Thursday 11 December 2014

Tiga wartawan televisyen terbunuh di Syria


BEIRUT – Tiga wartawan di sebuah stesen televisyen di Syria maut selepas kenderaan mereka terkena sebuah peluru berpandu di barat daya negara itu, kata Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) kelmarin.
CPJ berkata, tiga wartawan dari stesen televisyen Orient News itu terbunuh pada Isnin lalu ketika membuat liputan di bandar Sheikh Meskin, dalam wilayah Deraa yang menjadi lokasi pertempuran antara tentera kerajaan dengan kumpulan pemberontak.
Menurut stesen televisyen berkenaan, mangsa yang maut ialah dua wartawan, Rami Asmi dan Yousef El-Dous serta seorang jurukamera, Salem Khalil.
Stesen televisyen berkenaan menuduh tentera Syria sengaja membedil kenderaan tersebut tetapi CPJ tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.
Pihak tentera dan kerajaan Syria juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.
Sehingga kini, lebih 70 wartawan terbunuh sepanjang membuat liputan mengenai konflik di Syria yang kini masuk tahun keempat.
Majoriti wartawan yang maut di Syria merupakan warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing termasuk beberapa pemberitan yang dibunuh oleh anggota militan Islamic State (IS). – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3LXudVi3i 
Hakcipta terpelihara