Friday 9 September 2016

Jemaah haji Syria berdoa untuk keamanan

JUMAAT, 9 SEPTEMBER 2016 @ 7:40 AM

 JEMAAH melakukan tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram, Makkah. - Foto Reuters

 MAKKAH: Rakyat Syria yang terjerumus dalam perang saudara berdoa demi keamanan ketika mereka terbang ke bandar suci untuk mengerjakan haji, walaupun ketika kerajaan Presiden Bashar al-Assad menuduh Arab Saudi mempolitikkan ibadat tahunan itu.

Riyadh tiada hubungan diplomatik dengan Damsyik dan memerlukan rakyat Syria yang mahu menunaikan haji memperoleh visa melalui negara ketiga menerusi satu jawatankuasa dikawal Gabungan Nasional Syria (SNC), badan pembangkang anti-Assad.

 "Arab Saudi tidak berurusan dengan kerajaan sah (di Syria) namun sebaliknya dengan individu yang tidak diiktiraf, justeru tanggungjawab untuk melindungi golongan ini jatuh ke tangan kerajaan Arab Saudi," kata Sheikh Ahmed al-Jazaily, seorang penasihat kementerian Hal Ehwal Islam Syria menerusi telefon.

Tamam al-Khatib, seorang pegawai SNC berkata, Arab Saudi memberi kumpulan itu 9,000 visa untuk rakyat Syria yang tinggal di Lubnan, Jordan, Mesir dan Turki. Jazaily berkata, bagi Syria yang memiliki 23 juta penduduk sebelum perang, ia jauh lebih kecil berbanding kuota biasa iaitu 1,000 visa bagi sejuta penduduk Islam.

 Sementara itu jemaah haji, Safaa, 40, berkata, beliau melakukan perjalanan dari Damsyik dikawal kerajaan bersama ibu bapa, saudara perempuan, saudara lelaki dan isterinya, walaupun kesukaran menguruskan perjalanan itu. "Semua rakan dan saudara mara kami di Damsyik meminta kami mendoakan mereka ketika di Masjidilharam.

Dengan izin Allah, kami akan berdoa untuk mereka dan seluruh rakyat Syria," kata Safaa memakai ihram. Mariam, 60, membuat perjalanan itu dari Talfita, perkampungan dikawal pemberontak di utara ibu kota Syria.

 "Kami meninggalkan perang dan penderitaan untuk datang menunaikan haji. Dengan izin Allah, saya tidak sabar berjumpa Nabi Muhammad. Semoga Tuhan memberi Syria pengampunan," katanya bersama sepupunya, Khadra. -Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/191112

24 maut serangan udara Aleppo


09 September 2016 12:41 AM
PETUGAS di sebuah hospital di Aleppo membantu seorang lelaki yang

PETUGAS di sebuah hospital di Aleppo membantu seorang lelaki yang mengalami masalah pernafasan akibat serangan gas beracun pada Selasa lalu. AGENSI
DAMSYIK 8 Sept. – Sekurang-kurangnya 24 orang awam terbunuh dalam serangan udara di kawasan yang dikuasai kumpulan militan Daesh di bandar Aleppo, semalam.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria mengesahkan 14 orang terbunuh di Tadef, berhampiran bandar al-Bab manakala 10 lagi di daerah al-Sukari di timur Aleppo.
Kejadian tersebut berlaku sehari selepas aktivis melaporkan terdapat serangan gas beracun yang mengorbankan 22 orang dan mencederakan 40 yang lain.
Jurucakap sukarelawan kumpulan White Helmets, Ibrahim al-Hajj berkata, empat anggota penyelamat dari organisasinya merupakan antara yang terbunuh dalam serangan udara berhampiran bandar Aleppo itu.
Dalam pada itu, sebanyak 292 rakyat Syria kembali ke bandar Jarablus dari Turki semalam, menandakan kepulangan pertama orang awam sejak Ankara me­lancarkan serangan tentera dua minggu lalu untuk merampas kawasan sempadan, kata seorang pegawai Turki.
Bandar Jarablus yang dikuasai kumpulan militan Daesh merupakan bandar pertama yang berjaya ditawan oleh tentera Turki dan sekutunya dalam serangan yang dilancarkan pada 24 Ogos lalu bertujuan menghapuskan anggota militan dan kumpulan pemberontak Kurdish dari kawasan sempadan.
Turki berkata, pihaknya nekad membebaskan wilayah selatan Syria sepanjang 90 kilometer dari cengkaman kumpulan militan dan turut menyokong sebarang inisiatif yang dilakukan Amerika Syarikat (AS) untuk menyerang kubu kuat militan Daesh di Raqqa.
Namun taktik serangan Turki mendapat kritikan daripada AS dan Rusia yang menyifatkan serangan itu akan menggugat usa­ha tentera pakatan yang dike­tuai oleh AS serta mengancam kedaulatan Syria.
“Kami menyeru Ankara untuk mengelak daripada apa-apa langkah seterusnya yang boleh menjejaskan kestabilan keadaan di Syria,” kata Kementerian Luar Rusia. – REUTERS/DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/24-maut-serangan-udara-aleppo-1.380511#sthash.TwKPP56u.dpuf