Friday 18 April 2014

Sekampung kritikal serangan gas beracun

WARTAWAN SINAR HARIAN
Sekampung kritikal serangan gas beracun
Rakaman video menunjukkan seorang penduduk dirawat selepas insiden serangan gas beracun terbaharu di Harasta. 
18 April 2014
DAMSYIK - SYRIA. Aktivis pembangkang Syria, kelmarin sekali lagi mendakwa rejim Presiden Bashar al-Assad menggunakan gas beracun dalam serangan di pinggir Harasta.

Dakwaan itu diperkukuhkan dengan rakaman yang kini tersebar menunjukkan, empat lelaki mendapatkan rawatan sejurus insiden itu.

Menurut aktivis, kejadian serangan senjata kimia tersebut adalah keempat dilaporkan pada bulan ini.

Minggu lalu, lebih 100 penduduk kritikal akibat sesak nafas selepas kejadian sama menimpa di kawasan kejiranan Harasta.

Susulan itu, Majlis Kebangsaan Syria (SNC) mengutuk serangan berkenaan yang didakwa menggunakan racun perosak.

Sementara itu, jurucakap Rumah Putih Jay Carney memaklumkan, Washington kini bekerjasama dengan Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) untuk melakukan siasatan.

Difahamkan, sejak beberapa bulan lalu, pembangkang berterusan menuduh rejim Bashar melancarkan beberapa siri serangan menggunakan senjata kimia di Harasta dan Jobar.

Bagaimanapun, kesahihan laporan itu mencetuskan persoalan kerana sehingga kini tiada pihak mengesahkan perkara tersebut. - Al-Arabiya

Serangan terbaru gas kimia di Syria


Seorang wanita Syria yang terjejas akibat serangan gas beracun diberi bantuan oksigen di hospital terbuka di perkampungan Kfar Zeita di tengah wilayah Hama pada 12 April lalu. - REUTERS
BEIRUT 17 April - Aktivis pembangkang Syria menuduh tentera kerajaan Bashar al-Assad melancarkan serangan terbaharu gas beracun ke atas kumpulan penentang di ibu negara itu, semalam dengan bukti rakaman menunjukkan empat lelaki sedang dirawat oleh pasukan perubatan.
Laporan Reuters menyebut, rakaman gambar bertarikh 16 April lalu yang disiarkan melalui laman perkongsian video YouTube itu menunjukkan keempat-empat mangsa diberi rawatan menggunakan oksigen selepas dipercayai terhidu gas beracun dalam serangan di Harasta.
Seorang daripada mangsa turut mengalami muntah-muntah dan mengerang kesakitan semasa dirawat doktor.
Aktivis mendakwa serangan kimia itu merupakan yang keempat dalam bulan ini.
Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan dalam serangan tersebut.
Sementara itu, rangkaian berita Al-Jazeera melaporkan, satu lagi serangan kimia menggunakan gas klorin berlaku di pekan Kafr Zita, wilayah Hama di utara Syria berdasarkan beberapa video yang disiarkan dalam YouTube.
Serangan tersebut dipercayai dilancarkan pada waktu malam, menyebabkan ramai mangsa termasuk kanak-kanak dan wanita terpaksa memakai topeng muka dan diberikan rawatan oksigen.
Seorang petugas perubatan dalam rakaman itu mendakwa tentera kerajaan menyerang pekan tersebut menggunakan gas klorin mengakibatkan ramai penduduk cedera.
Dalam video lain, dua lelaki menunjukkan serpihan silinder yang dipercayai digunakan dalam serangan gas itu.
Silinder tersebut turut mempunyai tulisan ‘CL2’ yang merupakan simbol kimia gas klorin. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140418/lu_05/Serangan-terbaru-gas-kimia-di-Syria#ixzz2zCw0sm00
© Utusan Melayu (M) Bhd