Saturday 21 July 2012

Assad masih di Damsyik

Assad masih di DamsyikPertemuan Assad (kiri) bersama Jeneral al-Freij selepas insiden pembunuhan tiga pemimpin kanan kelmarin.

DAMSYIK - Khabar angin yang mendakwa Presiden Syria, Bashar al-Assad melarikan diri, akhirnya terjawab apabila stesen televisyen tempatan, kelmarin menyiarkan kemunculan beliau semasa upacara mengangkat sumpah Menteri Pertahanan baru, Jeneral Fahad Jassim al-Freij.

Difahamkan, rakaman video tanpa tarikh tersebut dipaparkan bertujuan untuk menamatkan spekulasi berhubung 'kehilangan' Assad selepas insiden serangan pengemboman berani mati yang mengakibatkan kematian abang iparnya, Aseef Shawkat dan dua pemimpin kanan beliau.

Sebelum ini, pembangkang mendakwa Assad berada di bandar pelabuhan Latakia yang majoritinya dihuni pengikut puak Alawite.

Dalam perkembangan lain, Asma, isteri kepada Assad dikhabarkan telah melarikan diri ke Rusia.

Sementara itu, sebuah laman sesawang Perancis bertindak memaparkan sebahagian daripada 2.5 juta kandungan e-mel yang didedahkan oleh laman pembocor maklumat, WikiLeaks pada 5 Julai lalu.

Ratusan e-mel yang dihantar oleh Assad beberapa bulan sebelum\ konflik di negara tersebut tercetus didakwa mengandungi mesej gurauan berunsur seksis (sikap merendahkan kaum wanita).

Pendedahan 538 emel memalukan itu dikatakan turut menunjukkan sifat kebudak-budakan beliau termasuk kebencian terhadap golongan wanita.

Kebanyakan emel 'gurauan' tersebut yang menyentuh isu semasa dan pemimpin dunia telah dihantar kepada beberapa teman rapat serta bapa mertuanya.

Awal bulan ini, WikiLeaks mendedahkan 2,434,899 emel pegawai kerajaan termasuk kementerian di Syria yang bertarikh dari Ogos 2006 sehingga Mac lalu.