Menurut laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, serangan itu dilakukan oleh sebuah pesawat pengebom yang tidak dikenali ke atas beberapa kawasan di wilayah Deir al-Zour.
Kira-kira 30 orang maut dalam serangan di kawasan Tabiyet Jazeera, manakala 10 orang lagi terkorban di daerah al-Bouleil yang terletak di pinggir wilayah Deir al-Zour, menurut laporan itu.
Kedua-dua kawasan itu yang dikuasai militan IS, menjadi sasaran tentera Syria dan Rusia sejak 16 Januari lalu dan angka kematian dalam serangan tersebut dilaporkan meningkat sebanyak 91 orang, 25 daripada mereka merupakan kanak-kanak.
Sementara itu, di bandar al-Raqqa yang merupakan kubu kuat militan IS, seramai 27 orang disahkan maut dalam serangan udara oleh pesawat yang tidak dikenali.
Syria menjadi medan pengeboman udara oleh tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat sejak tahun lalu, selain Rusia turut menjalankan operasi sama bagi menghapuskan ancaman militan IS di negara ini dan Iraq.
Namun, kedua-dua operasi terbabit tidak diselaraskan de­ngan baik sehingga menyebabkan pasukan pemantau sukar me­ngenal pasti pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan udara yang mengorbankan ramai nyawa orang awam.  DPA