Rusia yang merupakan sekutu Syria turut menyokong langkah itu, tindakan yang jarang berlaku dalam menangani konflik di negara itu yang setakat ini menyaksikan lebih 240,000 penduduk terbunuh.
Di bawah perbincangan sejak beberapa bulan lalu, Amerika Syarikat (AS) menggubal resolusi untuk menubuhkan tribunal terdiri daripada sekumpulan pakar yang ditugaskan untuk mengenalpasti dalang yang terlibat dalam serangan gas klorin itu sekali gus membuka laluan mengenakan tindakan sekatan sebagai hukuman ke atas pelaku serangan tersebut.
Di bawah resolusi tersebut, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon diberi mandat untuk membentuk barisan anggota panel dalam tempoh 20 hari dan bekerjasama dengan Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) yang berpangkalan di The Hague, Belanda.
Panel itu akan membentangkan keputusan pertama kajian mereka kepada majlis dalam tempoh 90 hari selepas siasatan itu bermula yang mungkin memakan tempoh selama setahun.
AS, Britain dan Perancis berulang kali menuduh tentera Presiden Syria itu melakukan serangan gas klorin selepas menggugurkan bom tong daripada helikopter.
Washington, London dan Paris menyatakan hanya tentera Syria memiliki helikopter manakala Rusia bertegas, tiada bukti kukuh bahawa Damsyik mendalangi serangan tersebut.
“Kita perlukan perpaduan yang sama untuk segera mencari satu penyelesaian politik,’’ kata Duta Amerika, Samantha Power yang menambah, resolusi itu membawa mesej yang jelas dan kuat. – AFP