Sunday 25 October 2015

Pengawal peribadi Mahmoud Ahmadinejad terbunuh di Aleppo, Syria


AHAD, 25 OKT

PENGAWAL peribadi bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, Abdollah Baqeri Niyaraki (belakang) terbunuh di Aleppo, utara Syria. - Foto AFP
ALEPPO, Syria: Seorang pengawal peribadi bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad terbunuh di Aleppo, utara Syria, lapor media Tehran.
Abdollah Baqeri Niyaraki juga adalah bekas anggota Pengawal Revolusi Iran. Beliau berada di Syria dan berkhidmat sebagai penasihat tentera negara bergolak itu, lapor agensi berita Fars.
Berita kematiannya muncul selepas dua lagi anggota tentera Iran berpangkat tinggi, yang juga bertindak sebagai penasihat di selatan negara ini terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak.
Kemunculan penasihat tentera Iran merumitkan lagi geopolitik dalam peperangan di Syria, yang menyaksikan peningkatan serangan udara oleh Russia termasuk di sekitar bandar Aleppo, bandar terbesar di Syria.
Duta Syria ke Russia, Riad Haddad, yang dipetik oleh media Russia sebagai berkata, akan berlaku pertempuran sengit dalam masa terdekat apabila tentera Syria bersiap sedia untuk merebut kembali bandar itu.
Beliau juga mengakui tentera Syria membuat serangan udara ke kawasan itu.
"Tentera kita yang dibantu pesawat Russia sedang mengelilingi bandar dan bersedia untuk merampas kawasan berkenaan," kata Haddad dalam satu temu bual dengan laman berita Gazeta.ru, hari ini. - CNN

Bayi bertarung di lautan berjam lamanya


Bayi bertarung di lautan berjam lamanya

24 OKTOBER 2015
Bayi bertarung di lautan berjam lamanya Bayi yang diselamatkan nelayan dalam keadaan terapung.

TURKI - Seorang bayi yang terapung selama berjam-jam yang hanya bergantung pada jaket keselamatan di Laut Aegean berjaya diselamatkan nelayan Turki yang kebetulan terlihat kelibatnya permukaan air.

Dua nelayan itu juga melihat beberapa pelarian lain yang terapung selepas menyelamatkan bayi yang dikenal pasti sebagai Muhammad Hasan.

Pada awalnya kapten bot, Recep Evran berkata, mereka menyangka Hasan tidak lagi bernyawa namun tiba-tiba bayi berusia 18 bulan itu mengeluarkan bunyi.

“Dia sangat pucat. Kaki dan tangan semua sudah bertukar menjadi putih. Kami tutup dia dengan selimut dan cuba menyelamatkannya,” katanya memetik laporan Hurriyet Daily News.

Hasan kini dikatakan dalam keadaan stabil dan bersama ibunya di hospital.

Bot dinaiki Hasan bersama pelarian lain yang menuju ke Greece dilaporkan terbalik Rabu lalu.

Lokasi Hasan diselamatkan itu tidak jauh dari pantai di mana jasad si kecil, Aylan Kurdi, 3 ditemui bulan lalu.

Aylan dan abangnya, Galip Kurdi, 5 adalah antara pelarian yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki.

Sembilan maut serangan mortar


Sebahagian penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam protes terhadap

Sebahagian penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam protes terhadap usul pembentukan kerajaan perpaduan oleh PBB di Benghazi, Libya, kelmarin. REUTERS
BENGHAZI 24 Okt. – Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan lebih 30 cedera di Benghazi semalam selepas serangan mortar mengenai kumpulan penunjuk perasaan yang membantah cadangan pembentukan kerajaan perpaduan bagi menamatkan krisis politik di negara ini.
Dengan membawa sepanduk dan pelekat, lebih 2,000 orang mengambil bahagian dalam demonstrasi itu yang diadakan di Dataran al-Keesh bagi membantah cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba, lebih tujuh mortar dilancarkan dari kawasan yang dikuasai pergerakan Islam dan mengenai kumpulan penunjuk perasaan itu.
Sepanjang tahun lalu, Benghazi menyaksikan pertempuran sengit antara tentera dan pelbagai kumpulan termasuk kumpulan militan Negara Islam.
Serangan roket secara semberono ada kalanya mengenai kediaman awam di bandar kedua terbesar di Libya itu yang terpisah oleh kawasan yang dikuasai oleh penentang tentera.
Bagaimanapun di sebahagian kawasan perumahan lain, kehidupan rakyat berjalan seperti biasa, manakala pertempuran berkurangan di kawasan runtuhan akibat perang.
PBB menyerahkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara dua kuasa politik utama Libya bagi menamatkan kekacauan di negara ini, namun usaha untuk mencapai perjanjian tergendala ketika kedua-dua pihak mendapat tentangan daripada sekutu mereka. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/sembilan-maut-serangan-mortar-1.150169#sthash.8EeWSqme.dpuf

Persetujuan tentang nasib Bashar gagal ditentukan


Bashar al-Assad

Bashar al-Assad
VIENNA 24 Okt. – Arab Saudi, Turki, Rusia, dan Amerika Syarikat (AS) semalam gagal mencapai persetujuan berhubung nasib politik Pre­siden, Bashar al-Assad semasa satu pertemuan yang diadakan bagi meneroka kemungkinan konflik selama lima tahun di Syria dapat dihentikan.
Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir mengesahkan empat negara itu yang diwakili oleh diplomat tertinggi negara masing-masing akan meneruskan perbincangan mengenai Syria, menurut laporan yang memetik agensi berita Rusia.
Setiausaha Negara AS, John Kerry, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, Menteri Luar Turki, Feridun Sinirlioglu dan Adel terlibat dalam perbincangan yang banyak membincangkan nasib Bashar, lapor portal Al Jazeera.
Ketika Moscow percaya Bashar perlu kekal dalam sebahagian daripada proses politik berkenaan, pihak lain beranggapan pemimpin Syria itu perlu berundur bagi menamatkan perang yang setakat ini meragut lebih 250,000 nyawa.
Moscow pada masa sama mengumumkan penglibatan Jordan dalam menyelaras operasi serangan udara mereka di Syria.
Kerry dalam pada itu berkata, beliau berharap akan dapat mengadakan satu lagi perbincangan yang lebih meluas mengenai Syria seawal-awalnya 30 Oktober ini.
“Apa yang telah kita persetujui hari ini adalah untuk berunding dengan semua pihak terlibat dan berhasrat untuk bersidang semula seawal Jumaat depan bagi mencari titik persamaan dalam meneruskan proses politik yang bermakna,’’ kata Kerry.
Lavrov sementara itu mahu kumpulan rundingan tersebut turut melibatkan pemain serantau yang penting seperti Iran yang turut menyokong Bashar.
Bagaimanapun, Kerry buat masa ini menolak penglibatan Teheran dalam rundingan itu.
“Buat masa ini, Iran tidak terlibat dan akan tiba masa mungkin kita bercakap dengan Iran, namun bukan sekarang,’’ tegas Kerry. – AGENSI/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/persetujuan-tentang-nasib-bashar-gagal-ditentukan-1.150171#sthash.KMfsuYJn.dpuf