Monday 1 August 2016

Syria gesa PBB ambil tindakan ke atas tentera perikatan


31 Julai 2016 12:43 AM

Gambar yang diedarkan kumpulan hak asasi Save The Children merakamkan

Gambar yang diedarkan kumpulan hak asasi Save The Children merakamkan orang ramai berhimpun di sekitar hospital bersalin yang rosak teruk dalam serangan udara di bandar Kafar Takharim, Idlib pada 28 Julai lalu. AFP
DAMSYIK 30 Julai – Syria menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera ke atas tentera perikatan diketuai Amerika Syarikat (AS) selain menghalang tentera perikatan meneruskan serangan udara di Asia Barat.
Portal Press TV melaporkan, ini berikutan serangan udara tentera pakatan yang meragut nyawa lebih 40 orang awam di bandar Manbij, utara Syria, kelmarin.
Dalam dua surat berasingan yang dihantar kepada Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon dan Presiden Majlis Ke­selamatan PBB, Koro Besso, Kementerian Luar Syria mengecam serangan Amerika yang disifatkan sebagai ‘kejam’ ke atas orang awam, selain menggesa pihak bertanggungjawab didakwa.
Surat itu ditulis selepas jet AS melancarkan serangan di bandar Ghandour iaitu 23 kilometer dari bandar Manbij, wilayah Aleppo.
Sekurang-kurangnya 45 orang awam terbunuh, manakala 50 orang lagi cedera dalam serangan tersebut.
Kementerian Luar Syria turut menyamakan serangan itu de­ngan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan kumpulan-kumpulan pengganas di Syria, dengan menyifatkan kedua-dua pihak cuba memburukkan lagi keadaan di negara ini.
Syria turut menggesa Majlis Keselamatan PBB menguatkuasakan resolusi antikeganasan terhadap negara yang menyokong keganasan.
Syria mendakwa mereka tidak akan berhenti memerangi keganasan ketika meneruskan usaha penyelesaian politik bagi menamatkan konflik di Syria tanpa campur tangan asing.
Serangan itu berlaku selepas sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan cedera dalam serang­an udara tentera AS di Kampung al-Nawajah, timbur bandar Manbij pada 23 Julai lalu.
Setakat ini 120 dilaporkan terbunuh sejak AS melancarkan serangan di Manbij beberapa hari lalu bagi memburu pengganas Daesh.
Dalam perkembangan ber­asingan, sekurang-kurangnya dua maut dan beberapa orang termasuk bayi cedera dalam serangan udara di sebuah hospital bersalin di wilayah Idlib.
Badan pemantau hak asasi Sy­ria berkata, hospital yang terletak di bandar Kafar Takharim rosak teruk dan hampir sukar berope­rasi, lapor portal Al-Jazeera.
Menurut pertubuhan Save the Children yang membantu hospital itu, serangan tersebut mengenai bahagian hadapan bangunan hospital ketika dua pembedahan sedang dijalankan, manakala seorang wanita berada di bilik bersalin.
“Beberapa orang bayi turut cedera apabila inkubator yang digunakan mereka jatuh ke lantai, manakala seorang ibu yang sedang mengandung enam bulan cedera teruk di kaki,” tambh ke­nyataan pertubuhan itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syria-gesa-pbb-ambil-tindakan-ke-atas-tentera-perikatan-1.364171#sthash.8abbIMpm.dpuf

Rusia umum empat 'koridor' baharu di Aleppo


31 Julai 2016 2:00 AM

MOSCOW 31 Julai - Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan empat lagi 'koridor kemanusiaan' akan dibuka dari bandar dikepung Aleppo selain menambah seramai 169 orang penduduk awam telah berjaya keluar dari situ.
“Empat koridor kemanusiaan akan dibuka sebagai tambahan kepada koridor terawal yang disediakan oleh kami bagi membolehkan rakyat Syria keluar dari Aleppo,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut.
Tambah kenyataan tersebut, tiga koridor telah mula dibuka di kawasan berkenaan.
Laluan itu yang sebahagiannya ditunjukkan dalam siaran televisyen Syria merupakan pergerakan pertama bagi penduduk dari daerah dikepung berkenaan selepas Moscow mengumumkan mereka akan membuka koridor tersebut. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rusia-umum-empat-koridor-baharu-di-aleppo-1.364268#sthash.6mRcbx1n.dpuf

48 korban bom trak



ORANG ramai berusaha membawa turun mayat seorang mangsa dari sebuah bangunan yang musnah dalam letupan bom trak di Qamishli, Syria, semalam. - EPA

Agensi
Beirut: Hampir 50 orang terbunuh apabila sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan diletupkan di bandar Qamilishi, Syria, yang berhampiran sempadan Turki, semalam.

Kumpulan pengganas Daish mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian berdekatan ibu pejabat pasukan keselamatan Kurdis itu.

Ia serangan terburuk seumpamanya di bandar berkenaan sejak beberapa tahun lalu, kata kumpulan Pemerhati bagi Hak Asasi Manusia.

Menurut kumpulan berkenaan, sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh. Bagaimanapun, angka kematian dijangka meningkat kerana sejumlah mangsa cedera parah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, Daish berkata, serangan itu menyasarkan pasukan militan Kurdis, YPG, yang menguasai sejumlah besar kawasan di wilayah Hasaka, tempat bandar Qamishli.

Letupan itu sungguh kuat sehingga ia menyebabkan tingkap bangunan di bandar Nusaybin, Turki, yang terletak di seberang sempadan, pecah.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 10:40 AM

Syria tawar ampunkan pemberontak




Kemusnahan teruk bandar raya Alellpo di utara Damsyik menyebabkan ia tidak lagi sesuai didiami dengan kemudahan asas musnah sepenuhnya. - Foto REUTERS
AFP
Damsyik: Presiden Syria, Bashar al-Assad, hari ini menawarkan pengampunan kepada pemberontak yang menentang tenteranya jika mereka menyerah diri.

Agensi berita rasmi Syria, SANA, memetik Bashar sebagai berkata: “Setiap orang yang mengangkat senjata dan diburu undang-undang akan dikecualikan daripada sebarang hukuman jika mereka menyerah diri dan meletak senjata.”

Pengisytiharan pengampunan oleh Bashar yang menawarkan tempoh tiga bulan untuk menyerah diri itu juga membabitkan pemberontak yang membebaskan tebusan walaupin seorang tebusan.

Tawaran pengampunan itu dibuat ketika bandar raya Aleppo sedang dikepung oleh tentera pro-kerajaan menyebabkan lebih 200,000 penduduk kini terperangkap.

Sekutu Bashar, Russia melancarkan operasi serangan besar-besaran mulai hari ini dengan tentera kerajaan untuk membuka laluan bagi membolehkan orang awam melepaskan diri dari bandar raya itu.

Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu, berkata tiga laluan dibuka bagi membolehkan ‘orang awam yang dijadikan tebusan oleh pengganas’ melarikan diri serta pemberontak keluar menyerah diri bersama senjata masing-masing.

Bashar sudah beberapa kali menawarkan pengampunan sejak beberapa tahun lalu, termasuk pada Julai 2015.

Lebih 280,000 orang sudah terbunuh sejak perang tercetus pada Mac 2011 manakala jutaan lagi menjadi pelarian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 6:01 PM