DAMSYIK - SYRIA. Agensi bantuan berjaya menghantar bantuan kepada 700 keluarga di Mu'adamiyat al-Sham yang dikuasai kumpulan militan berhampiran ibu negara Syria.
Kelmarin, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab dilaporkan mendapat akses untuk menghantar bekalan makanan dan kit kebersihan kepada kira-kira 3,500 penduduk.
Jurucakapnya memaklumkan lebih banyak bantuan akan dihantar ke kawasan terjejas di Mu'adamiyat al-Sham dalam tempoh beberapa hari lagi.
Dalam perkembangan lain, Turki memaklumkan mereka tidak akan membiarkan ribuan pelarian Syria yang terkandas di sempadan dan agensi bantuan turut memberi amaran 'situasi terdesak' susulan kebanjiran golongan terbabit.
Puluhan ribu pelarian termasuk wanita dan kanak-kanak kehilangan tempat tinggal selepas tentera kerajaan disokong Rusia mara ke bandar Aleppo.
Media tempatan melaporkan Ankara kini berdepan krisis baharu kerana telah mencapai had kapasiti untuk menerima kemasukan lebih ramai pelarian. - AFP