Thursday 20 March 2014

Pendatang Syria, Eritrea antara diselamatkan

Pendatang Syria, Eritrea antara diselamatkan
 Ratusan pendatang asing diselamatkan tentera laut ketika berada di perairan di luar Itali.
20 Mac 2014
 ROM - Seramai 62 kanak-kanak antara 600 pendatang asing diselamatkan tentera laut Itali ketika mereka cuba melintasi Lautan Mediterranean dengan menaiki dua bot.

Menurut tentera, kapal frigat Grecale dapat menyelamatkan 323 pelarian Syria dan Palestin serta 273 lagi pendatang dari Eritrea, Isnin lalu.

"Kesemua mereka termasuk 103 wanita ditemui pesawat rondaan di perairan luar Itali," kata jurucakap tentera kepada AFP.

Difahamkan, langkah di bawah operasi Mare Nostrum itu dibuat selepas lebih 400 pendatang asing dari Eritrea dan Syria maut dalam dua tragedi bot karam Oktober lalu.

Sehingga kini, sebanyak 76 operasi dilancarkan selepas ribuan pendatang asing dilaporkan mendarat di pantai Itali setiap bulan.

Susulan daripada itu, seramai 10,134 pendatang asing termasuk 1,019 kanak-kanak diselamatkan tentera sejak beberapa bulan lalu.

Sebuah badan amal menganggarkan antara 17,000 dan 20,000 pendatang asing menemui ajal di laut ketika cuba untuk memasuki Eropah sejak lebih 20 tahun lalu.

26 maut tentera bedil tiga bandar di Syria


SEORANG penduduk Syria, mendukung seorang kanak-kanak lelaki yang tidak sedarkan diri selepas dikeluarkan dari runtuhan bangunan dalam satu serangan dilancarkan tentera Syria di Aleppo, kelmarin. - AFP
DAMSYIK 19 Mac - Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak dan 25 lagi cedera apabila tentera Syria mengebom bandar Aleppo, Homs dan Damsyik, semalam.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, helikopter tentera Syria menggugurkan tong-tong berisi bom di Aleppo ketika tentera kerajaan memerangi kumpulan Barisan Al-Nusra dan militan al-Qaeda.
Jelas pertubuhan itu, seramai 11 orang maut termasuk dua kanak-kanak lelaki dalam serangan tersebut.
Agensi berita tempatan, SANA melaporkan, lima orang terbunuh dalam serangan bom mortar yang dilancarkan oleh kumpulan penentang di Damsyik manakala lima lagi maut di bandar Jaramana, tenggara bandar yang sama.
Menurut laporan itu, lima lagi mangsa terbunuh dan 25 yang lain cedera dalam serangan mortar di Mahata dan Inshaat, wilayah Homs.
Sementara itu, tentera Israel menggempur kedudukan tentera Syria hari ini sebagai membalas serangan bom tepi jalan yang mengakibatkan empat askar rejim tersebut cedera di Bukit Golan, sehari sebelum itu.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata, pasukan tentera udara mengerahkan pesawat untuk melancarkan serangan tersebut ke atas sebuah ibu pejabat tentera Syria, sebuah pusat latihan dan pelancar artileri.
Jelasnya, serangan waktu malam itu mensasarkan kemudahan tentera Syria yang terdapat di Bukit Golan.
Bagaimanapun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam serangan terbabit. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140320/lu_04/26-maut-tentera-bedil-tiga-bandar-di-Syria#ixzz2wRo5AUkb
© Utusan Melayu (M) Bhd