Monday 20 June 2016

Gencatan senjata 48 jam di Aleppo



PETUGAS pertahanan awam Syria (kiri) berkumpul di jalan raya di Aleppo yang dibom pesawat tentera kerajaan Syria dan Russia walaupun selepas gencatan senjata diumumkan, semalam.

Beirut: Kementerian Pertahanan Russia berkata, gencatan senjata selama 48 jam diisytiharkan di Aleppo, utara Syria, dengan aktivis turut melaporkan keadaan lebih aman di bandar kedua terbesar negara itu semalam.

Sejak beberapa bulan lalu, Aleppo melihat pertempuran dan pengeboman sengit yang meragut ratusan nyawa tentera kerajaan serta pejuang penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad.

Russia berkata, gencatan senjata berkuat kuasa pada detik tengah malam Rabu. Ini bukan kali pertama gencatan diumumkan di bandar itu sejak beberapa bulan lalu.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berasas di Britain berkata, keadaan di bandar itu aman semalam.

Katanya, keganasan terbaru di bandar itu bermula pada 22 April lalu dengan 627 terbunuh dan 2,900 cedera. Mereka yang mati termasuk 124 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Kumpulan Penentang menawan sebahagian Aleppo daripada tentera rejim pada 2012, manakala kerajaan yang disokong serangan udara Russia mengepung beberapa bahagian bandar itu sejak beberapa bulan lalu.

Aktivis Baraa al-Halaby yang berasal dari Aleppo berkata, pejuang penentang di bandar yang juga pernah menjadi pusat perdagangan Syria itu tidak dimaklumkan mengenai gencatan itu.

Katanya, tentera kerajaan serta pesawat pejuang Russia dan Syria masih menyasarkan jalan Castello yang menghubungkan kawasan dikuasai penentang dengan kawasan lain negara itu seterusnya menyekat orang ramai meninggalkan kawasan itu.

“Ini seperti satu gurauan. Jalan Castello dibedil bom tong sejak 12 jam lalu,” katanya merujuk pada tempoh selepas gencatan berkuat kuasa. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 10:12 AM