Friday 4 December 2015

Britain sertai kempen di Syria

London: Britain menyertai kempen pengeboman yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Syria semalam, dengan menyasarkan telaga minyak dikuasai kumpulan Negara Islam (IS) beberapa jam selepas Parlimen membenarkan serangan udara itu.
Pesawat Tentera Udara Diraja (RAF) yang berpangkalan di Cyprus menjalankan operasi pertama ke atas Syria dan disahkan melaksanakan serangan, kata jurucakap kementerian pertahanan semalam.
Serangan yang dijalankan empat pejuang Tornado, menumpukan enam sasaran di kawasan telaga minyak di timur Syria, 48 kilometer dari sempadannya.
Dua jet pertama berlepas sekitar jam 11.30 malam (waktu tempatan) diikuti dua lagi sejam kemudian.
“Serangan itu menyasarkan sumber minyak dan pendapatan IS,” kata Setiausaha Pertahanan Michael Fallon kepada BBC.
Sewaktu undian dijalankan di Parlimen, kelmarin, kerajaan Perdana Menteri David Cameron menerima sokongan 397 ahli Parlimen, berbanding 223 yang menentang serangan itu.
Cameron menyambut baik hasil undian Dewan Rakyat dengan menulis di laman Twitternya: “Saya percaya, Dewan ini membuat keputusan yang betul untuk menjaga keselamatan negara ini.”
Perkara itu turut disambut baik Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang berkata, AS mengalu-alukan tentera Britain menyertai usaha mereka di Syria.
Keputusan menyertai serangan itu timbul selepas serangan keganasan di Paris bulan lalu yang meragut 130 nyawa. Sehubungan itu, Presiden Perancis Francois Hollande turut menyambut baik keputusan Britain yang menampakkan penyatuan negara Eropah.
Bagaimanapun, pakar mempersoalkan sejauh mana penyertaan Britain dapat membantu kempen menentang IS di Syria. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:36 AM


PENUNJUK perasaan antiperang kecewa selepas Parliman Britain mengundi untuk melancarkan serangan udara di Syria.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97749#sthash.uASMTylH.dpuf