kawasan sempadan untuk menyelamatkan diri daripada serangan udara di Aleppo,” katanya.
Sebanyak 300,000 lagi penduduk dikhuatiri masih terperangkap di bandar itu selepas laluan utama penghantaran bekalan utama terputus akibat serangan tersebut.
“Keadaan di kawasan luar bandar utara Aleppo kini dilanda bencana. Tentera Syria mengepung dari arah selatan, manakala kumpulan militan IS berada di timur dan pejuang Kurdis pula di bahagian barat.
“Orang awam kini dikepung di tiga sisi dan mempunyai hanya satu jalan untuk ke wilayah Turki,” kata seorang aktivis, Maamoun al-Khateeb.
Sementara itu, agensi berita Syria, SANA melaporkan, tentera Syria dengan bantuan tentera bersekutu turut berjaya merampas semula bandar Atman di wilayah Dara’a di selatan selepas pertempuran sengit dengan kumpulan pengganas Takfiri.
“Tentera Syria mengepung kedudukan pengganas di kawasan al-Mahatta dan al-Manshiyeh di wilayah Dara’a, menyebabkan sejumlah besar pengganas terbunuh dan kenderaan milik mereka musnah,” lapor agensi berita tersebut.
Semalam, tentera Syria berjaya menawan kembali bandar Nubl dan Zahra di barat laut bandar Aleppodan sedang mara ke bandar Hama di utara, mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 orang pengganas Takfiri terbunuh. – AFP