Pihak berkuasa Kalymnos mengesahkan telah menjumpai 19 mayat pelarian termasuk enam wanita, selain menemukan 10 mayat pelarian kanak-kanak.
Kejadian terbaharu itu menjadikan jumlah pelarian yang terkorban pada bulan ini mencecah 36 orang.
Data daripada Pejabat Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) menunjukkan lebih 3,200 pelarian terkorban ketika cuba menyeberangi perairan Greece dan kebanyakan daripada mereka adalah kanak-kanak, lapor AFP.
Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Save the Children berkata, lebih 70 pelarian kanak-kanak dipercayai maut sehingga kini ketika cuba menyeberangi sempadan antara Greece dan Turki, lokasi sama penemuan mayat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Alyan Kurdi yang terdampar di pantai Turki pada September lalu yang menggemparkan dunia.
Al Jazeera melaporkan, Save the Children menjangkakan angka tersebut akan terus meningkat berikutan cuaca sejuk serta arus laut yang deras.
Seorang anggota Save the Children, Kate O’Sullivan berkata, pihaknya bimbang sekiranya tidak ada sebarang tindakan diambil bagi menangani krisis itu, lebih ramai pelarian kanak-kanak akan menjadi korban.
“Walaupun jarak antara Turki dan Greece dekat, namun air laut yang deras menyebabkan keadaan berbahaya. Kita mungkin akan terus menyaksikan lebih banyak kematian pelarian dalam masa terdekat,” katanya.
Tambahnya, pihak berkuasa perlu membantu memberi laluan alternatif yang lebih selamat agar pelarian dapat diselamatkan. – AFP