Tuesday 22 April 2014

Berpuluh-puluh penduduk mangsa serangan udara di Syria



REUTERS
ASAP naik ke udara selepas beberapa peluru mortar mengenai sebuah kawasan kejiranan di ibu kota Syria, Damsyik semalam.


DAMSYIK - Berpuluh-puluh orang terbunuh dalam beberapa serangan udara di bandar raya Aleppo, utara Syria termasuk sekurang-kurangnya 29 orang di sebuah kejiranan, kata sebuah kumpulan pemerhati semalam.
Pada hari yang sama, agensi berita rasmi Syria melaporkan dua orang terbunuh akibat terkena peluru mortar pihak penentang di pusat bandar raya ini.
Dalam pada itu, Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia menyatakan beberapa serangan udara meragut 29 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak di daerah El-Ferdous Aleppo kelmarin.
Sejumlah 14 orang lagi terbunuh di kawasan kejiranan Baeedeen dalam serangan bom tong yang digugurkan oleh beberapa buah helikopter.
Tong yang digunakan sebagai senjata itu sarat berisi bahan letupan.
"Lima lagi mangsa maut dalam serangan bom serupa di kampung Tlajabin, Aleppo," menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Kuasa Barat mengecam pengunaan bom tong sebagai jenayah perang tetapi bom itu digugurkan hampir setiap hari di Aleppo dan beberapa kawasan lain di Syria.
Lebih 150,000 orang terbunuh dalam konflik di Syria yang bermula sebagai bantahan aman untuk mendesak Presiden Bashar Al-Assad meletak jawatan pada Mac 2011.
Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi perang saudara selepas rejim Bashar menggunakan kekerasan terhadap mereka. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2zZ5sMRZh 
Hakcipta terpelihara 

Al-Sisi bakal ditentang pemimpin haluan kiri


SABBAHI


KAHERAH - Bekas ketua tentera Mesir, Abdel Fateh al-Sisi akan ditentang oleh seorang ahli politik berhaluan kiri, Hamdeen Sabbahi pada pilihan raya presiden negara itu yang akan diadakan pada 26 dan 27 Mei depan.
Namun, al-Sisi dijangka tidak berdepan kesukaran menghadapi lawannya itu ekoran beliau mendapat sokongan majoriti rakyat Mesir selepas menumbangkan Presiden sebelum ini, Mohammed Morsi.
Sekiranya beliau menang, al-Sisi akan meneruskan tradisi Presiden Mesir yang dipilih dalam kalangan ketua tentera sejak monarki negara itu digulingkan pada tahun 1952.
Sabbahi menduduki tempat ketiga pada pilihan raya Presiden pada 2012 yang dimenangi Morsi.
Beliau kini dianggap calon tunggal pada pilihan raya kali ini yang mewakili inspirasi rakyat yang bangkit menumbangkan pemerintahan diktator, Hosni Mubarak pada 2011.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin tidak akan bertanding dalam pilihan raya ini selepas diharamkan kerana didakwa sebuah pertubuhan pengganas.
Beberapa pemimpin utama pergerakan itu kini dipenjarakan manakala anggotanya yang lain dihalang daripada menjadi calon pilihan raya.
Morsi digulingkan tentera selepas bantahan besar-besaran rakyat negara ini yang menentang beberapa dasar pemimpin itu termasuk setiap keputusan beliau yang tidak boleh dicabar di mahkamah.
Mesir yang mempunyai penduduk teramai di dunia Arab, berdepan keganasan yang melanda negara itu sejak kejatuhan Morsi pada tahun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2zZ5knvep 
Hakcipta terpelihara 

Syria pilih tarikh pilihan raya


DAMSYIK 21 April - Parlimen Syria, hari ini menetapkan tarikh pilihan raya Presiden pada 3 Jun ini walaupun perang saudara di negara ini masih berlarutan sejak tiga tahun lalu.
Speaker Parlimen, Mohammad al-Lahham berkata, tarikh itu ditetapkan selepas penggal pemerintahan Presiden, Bashar al-Assad selama tujuh tahun berakhir pada 17 Julai ini.
Bagaimanapun tidak pasti bagaimana Syria akan mengendalikan pilihan raya itu kerana masih banyak kawasan dikuasai oleh kumpulan penentang kerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140422/lu_04/Syria-pilih-tarikh-pilihan-raya#ixzz2zZ17CXxc
© Utusan Melayu (M) Bhd