Badan Pemantau Hak Asasi bagi Syria berkata, orang awam itu dilarikan semalam selepas kumpulan berkenaan menawan bandar itu, kelmarin.
“IS menculik sekurang-kurangnya 230 orang termasuk 60 penganut Kristian semasa menawan bandar al-Qaryatain,’’ kata ketua badan itu, Rami Abdel Rahman.
Kebanyakan penduduk Kristian telah meninggalkan wilayah Aleppo di utara Syria bagi mencari perlindungan di al-Qaryatain.
Rami berkata, mangsa yang diculik merupakan mereka yang amat dikehendaki oleh IS kerana bekerjasama dengan tentera kerajaan Syria dan nama mangsa turut berada dalam senarai individu yang dikehendaki kumpulan militan berkenaan.
Tambahnya, keluarga yang cuba melarikan diri atau bersembunyi berjaya dikesan dan dibawa kumpulan militan tersebut.
Al-Qaryatain berada di persimpangan antara wilayah IS di timur wilayah Homs dan sebelah barat di kawasan Qalamun.
Kawasan itu mempunyai penduduk seramai 18,000 orang termasuk pengikut Sunnah dan kira-kira 2,000 penganut Kristian Syria dan Kristian Ortodoks.
Menurut seorang penganut Kristian Syria yang tinggal di Damsyik dan berasal dari al-Qaryatain, jumlah penduduk Kristian di bandar itu telah menurun kepada 300 orang sahaja sejak konflik meletus di negara itu. – AFP