Saturday 30 April 2016

Tujuh hari berdarah


Penduduk menyelamatkan bayi dari bawah runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan di kawasan kejiranan al-Kalasa di Aleppo, kelmarin. - Foto AFP
DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 123 orang awam termasuk 18 kanak-kanak terbunuh dalam serangan berdarah menyasarkan Aleppo yang dikuasai kumpulan pemberontak sejak tujuh hari lalu, menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR)l, semalam.
Jurucakapnya memaklumkan sekurang-kurangnya 71 penduduk termasuk 13 budak pula maut selepas kumpulan pemberontak membedil kawasan dikuasai tentera kerajaan di bandar tersebut dalam tempoh sama.
Sementara itu, tentera Syria memberitahu 'situasi tenang' akan dikuatkuasakan  bermula jam 1 pagi (waktu tempatan) pada hari ini.
"Ia akan berkuat kuasa selama 24 jam di kawasan Ghouta Timur dan di Damsyik manakala untuk tempoh 72 jam di kawasan luar bandar utara Latakia.
"Keputusan ini bertujuan untuk menghalang cubaan mana-mana kumpulan militan dan penyokong mereka yang mahu mengeruhkan lagi konflik dan ketidakstabilan dengan menyasarkan orang awam," menurut kenyataan Perintah Am Tentera Syria.- Reuters

Tentera Syria siap sedia 
gempur Aleppo habis-habisan


Seorang kanak-kanak lelaki Syria yang sedang menangis ditenteramkan
Seorang kanak-kanak lelaki Syria yang sedang menangis ditenteramkan anggota keluarganya selepas ahli keluarganya terbunuh dalam serangan udara di kawasan kediaman al-Soukour di utara bandar Aleppo pada 27 April lalu. AFP
ALEPPO 29 April – Tentera Syria sedang membuat persiapan untuk menggempur bandar Aleppo habis-habisan, bagi menawan semula bandar tersebut daripada kumpulan militan dan penentang, selepas serangan udara di bandar itu sejak minggu lalu menyaksikan 203 orang terbunuh, insiden yang mencabul gencatan senjata yang semakin rapuh di negara ini.
Akhbar pro-kerajaan, Al-Watan melaporkan tentera Syria sudah bersiap sedia menggempur bandar Aleppo dan wilayah berhampiran ketika sumber rapat dengan kerajaan memberitahu bahawa kempen ketenteraan itu pasti akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Sekarang merupakan masa sesuai untuk menggempur Aleppo bagi membebaskan bandar itu (daripada kumpulan bersenjata). Perang itu tidak akan mengambil masa yang lama untuk bermula dan ditamatkan,” lapor Al-Watan.
Menurut sumber kerajaan, tentera Syria sedang membuat persiapan besar-besaran bagi mengusir kumpulan pemberontak keluar dari kawasan bandar itu, sekali gus mewujudkan sebuah zon keselamatan di wilayah itu.
Kumpulan penentang menguasai daerah-daerah di timur bandar Aleppo sejak 2012, manakala tentera kefrajaan menguasai kawasan perumahan di bahagian barat bandar tersebut.
Kawalan ke atas wilayah berhampiran pula terbahagi antara beberapa kumpulan bersenjata seperti kumpulan militan al-Qaeda dan kumpulan militan Negara Islam (IS), militia Kurdis dan beberapa kumpulan penentang lain dan tentera kerajaan.
Jauh di utara Aleppo, kumpulan penentang termasuk kumpulan militan Ahrar al-Sham dan militia Kurdis terlibat dalam pertempuran sengit sejak kelmarin dan semalam mengakibatkan sebanyak 64 orang anggota penentang maut.
Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Staffan de Mistura berkata, gencatan senjata yang dicapai pada 27 Februari lalu hampir musnah, sambil merayu Amerika Syarikat (AS) dan Rusia bertindak segera menangani pencabulan itu.
Sementara itu, Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, bedilan roket dan meriam ke kawasan perumahan yang dikuasai tentera kerajaan, semalam menyaksikan sebanyak 22 orang terbunuh termasuk dua orang kanak-kanak.
Serangan udara di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang mengorbankan sebanyak 123 orang awam termasuk 18 kanak-kanak dalam tempoh tujuh hari lalu.
Dalam tempoh sama, sebanyak 71 orang awam termasuk 13 kanak-kanak terbunuh di kawasan kediaman yang dikuasai tentera kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Aleppo, Valter Gros menyifatkan bandar Aleppo di ambang bencana kemanusiaan.
“Di mana sahaja anda berada, anda akan mendengar bunyi letupan mortar, bom yang dilancarkan dari jet-jet pejuang tentera kerajaan,” katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tentera-syria-siap-sedia-8232-gempur-aleppo-habis-habisan-1.300190#sthash.4CKKJaFq.dpuf