Wednesday 1 July 2015

Sofie Sabar Tunggu Kepulangan Adik Dari Syria


Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2015 1:11 PM
Anggota-anggota wanita kumpulan IS bersama senjata masing-masing. The Straits Times/Asia News Network

KUALA LUMPUR: Setiap malam, seorang suri rumah,  Sofie berdepan dengan perasaan berdebar apabila menonton berita di televisyen dengan harapan tidak ada laporan mengenai rakan senegaranya terbunuh di Syria dan Iraq.

Malah dia lebih tertekan denga laporan polis yang memerangi keganasan di Malaysia muncul di skrin dengan berita penangkapan atau kematian rakyat negara ini yang menyertai Negara Islam (IS).

Ibu berusia 31 tahun yang mempunyai dua orang anak itu ada alasan tersendiri mengapa dia berasa bimbang.

Ini kerana adik tunggal perempuannya, Yisophin,28, meninggalkan rumah tanpa berita sejak September tahun lalu untuk menyertai kumpulan pengganas.

"Dia hilang sejak September lalu. Selepas dua atau tiga hari, dia menghantar gambarnya di Raqqa, Syria di WhatsApp saya," jelas Sofie yang enggan mendedahkan nama sebenarnya kepada The Straits Times.

"Dia hanya beritahu mahu melakukan jihad di Syria."

Raqqa merupakan pusat pemerintahan IS dan lokasi menjalankan segala operasi di Syria dan Iraq.

"Saya menonton berita setiap malam, dan berharap tidak ada laporan rakyat Malaysia yang terbunuh di Syria," jelasnya.

Yusophin antara salah seorang daripada 66 rakyat Malaysia serta bersama-sama beratus-ratus wanita dari Barat, termasuk dari Eropah, Amerika Syarikat dan Australia memilih untuk menyertai IS di Syria dan Iraq.

Sofie percaya bahawa adiknya itu mahu meninggalkan Syria sebaik sahaja tiba di sana tetapi amat sukar berbuat demikian kerana seperti yang diketahui hukuman kematian bakal diterima mereka.

"Dia menangis ketika kami bercakap. Kami berbual lebih kurang 30 minit malah memberitahu sudah berkahwin dengan rakyat Malaysia bernama Ashraf yang tiba selepas dia sampai di sana.

"Suaranya seperti menyesal, tetapi sangat sukar untuk melepaskan diri. Dia memberitahu bahawa di sana terlalu banyak tempat pemeriksaan," kata Sofie.

Disember lalu, IS telah memenggal kepala 120 anggota kumpulan sendiri, rata-rata mereka yang cuba kembali ke negara asal, jelas pemerhati Hak Asasi Manusia Britain yang berpengkalan di Syria.

Menurut Sofie, Ashraf berasal dari Shah Alam dan memiliki perniagaan perkhidmatan pembersihan, bertemu Yusophin di Malaysia melalui seorang kawan.

"Sekarang dia telah berkahwin dan mengandung, dia (Yusophin) berazam untuk terus berada di  Syria kerana dia mempunyai seseorang bersamanya," kata Sofie.

Yusophin memberitahunya dia hidup di kem dan mempunyai ramai kawan baru di Raqqa di kalangan orang Asia yang tiba di kem itu setiap hari yang  dianggarkan beratus-ratus termasuk  rekrut baharu dan juga penduduk yang berpindah ke kem itu.

"Yusophin mendedahkan orang Asia kebanyakannya dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina. Terdapat satu atau dua orang dari Singapura," kata Sofie.
Mengimbas kembali perubahan diri adiknya itu, Sofie berkata, Yusophin adalah seorang yang 'happy go lucky' dan tidak memakai hijab.
"Dia bekerja sebagai 'supervisor' de sebuah pasaraya popular di sini. Namun semuanya berubah selepas  dia menyertai kelas agama di Damansara Damai. Selepas itu dia mula berhijab, dan lama-kelamaan dia tidak lagi memakai seluar jeans serta memilih pakaian yang longgar.
"Saya ada menegurnya agar memakai pakaian bewarna warni dan tidak hanya bewarna hitam sahaja, namun saya dimarah malah dikatakan cuba mengawalnya. Selepas itu kelakuannya jauh berubah dan mula melepak bersama dengan kawan-kawan yang dikenali ketika mengikuti kelas agama.
"Selepas itu, dia membuat pinjaman peribadi RM20,000 untuk membiayai lawatannya ke Syria. Dia terbang ke Istanbul di Turki dan melalui jalan darat ke bandar Gaziantep, berhampiran dengan sempadan Syria," jelasnya.

Sofie berkata, dia tidak akan berputus asa berharap agar adiknya akan kembali satu hari nanti.

"Saya tahu jika dia kembali, pastinya dia akan dipenjara, tetapi itu lebih baik kerana dekat dengannya di negara sendiri," katanya.