Sunday 24 April 2016

Serangan udara ragut 19 nyawa


Beirut: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam serangan udara di bandar Aleppo dan Idlib, semalam.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, serangan yang dilancarkan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu menyasarkan kawasan kejiranan Bustan al-Qasr dan beberapa kawasan lain di bandar Aleppo yang dikuasai penentang.

Aleppo, bandar kedua terbesar Syria dan bekas pusat perdagangan menyaksikan pertempuran sengit sejak gencatan senjata 27 Februari.

Tentera Bashar berusaha mara ke kawasan yang dikuasai penentang dari semua arah, kecuali dari barat laut bandar itu.

SOHR menyifatkan serangan udara semalam sebagai yang paling sengit sejak gencatan senjata bermula.

Tentera Syria juga menyasarkan serangan mereka di Idlib. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 7:34 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/132772#sthash.VsIE9x4p.dpuf

Keluarga Terkejut, Abu Kedah Terbunuh Di Syria


Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 3:26 PM

PENDANG: Keluarga Abd Ghani Yaacob atau dikenali dengan nama Abu Kedah, anggota kumpulan militan Daesh yang dilapor terbunuh dalam pertempuran di wilayah Al Khir, Syria pada 17 April lepas terkejut dengan kematiannya.
Abangnya yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 33, berkata beliau terkejut apabila pihak polis datang berjumpanya tengah hari semalam untuk memaklumkan perkara tersebut.
Beliau berkata, perkara itu sukar dipercayai kerana adiknya yang berusia 31 tahun itu tidak pernah menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulan militan di Syria.
"Pada mulanya saya tak percaya, tapi selepas lihat gambarnya baru saya percaya. Semua ahli keluarga kami dah tahu mengenai kejadian itu kecuali ibu kami," katanya kepada pemberita di Kampung Padang Pusing di sini.
Katanya kali terakhir beliau berjumpa adiknya pada Disember tahun lepas dan mendapati Abd Ghani turut mengalami beberapa perubahan seperti sering solat berjemaah di surau dan masjid.
Mat berkata adik kelimanya dari 11 beradik itu tidak banyak berkongsi cerita mengenai hidupnya sebelum pulang semula ke Selangor untuk berkerja awal Januari lepas.
"Kalau dia balik ke sini dengan bas, dia akan pinjam motosikal untuk berjumpa dengan kawan-kawannya. Dia tidak banyak bersembang dengan ahli keluarga lain," katanya.
Abd Ghani yang menggunakan nama Abu Bashir Al Malazy atau Abu Kedah dalam kumpulan militan itu terbunuh akibat terkena tembakan di dada dalam pertempuran dengan tentera Bashar Assad.
Ini menjadikan 19 rakyat negara ini yang menyertai kumpulan militan Daesh  terbunuh di Syria, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam satu kenyataan beliau berkata Abd Ghani mempunyai jaringan dengan beberapa anggota militan Daesh dari Kedah seperti Ismail Ishak yang dilaporkan terbunuh pada September tahun lalu.
Berdasarkan maklumat, Abd Ghani dikatakan tertarik dengan pergolakan di Syria menerusi Facebook dan tertarik dengan fahaman Salafi Jihadi oleh kumpulan militan berkenaan pada Mei 2013.
Abd Ghani dikatakan telah menceraikan isterinya, lima hari sebelum beliau pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan militan tersebut.-- Bernama

46 Rakyat Malaysia Sertai Daesh Masih Di Syria - PDRM


Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 10:14 PM
Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR: Seramai 46 orang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Daesh dikesan masih berada di Syria, kata Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Khamis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka adalah di antara 73 orang rakyat negara ini yang dikenal pasti menyertai kumpulan militan itu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 19 orang didapati terbunuh di Syria atau Iraq manakala lapan orang lagi sudah pulang ke tanah air.

"Risikan terkini yang diterima (PDRM) mendedahkan bahawa seorang lagi anggota Daesh warganegara Malaysia telah terbunuh dipercayai dalam serangan di Wilayah Al Khair di Syria pada 17 April lepas," katanya kepada Bernama.

Menurutnya lelaki itu, Abd Ghani Yaakob, 31, dari Pendang, Kedah, yang turut dikenali sebagai Abu Bashir Al Malazy@Abu Kedah, ke Syria melalui LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Disember lepas untuk menyertai kumpulan Daesh.

"Dia merupakan anak kelima daripada enam beradik dan membawa diri ke Kuala Lumpur. Dia mendapat bantuan daripada Mohamad Wanndy Mohamed Jedi atau Abu Hamzah Al-Fateh sebagai orang perantaraan," katanya.

Ayob berkata duda itu adalah di antara 19 orang yang terbunuh di Syria atau Iraq dengan tujuh daripada mereka mati akibat menjadi pengebom bunuh diri manakala 12 lagi maut semasa pertempuran dengan tentera Syria.

Beliau juga memberitahu bahawa setakat ini, seramai 10 individu telah dituduh di mahkamah termasuk enam daripadanya disiasat mengikut Seksyen130JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ayob meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai rancangan aktiviti keganasan oleh mana-mana kumpulan yang terarah kepada kegiatan Daesh.

PDRM juga menjalinkan kerjasama dengan agensi tempatan dan perisikan asing dalam perkongsian maklumat keselamatan bagi mengesan individu yang terlibat dengan penyebaran fahaman militan dan pengrekrutan militan di Malaysia, katanya.-Bernama